“SAYA tidak pernah ada masalah dengan Abby sebelum ini. Jadi, bila benda seperti ini berlaku, saya agak kecewa dengan dia,” – luah pelakon dan penerbit, Haliza Misbun berhubung kisah tentang Abby Abadi yang dikatakan ‘buat hal’ dan tidak hadir ke proses memasukkan suara (dubbing) untuk filem Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami, baru-baru ini.
Filem terbitan produksi milik Haliza sendiri, Big Productions Sdn Bhd itu telah menjalani proses dubbing selama 10 hari bermula 22 hingga 31 Oktober lalu.
Menerusi laporan sebuah akhbar semalam, semua pelakon yang terbabit seperti Ari Wibowo, Awie, Erra Fazira dan Fahrin Ahmad memberikan kerjasama yang cukup baik untuk proses tersebut, namun hanya Abby saja yang gagal berbuat demikian.
Dan akhirnya, pengarah filem tersebut, Din CJ terpaksa menggunakan suara pelakon lain iaitu Nik Sayyidah untuk semua babak lakonan Abby di dalam filem yang menjalani penggambaran pada 1 Ogos lalu itu.
“Saya tidak nafikan, tarikh proses dubbing itu sering ditunda kerana masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. Itu perkara biasa dalam produksi. Tetapi, jika kerana tarikh yang asyik tertunda itu adalah alasannya tidak dapat berikan kerjasama, saya rasa ia tidak relevan kerana pelakon-pelakon lain juga sempat mencuri masa untuk hadir walaupun mereka juga begitu sibuk. Jika tidak boleh, mereka akan cadangkan tarikh lain. Tetapi agak mengejutkan juga kerana dia (Abby) tidak memberikan sebarang tarikh pun dalam tempoh 10 hari dubbing dijalankan. Saya faham kesibukan masing-masing, tetapi takkanlah dalam tempoh itu tidak boleh cari sedikit masa untuk hadir. Awie yang terlibat di dalam teater Cuci The Musical pun sempat cari masa. Saya bukan puji dia kerana dia adik ipar saya, tetapi saya memang mengharapkan komitmen seperti ini daripada pelakon-pelakon. Erra dan Fahrin juga dapat luangkan masa tatkala masing-masing sibuk dengan urusan sendiri,” – [sumber]