TANGGUH… Konsert Rock Legend 2018 melibatkan kumpulan May dan Prime Domestic pada 5 Mei di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor ditunda ke tarikh yang akan diberitahu kelak.
Menurut penganjurnya, Grandstage Sdn. Bhd., langkah ini bagi menghormati peminat yang ingin melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan kebetulan ditetapkan pada 9 Mei ini.
Media tempatan melaporkan, sehubungan itu, pihak penganjur berpendapat, langkah penangguhan konsert tersebut merupakan tindakan wajar dan mengambil kira kepentingan semua pihak demi mengelakkan kesukaran peminat.
Berita terkini mengenai tarikh konsert dan tiket boleh diperoleh melalui Facebook dan Instagram @zhardreamstage atau @primedomestic serta laman sesawang rasmi www.ilassotickets.com atau www.dreamstageconcert.com.
Konsert selama dua jam setengah itu dirancang memberikan kelainan kepada peminat rock, malah diterjemahkan dengan warna serta bunyi diadaptasikan dengan sistem bunyi cukup untuk memecahkan halwa telinga penonton.
Peminat juga dijanjikan dengan pelbagai kejutan daripada Prime Domestik diterajui oleh ikon muzik tanah air yang berpengalaman luas seperti Joe (gitar), Aweera (vokalis), Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainoll (dram).
Berkolaborasi dengan kumpulan May yang masih lagi bertahan sehingga kini membuktikan bahawa Mus (vokal), Abu (gitar), Yus (bass) dan Man (dram) masih lagi mempunyai peminat dengan kelantangan suara yang terbukti.
Program hiburan pentas berkenaan merupakan antara siri persembahan konsert tempatan selepas kejayaan The Metal Legend V1 Live yang melibatkan aksi kumpulan Cromok dan XPDC di lokasi sama pada 3 Februari lalu.
Pihak penganjur sebelum ini memaklumkan konsert Rock Legend 2018 pada awal bulan depan itu sebagai sebuah persembahan unik dan boleh diklasifikasikan ‘epik’ oleh penonton yang hadir.