Program “Siapa Kata Tak Boleh?†Tonjol Bakat OKU di RTM. Memperlihatkan bakat, kebolehan dan keupayaan OKU dalam bidang-bidang tertentu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) nyata prihatin cuba memberi suntikan semangat dan dorongan kepada golongan istimewa ini. Apatahlagi setiap daripada kita sememangnya memiliki bakat tersendiri tidak kira sama ada dilahirkan sempurna atau sebaliknya.
Menerusi realiti bercorak majalah bertajuk “Siapa Kata Tak Boleh?†yang sedang bersiaran setiap Isnin, pukul 9.30 pagi di TVi, program ini secara keseluruhannya memberi fokus kepada OKU yang terpilih.
Masyarakat Malaysia yang prihatin akan dapat menyaksikan bagaimana golongan istimewa diberi ruang dan peluang untuk memperlihatkan bakat mereka dalam pelbagai bidang seni iaitu lukisan, ukiran, rekaan dan gubahan, pertukangan dan lain-lain lagi.
Antara yang terpilih Faiq Bin Adnan, Shahrul Hisham Bin Hj Hassan, Era Nazirah Shamsuddin, Azlan Md Noh, Aliah Talib, Fatwas Faqrul Radzi Shahron Anuar, Mohd Shukri Metar, Mat Jamil Ramli, Mohd Jefri Daud, Adam Naim Zarini, Razali Bin Cantik, Hafiz Haikal dan Mohamad Isyraf Ismail.
13 episod program terbitan Serangkai Filem Snd Bhd milik Habsah Hassan ini mengajak penonton bersama-sama menyaksikan kegigihan mereka untuk melakukan sesuatu, betapa kesukaran terpaksa dilalui dengan kekurangan diri dan pergerakan dan kudrat yang serba terbatas.
Bermula dengan menyorot sejarah dan liku-liku kehidupan yang dilalui sejak lahir termasuklah latar belakang keluarga, penerimaan masyarakat sekeliling, pendidikan, pergaulan, kesukaran yang dihadapi dan pengalaman pahit manis mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Namun yang pasti menyentuh rasa pastinya peranan ditonjolkan ibu dan bapa mereka yang menjadi pendorong dan pembakar semangat dalam merealisasikan kejayaan yang dikecapi kini.
Suara dan rahsia hati yang terpendam sekian lama, curahan perasaan tentang angan-angan, impian, cita-cita dan harapan. Siapa ikon pilihan? Apa tindakan dan langkah-langkah yang diambil untuk mendekati cita-cita dan harapan? Siapa yang kuat memberi galakan dan dorongan? Apa sumbangan mereka bagi membantu merealisasikan impian tersebut?
Sama-sama soroti perjuangan mereka ini selain merasai kepayahan mereka untuk mencapai kejayaan hanya di TVi.