Misi mencari peserta yang terbaik bagi rancangan realiti keagamaan Qari Junior 2017 semakin hampir. Sesi uji bakat program realiti keagamaan kanak-kanak yang telah memasuki musim ke-6 ini baru sahaja tamat minggu lalu. Tahun ini Qari Junior 2017 mencari qari muda yang bukan sahaja mampu mengalunkan bacaan Al-Quran dengan baik secara murattal, bacaan mereka juga perlu diiringi taranum dan tajwid yang betul seiring dengan objektif Qari Junior yang memperlihatkan Al-Quran dijadikan panduan hidup sejak dari usia muda dan menjadikan amalan membaca Al-Quran untuk kerohanian jiwa.
Menurut Cik Amaani Ahmad, Penerbit Qari Junior 2017, “Qari Junior 2017 mempertaruhkan 2 kriteria utama iaitu Tarannum dan juga kemahiran dalam Ilmu Tajwid. Peserta tahun ini bakal berhadapan dengan soalan-soalan tajwid yang akan diajukan secara spontan pada setiap episod. Lebih 300 peserta telah hadir untuk memperlihatkan bakat mereka dalam pengajian Al-Quran. Jumlah ini meningkat berbanding sesi ujibakat Qari Junior musim lepas. Kebanyakan peserta yang hadir ke sesi uji bakat mampu menjawab soalan tajwid secara spontan, selain berkebolehan menghafaz Al-Quran mereka juga telah mengikuti kelas tarannum sebagai persediaanâ€.
Walaupun syarat umur yang ditetapkan bagi peserta untuk menghadiri uji bakat daripada 7 hingga 12 tahun, tetapi ada juga peserta berumur 4 tahun datang ke sesi ujibakat ini. Perkara ini membuktikan pendedahan terhadap bacaan Al-Quran telah diterapkan dalam diri anak-anak kecil ini sejak muda lagi.
Sesi uji bakat ini tidak hanya menerima kehadiran peserta yang sudah biasa mewakili sekolah, malah ada diantara mereka yang telah dan bakal mewakili negara dalam pertandingan tilawah Al-Quran.
Lebih menarik lagi, walaupun ada di antara mereka yang hanya belajar mengaji dalam kalangan keluarga sahaja dan bukan bersekolah di sekolah agama, mereka mempunyai kebolehan membaca Al-Quran dengan sangat baik dan memberi persaingan sengit.
Berbanding tahun lepas, sesi uji bakat hanya dilakukan di Sri Pentas, Bandar Utama. Namun pada tahun ini, krew produksi Qari Junior telah menjelajah ke dua buah lagi lokasi di utara Malaysia iaitu di Alor Setar, Kedah pada 4 Februari dan juga di pantai timur iaitu Kuala Terengganu, Terengganu pada 11 Februari. Lokasi terakhir sesi ujibakat ini yang juga telah berlangsung pada 18 Februari lalu di Sri Pentas Bandar Utama menerima penyertaan yang paling ramai.
Antara juri-juri yang telah dijemput untuk menilai kebolehan para peserta di sepanjang sesi ujibakat kali ini ialah Ustaz Mohammad Nazif Zulkhairi, Ustazah Marzian Mohd Deli, Ustaz Aizi Saidi Abd Aziz, Ustaz Abdul Hadi Bin Che Ab Halim, Ustaz Ahmad Tirmizi Hj Ali, Ustaz Tarmizi Abd Rahman, Ustazah Asni Mansor dan juga Ustaz Malik bin Ahmad. Antara surah pilihan yang telah ditetapkan semasa sesi ujibakat adalah Surah Al-Baqarah, ayat 26-30, Surah Al-Baqarah – ayat 44-52, Surah Ali-Imran, ayat 33-41, Surah Ali-Imran – ayat 113-118 dan juga Surah An-Nisa – ayat 36-42.
Nantikan Qari Junior 2017, Pewaris Generasi Al-Quran yang bakal bersiaran di TV3 bermula Mei nanti. Untuk maklumat lanjut layari laman sosial Facebook (www.facebook.com/QariJuniorTV3), Twitter & Instagram (@qarijuniortv3) serta @TV3Malaysia. #QariJr