Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, bakal memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz dibuat suaminya yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader.
“Kami ambil maklum tuntutan (nusyuz) diterima pada 24 Mac lalu. Kami akan memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, Akberdin turut memaklumkan Puteri Sarah tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana berada di luar negara berikutan tuntutan kerja dan memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan.
“Anak guam akan sampai di Malaysia hari ini, jam 11 pagi ini,” katanya.
Menerusi tinjauan di laman sosial Instagram (IG), Puteri Sarah ke Jakarta, Indonesia atas urusan kerja.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais selaku plaintif mengesahkan perkara berkenaan.
Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Hakim Syarie, Maizatul Aliza Chee Din menetapkan 8 Mei depan bagi sebutan semula kes.
Pada tarikh sebutan semula kes, mahkamah turut mengecualikan kehadiran Syamsul dan Puteri Sarah dan boleh diwakili peguam syarie.
Sebelum ini, Syamsul ketika memfailkan tuntutan nusyuz mendakwa, terdapat beberapa alasan tuntutan nusyuz dibuat ke atas Puteri Sarah. Antaranya, masih berhubung dengan bekas kekasih yang kini berstatus suami orang.
Syamsul mendakwa, tiada suami yang boleh terima apabila isterinya curang dengan suami orang lain yang dikenali sejak zaman kolej lagi.
Tambah Syamsul, dia terkejut apabila Puteri Sarah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah apabila menuduhnya melakukan kekasaran terhadapnya (memukul).
Ketika disoal media antara tuntutan nusyuz dibuat, Azmi berkata, terdapat empat jenis tuntutan dinyatakan Syamsul.
“Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ini kepada Puteri Sarah. Ini kerana beberapa alasan dinyatakan dalam tuntutan.
“Antaranya, meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah,” katanya.
Hasil perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah, pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Sumber: BH Online