in ,

Que Haidar Dalam Drama Kejar

AKSI ‘KEJAR’ QUE HAIDAR MULAI 26 NOVEMBER INI DI TV2

Kemunculan aktor kacak Que Haidar di layar televisyen anda mulai 26 November 2009 menerusi drama bersiri bertajuk Kejar pastinya memberikan impak yang berbeza kerana sepanjang 26 episod siarannya memerlukan dia menjayakan watak seorang yang ‘dikejar’ daripada pelbagai konflik yang timbul lataran limpahan kemewahan yang diwarisi daripada arwah ayahnya. Namun momen-momen indah dalam hidupnya cuma sebentar kerana kemudiannya dia dihimpit masalah demi masalah berpunca daripada harta yang dimilikinya itu. 

Bergandingan dengan dua pelakon cantik Farahdhiya dan Ayu Raudhah, pelakon yang baru menimang cahaya mata sulong ini ‘menghidupkan’ watak utama Kejar disiarkan setiap Khamis, jam 9.30 malam menerusi TV2 yang bermula dengan adegan kematian Rosham, ayah Ryan yang tidak disangka-sangka. Kematian itu membuatkan seluruh kehidupan Ryan berubah sekelip mata. Dia kini bagaikan Putera Raja apabila mewarisi harta yang mencecah RM50 juta. Maka bermulalah episod tidak sedar diri oleh Ryan yang mana sebelum ini merupakan seorang ‘geek’ di bidang pengkomputeran.

Dari seorang geek, Ryan kini bertukar menjadi seorang lelaki idaman ramai. Malah hobinya di dalam bidang perlumbaan kereta juga membuatkan dia dikejar ramai wanita serta menjadi sanjungan di kalangan mereka yang terlibat di dalam bidang itu.

Namun semua keseronokan yang dialaminya mula pudar bahagianya apabila masalah demi masalah menimpanya silih berganti, malah nyawa Ryan juga mula terancam. Ini membuatkan Ryan mula mencari punca masalah-masalah yang tidak diundangnya itu dan membuatkan dia mula mengetahui rahsia bapanya yang dikawal ketat selama ini.

Mampukah Ryan melarikan diri dari semua masalah yang terus mengejarnya lantaran berbapakan Rosham? Apakah rahsia Rosham yang terpaksa dipikul oleh Ryan sebagai anak dan juga pewaris harta Rosham? Dapatkan Ryan mengatasi dendam dan iri hati yang sentiasa mengejarnya dari pelbagai penjuru?

Justeru untuk berkongsi adegan-adegan menarik dalam drama terbitan Global Station Sdn. Bhd, usah ketinggalan meluangkan masa menyaksikan Kejar pada setiap Khamis, jam 9.30 malam menerusi TV2 yang pastinya memberikan pengajaran berguna untuk anda seisi keluarga dalam membuktikan kemewahan harta yang dimiliki bukanlah segalanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fesyen Kelabu Dato’ Siti Nurhaliza di Konsert Seribu Warna

Photo of The Day: Apabila David Teo Dikelilingi Wanita Seksi