Salah satu usaha demi menarik lebih ramai pelajar memuat turun aplikasi berkenaan, pusat ilmiah berkenaan turut menganjurkan peraduan Aku Pilih PTTI dengan menawarkan hadiah lumayan dan menarik.
Kali pertama diadakan sekitar September ke pertengahan Oktober tahun lalu dengan menawarkan hadiah iPad. Kali kedua pula dianjurkan dari tempoh 30 Oktober hingga 30 November tahun lalu, ganjaran tempat pertama berupa motosikal Yamaha Ego selain iPad turut diberikan kepada pemenang kedua serta ketiga.
Penyampaian motosikal berkenaan juga sudah diserahkan kepada pemenangnya, adik Muhammad Haizul Ahmad berusia 18 tahun dari Jitra, Kedah baru baru ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan, Paya Kemunting itu menerima hadiah berkenaan menerusi wakil cikgu pusat terbabit (Muhammad Dzulfahmi Salehuddin) di kediaman keluarganya di sana.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata peraduan diadakan lebih bersifat mempengaruhi pelajar lain untuk belajar secara efektif dan percuma menerusi aplikasi ditawarkan.
“Konsep atau konteks yang mahu diketengahkan adalah lebih kepada misi PTTI nak lihat lebih ramai pelajar mendapat manfaat dari aplikasi terbabit untuk belajar dan peningkatan pemahaman dalam pembelajaran di mana mana.
“Semakin ramai pelajar itu mengajak kelompok rakannya untuk sama sama belajar dengan menggunakan aplikasi itu, semakin besar potensinya untuk menang.
“Situasi itu terjadi kepada Muhammad Haizul (pemenang motosikal). Sejak dilancarkan aplikasi ini sudah dimuat turun lebih 30,000 pelajar untuk menikmati pembelajaran percuma. Yang menyertai peraduan pula sekitar anggaran 5000 pelajar,” katanya.
Tambah Cikgu Fana lagi, pusat kelolaannya itu sedang melancarkan kempen #SediaAwal yang memfokus kepada pelajar Tingkata 4 yang bakal melangkah ke Tingkatan 5 pada bulan Mac depan.
“Menerusi kempen itu mereka dapat belajar secara percuma menerusi aplikasi itu dan boleh mendapatkan lebih 100 video pembelajaran percuma untuk persediaan awal. Malah duta kami, MK Clique dan Iman Troye juga menyokong usaha ini.
“Mereka percaya dalam bidang lakonan dan nyanyian juga memerlukan persediaan lebih awal sebelum membuat persembahan supaya dapat memberikan yang terbaik.
Begitu juga dalam peperiksaan. Kita nak kurangkan budaya ‘last minute’ di kalangan pelajar.
“Pada mada sama kami melancarkan peluang membantu rakan pelajar SPM dan tingkatan 1 hingga 4 untuk memuat turun aplikasi dan belajar secara percuma serts berpeluang memenangi iPad setiap minggu dari 2 Februari sehingga 31 Mac depan,” katanya.
Meraikan kemenangan Muhammad Haizul, pusat itu turut mengadakan sesi perkongsian virtual bersamanya disertai Iman Troye dan Pengurus Besar PTTI, Muhd Habibunajjar Sazali (Cikgu Habib) pada 1 Februari lalu.
Pada sesi berkenaan, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin juga berkongsi tips persediaan sebelum melangkah dewan peperiksaan SPM.
Malah, Muhammad Hazrul juga berkongsi keghairahannya mengajak rakan memuat turun aplikasi terbabit serta manfaat diperolehi.
Menerusi pelancaran aplikasi itu juga pelajar SPM boleh melayari aplikasi www.MampuSkorSPM.com untuk memuat naiknya secara percuma.
Atau memuat turun aplikasi itu sama ada di App Store untuk pengguna Iphone atau Playstore (android).