“Kami tak kisah dituduh menciplak idea mana-mana stesen radio kerana AMP terlebih dulu sudah menggunakan format muzik tanpa henti sejak 1997 lagi. Jika mereka mahu menuduh kami meniru, itu terpulang kerana itu hak mereka. Dunia penyiaran radio kita masih terlalu kecil, di Malaysia stesen radio yang ada tak sampai 20 buah. Persaingan memang terlalu sengit, tapi kalau mereka boleh buat lagi bagus dari kami, Era gembira dengan usaha itu. Cuma saya kurang bersetuju apabila mereka menuduh Era menciplak idea mereka, idea itu tidak asli kerana format itu diguna di seluruh dunia.
“AMP satu ketika dulu juga menggunakan formula sama yang ditiru dari luar negara tetapi dari masa ke semasa kita perbaiki format itu. Kami pun tak pernah kata orang tak boleh tiru idea itu kerana kita juga ambil dari luar negara. Masing-masing ada strategi sendiri untuk meningkatkan jumlah pendengar, saya tiada masalah dengan ini kerana ia menunjukkan perkembangan sihat dalam dunia penyiaran radio.”
FORMAT baru 40 Minit Bebas Iklan yang diperkenalkan stesen radio nombor satu Era sejak awal bulan ini dituduh menciplak idea Radio Suria FM. Bagaimanapun Radio Era telah menepis tuduhan berkenaan malah langsung tidak kisah dituduh ciplak.
Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran yang sebelum ini pernah berkhidmat di stesen radio Inggeris, Hitz.FM ketika ditemui pada majlis pelancaran Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini di KL Sentral berkata, format itu bukanlah idea baru tetapi sudah diaplikasi stesen radio yang berpayung di bawah Airtime Management & Programming Sdn Bhd (AMP) sejak lebih sedekad yang lalu. Justeru, apabila Era dituduh meniru oleh pesaingnya, mereka tidak mudah melatah. [sumber]