Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd. Bakri Syed Isyak atau lebih dikenali sebagai PU Syed tidak terkesan dengan ejekan dan sinidiran daripada segelintir peminat fanatik Blackpink apabila kumpulan K-Pop itu berjaya melangsungkan konsert di Malaysia pada Sabtu lalu (4 Mac).
Sebelum ini, PU Syed mengaitkan bencana banjir yang melanda Malaysia sejak minggu lalu dengan konsert Blackpink yang berlangsung di ibu negara.
PU Syed berdoa agar musibah banjir dialihkan ke tempat konsert Blackpink
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, pendakwah itu memanjatkan doa agar musibah banjir dialihkan ke lokasi berlangsungnya konsert tersebut.
“Johor dan Pahang serta Sarawak tengah bersedih asbab banjir. Konsert Blackpink tetap terus dianjurkan. Bala bencana hadir silih berganti namun manusia masih lagi seronok menabur maksiat di mana-mana sahaja. Tak terdaya nak halang.
“Hanya berdoa agar banjir dialihkan Allah ke Stadium Nasional Bukit Jalil biar mereka berkonsert dalam banjir,” katanya.
Susulan itu, beberapa peminat tegar Blackpink yang tidak berpuas hati telah memperlekehkan beliau apabila konsert tersebut berlangsung dengan lancar di Stadium Nasional Bukit Jalil tanpa sebarang gangguan cuaca buruk hujan.
“Kelak kami juga mampu ketawa seperti kalian di sana” – PU Syed
Bagaimanapun, PU Syed tidak kisah diperlekehkan sebegitu kerana percaya suatu saat nanti beliau juga mampu ketawa seperti mereka.
“Bergelak ketawalah sepuas-puas hati kalian. Kelak kami juga mampu ketawa seperti kalian. Di sana (akhirat).
“Cukup ramai peminat kumpulan K-Pop hantar direct message (dm) ambe (saya) dengan kata-kata ejekan dan caci maki,” tulisnya.
Seru umat Islam bantah dan halang konsert Blackpink
Terdahulu, PU Syed pernah menyuarakan pendapatnya berhubung konsert kumpulan wanita terkenal dari Korea Selatan itu.
Beliau menyeru umat Islam untuk membantah dan menentang sepenuhnya konsert Blackpink tersebut.