in ,

Stesen Radio KOOL FM Temanmu Muzikmu Dilancarkan

Seperti yang dijanjikan, Budiey telah hadir di Majlis Pelancaran Stesen Terbaharu Rangkaian Media Prima pada jam 2 petang tadi. Rata-rata media sangat teruja untuk mengetahui nama dan juga konsep radio yang akan diperkenalkan selain ada cabutan bertuah dengan hadiah yang menarik menanti tetamu yang datang.

Budiey tiba di event ni jam 2.30 petang ditemani isteri. Di ruang luar dewan sangat meriah dengan permainan roda impian, photo booth dan macam-macam lagilah. Tetamu dah mulai membanjiri lokasi. Pendaftaran media agak berlainan sedikit di mana kami perlu memuatturun tiga aplikasi radio iaitu aplikasi HotFM, OneFM dan juga FlyFM di telefon bimbit. Memang ketiga-tiga aplikasi ini tiada dalam telefon bimbit Budiey pun. Jadi, katanya selepas kami memuatturun aplikasi ini barulah kami dapat berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Sebelum pintu dewan dibuka, Budiey mandir-mandir dulu melihat selebriti yang hadir. Tidak ramai yang hadir kerana selebriti tidak diutamakan hadir. Hanya syarikat label muzik dan juga orang terlibat dengan bidang muzik hadir untuk menyaksikan pelancaran.

Jam 3.20 petang, pintu dewan dibuka dan kami dibenarkan masuk. Kumpulan Bunkface membuka pentas dengan persembahan mereka. Diikuti dengan kemunculan Seelan Paul selaku Ketua Pegawai Eksekutif untuk memperkenalkan stesen radio terbaharu. Sebelum pelancaran, Seelan menerangkan serba sedikit tentang beberapa buah radio lain di bawah Rangkaian Media Prima iaitu Fly FM, Hot FM dan juga One FM di mana ada perubahan penyampai dan juga slot yang dikendalikan.

Budiey dapat lihat setelah pengunduran beberapa orang penyampai radio Hot FM, ada beberapa penambahan penyanpai Hot FM. Nantilah kita cerita kemudian ya sebab entri ini khas untuk cerita tentang radio terbaharu.

Seelan Paul mengumumkan Radio baharu yang dimaksudkan ialah Radio KOOL FM dengan tagline Temanmu, Muzikmu yang diperileh pada suku akhir 2015 dan akan bermula operasinya melalui 101.3FM di Lembah Kelang dan 90.2FM di Pulau Pinang pada 3 Mac 2015 bermula jam 6 pagi.

Tiba saat yang dinantikan, selaku gimik, penyanyi Misha Omar telah memperkenalkan seorang demi seorang penyampai KOOL FM iaitu AG dan Haiza akan bergandingan mengendalikan Pagi di Kool FM (PHD Kool FM) bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi, Liza akan berkeseorangan mengendalikan Muzik di Kool dari 10 pagi hingga 3 petang. Seterusnya disambung oleh Ikhwan dan Farid mengemudikan Petang di Kool dari jam 3 petang hingga 7 malam. Selama sejam, pendengar akan mendengar kata-kata motivasi dan religi dari Prof Dr Muhaya di Refleksi Kool. Manakala, Ezad pula akan menemani tidur pendengar di slot Malam Kool dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Selesai pelancaran, kami para media dibawa ke sidang media yang diadakan di rooftop. Budiey sempat menemubual beberapa penyampai. Nanti jangan lupa untuk menonton video temubual eksklusif Budiey bersama penyampai Kool FM di saluran Youtube Budiey.com. Subscribe lah: www.youtube.com/budiey27

Sebagai info pembaca, Kool FM mensasarkan pasaran pendengar Melayu berumur 25 hingga 44 tahun di mana memberikan pilihan lagu-lagu 80an, 90an serta lagu hits terkini secara lokal mahupun antarabangsa. Pasaran pendengar lingkungan tersebut juga dilihat lebih aktif mengikuti trend terkini laman media sosial di mana Kool FM seperti stesen radio lain di bawah Rangkaian Media Prima akan memaksimakan medium tersebut untuk mendekati pendengarnya.

Sebuah aplikasi radio untuk Kool Fm juga akan diperkenalkan pada 3 Mac 2016 nanti di mana melalui aplikasi tersebut, pendengar Kool FM boleh mendengarkan stesen itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.

Pengisian program yang memfokuskan gaya hidup berdasarkan profesionalisme serta status sosial pendengar diberikan keutamaan di Kool FM.

Budiey kira, dengan adanya Kool FM, maka kita ada satu lagi alternatif untuk mendengar seleksi lagu-lagu untuk golongan pertengahan. Kalau Hot FM, Fly FM dan One FM lebih fokus kepada Gen Y, maka dengan Kool FM dapat menyaingi radio seperti Sinar FM yang sebenarnya jauh lebih berusia tapi dalam selera baru dengan kreativiti dan eksplorasi penyampai yang lebih dekat di hati pendengar.

Lebih hebat apabila Rangkaian Media Prima menandatangani perjanjian bersama Spotify untuk menjadi rakan eksklusif pertama di rantau Asia Tenggara. Kolaborasi bijak ini akan membawa pengisian serta pilihan lagu RRMP kepada pengguna Spotify di serata Malaysia. Dengan perkongsian ini akan menjadikan muzik di luar batas sempadan malah turut menjadi kayu ukur melalui perkongsian data digital yang membolehkan RRMP menganalisa demografi serta profil pendengar dalam usaha penambahbaikan kualiti pengisian serta muzik dari semasa ke semasa.

Korang boleh follow KOOL FM di Instagram @koolfmmy.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Media Prima Bakal Umum Stesen Radio Terbaharu Petang Ini

Kumpulan Junction Gegarkan Hard Rock Melaka