Akhirnya, Qabil Ambak berterus terang dan buat pendedahan tentang hubungannya dengan Fasha Sandha dan sebab-sebab mengapa beliau memutuskan untuk tidak membatalkan perkahwinan.
“Saya rasa lega dan terlepas dari bebanan sebaik saja membuat pengumuman itu. Terus terang, keputusan yang saya buat ini tidak dipengaruhi sesiapa dan semuanya atas kemahuan saya sendiri. Dan ini adalah keputusan yang saya buat seorang diri dan bukannya bersama seperti yang Fasha nyatakan. Sebenarnya hasrat untuk membatalkan perkahwinan itu sudah lama saya suarakan pada Fasha dan saya ada meminta dia memaklumkan sendiri perkara itu kepada media. Malangnya dia langsung tidak bersuara. Dan disebabkan tindakannya itu, saya lihat cerita mengenai kononnya yang kami akan berkahwin semakin tersebar di media dan gambar saya turut digunakan.
“Enggan membiarkan perkara ini berlanjutan serta membuatkan saya terus tertekan dengan keadaan sekeliling dan kebetulan pula ada wartawan yang bertanyakan saya mengenai hal itu, jadi saya rasakan inilah masanya untuk saya menceritakan perkara sebenar supaya tidak ada pihak yang keliru atau tertanya-tanya di manakah hala tujunya hubungan kami ini,” jelas Qabil penuh hati-hati.
“Saya akui, sepanjang kami hidup bersama, banyak cerita yang saya dengar mengenainya. Malah kawan-kawan saya sendiri banyak menasihatkan saya apabila mendapat tahu yang sedang berkawan dengannya.
“Namun semua itu tidak saya endahkan. Saya adalah seorang yang tidak mudah percaya cakap-cakap orang. Dan kalau betul pun apa yang diceritakan itu, saya tidak mahu buruk sangka, mungkin itu cerita lama dan dia sudah berubah. Tapi selepas setahun berkawan dengannya, saya sendiri dapat merasakan yang antara kami memang tidak sehaluan dalam banyak perkara.
“Rentak hidupnya tidak sama dengan saya dan selepas saya melihat sendiri dengan mata kepala saya, barulah saya percaya dan biarlah hubungan kami ini hanya setakat di sini saja. Jadi saya harap selepas ini tidak ada yang membuat spekulasi kononnya keluarga saya serta wujudnya orang ketiga yang menjadi punca saya tidak jadi berkahwin dengan Fasha,” katanya yang tetap tidak mahu mendedahkan apakah insiden yang mengubah pendiriannya itu.
“Kami keluar bersama pun dalam sebulan sekali. Iyalah masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Malah, kalau berjumpa pun kami tidaklah berbincang soal perkahwinan secara serius.
“Jadi apabila dia membuat pengumuman yang kononnya dia akan berkahwin, saya sendiri tertanya-tanya siapakah jejaka itu kerana kalau saya yang dimaksudkannya, itu tak mungkin kerana saya sebenarnya belum lagi membawa dia bertemu dengan keluarga saya,” tutur Qabil yang mengakui di awal perkenalan, dia tidak tahu yang Fasha seorang pelakon.
Diusik dengan pertanyaan apakah peristiwa itu akan membuatkan dirinya serik untuk menjalinkan hubungan dengan artis, Qabil menolak andaian nakal itu.
“Saya tidak pernah memandang rendah golongan artis, begitu juga keluarga saya. Dan saya tidak menolak andai dijodohkan dengan golongan itu. Tidak semua artis sama,” ujarnya sambil memberitahu sejak mengumumkan hal itu, dia dan pelakon itu sudah tidak lagi berhubungan. [sumber]