Farawahida: Saya rasa bebas! Tempoh ‘persembunyian’ Fara nampaknya berakhir jua. Hadir pada rakaman program raya Wanita Hari Ini dan Nona terbitan TV3, semalam, penyanyi berusia 24 tahun ini ternyata kelihatan ceria.
“Saya kena jadi Fara yang baru, kena berdiri atas kaki sendiri. Kata kuncinya di sini, saya rasa ‘bebas’! Tidak lagi terikat dengan orang yang akan menentukan itu dan ini,” tutur Fara sambil menguntum senyuman.
Ujar gadis kelahiran Taiping, Perak ini, dia tidak berniat untuk menghilangkan diri selama ini, namun tutur Fara, dia perlukan masa untuk meleraikan segala kekusutan dan menenangkan fikiran.
“Semua ini menjadi satu pengajaran yang besar untuk saya agar lebih berhati-hati. Alhamdulillah, ketika dilanda dugaan sebesar itu, saya masih mendapat sokongan daripada ahli keluarga. Bagi saya, asalkan mereka tahu siapa saya, itu sudah memadai. Dan saya juga tidak minta simpati untuk orang kesiankan saya. Nak kata reputasi saya tergugat gara-gara kes itu juga, saya tak rasa begitu pun. Bila saya keluar ke mana-mana, tidak ada pula yang mencemuh dan mengata saya. Tidak sedikit pun rasa saya putus asa untuk terus berada dalam industri ini. Cuma saya akur, mungkin ada peminat yang akan ‘larikan diri’ daripada saya kerana hal tersebut. Terpulanglah kepada mereka untuk meletakkan apa saja persepsi pada saya,” ujar Fara yang menambah, dia masih lagi aktif memenuhi undangan nyanyian dan sedang dalam usaha sendiri menghasilkan single terbaru.
Cuba menyelami hati penyanyi ini gara-gara laporan polis yang dibuatnya ekoran ugutan penyebaran gambar dan video lucahnya yang dilihat mampu menjejaskan nama baiknya sendiri dan keluarga, dalam nada perlahan Fara menjawab:
“Sewaktu saya menyepikan diri bulan Februari lalu, macam-macam benda yang keluar tentang saya, seolah-olah ingin memaksa saya untuk bercakap juga tentang banyak perkara. Sukar untuk saya jelaskan, lagipun ia masih lagi dalam kes polis. Tetapi apa yang boleh saya katakan, sebenarnya jelas dia (Julfekar) sengaja tak mahu saya berada dalam industri ini. Dan selepas kes itu, dia pun dah tak ‘kacau’ saya lagi.”
Ditanya sama ada perkara ini boleh diselesaikan dengan baik antara kedua-dua belah pihak, dalam nada sinis, Fara berkata:
“Tak kiralah siapa pun dia, tapi dia dah buat ‘hal’ pada saya. Mungkin bukan masanya untuk berbaik semula.”
Kata Fara lagi, buat masa ini, dia tidak mahu memikirkan lagi tentang perkara-perkara tersebut. Sebaliknya, ujar Fara, dia ingin memberikan tumpuan untuk membangunkan semula karier seninya.
“Nak kata susah uruskan diri sendiri, tidak juga. Lagipun, senang kerana segala keputusan boleh dibuat sendiri. Insya-allah, jika saya benar-benar berusaha, saya mampu ‘naik’ semula. Sebab itu saya terfikir untuk hasilkan single terbaru. Buat masa ini, belum ada lagi lagu tetapi ramai juga yang menghantar karya mereka di laman web Facebook saya. Apapun, saya masih ingin kekalkan konsep yang saya bawa selama ini,” ujarnya yang baru selesai menjalani rakaman program raya Sinar Lebaran di Singapura anjuran bersama MediaCorp dan RTM.
Diusik pula tentang subjek cinta, sambil ketawa, Fara berkata dia masih belum bertemu lelaki yang sesuai untuk dirinya.
“Saya seorang yang suka berkawan dengan sesiapa saja. Tapi kita nak berkahwin ni biarlah sampai mati. Sebab itu, kena cari orang yang betul-betul boleh menjaga saya,” luah Fara, ringkas. [sumber]