Pelakon Liyana Jasmay memaklumkan dia dan aktres Intan Ladyana telah pun tiba di Malaysia awal pagi semalam selepas bercuti dan menjalani penggambaran di Australia. Liyana menerusi Instagram berkata, dia bersama rakannya sepatutnya pulang ke Malaysia pada 23 Mac ini tetapi pulang lebih awal kerana takut sebarang kemungkinan membabitkan wabak itu.
“Kami ambil keputusan untuk batalkan penggambaran di beberapa lokasi, pendekkan waktu penggambaran dan pulang lebih awal.
Masanya sempurna kerana kami tiba di pada awal pagi semalam, tepat pada masanya kerajaan memulakan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Kami akan melakukan kuarantin sendiri selama 14 hari untuk memantau sebarang simptom jika ada dan sangat gembira kerana dapat pulang dan berehat di rumah,”
– Liyana Jasmay
Liyana juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada doktor serta jururawat yang bertungkus lumus menyelamatkan keadaan.
“Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan barisan hadapan yang bekerja tanpa lelah untuk berdepan dengan pandemik ini dan kami juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk membantu anda dengan tidak keluar dari rumah.
“Jangan lupa untuk mencuci tangan anda!”
– IG – Liyana Jasmay
Liyana menjalani penggambaran program travelog berjudul Glamper Girls di Australia.
Sebelum ini beberapa selebriti dilihat berada di luar negara sebelum Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu dilaksanakan bermula semalam.
Untuk rekod, jumlah kes COVID-19 di Malaysia telah mencecah 790 orang setakat malam tadi.
60 daripada jumlah tersebut telahpun sembuh sepenuhnya dan dikeluarkan dari hospital, pada masa yang sama, rekod kematian di negara kita masih kekal dengan jumlah dua orang.
Mari kita sama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia yang dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan ‘sanitizer’, kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!