16 September Memperingati Hari Malaysia Dengan Program Khas Di RTM. Tarikh 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?
Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil pendekatan menghidangkan program-program khas untuk menyuntik semangat di kalangan penonton dalam menghayati sambutan Hari Malaysia penuh bersejarah ini.
Luangkan masa cuti anda menyaksikan program disediakan RTM menerusi saluran TV1 dan TV2 sepanjang hari pada 16 September ini.
Empat program khas menemui penonton TV1 bermula dengan tayangan program ‘Pidato 1Malaysia’, pukul 9.30 pagi terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM dan diikuti program drama muzikal khas bertajuk ‘Sehati Sejiwa’, pukul 12.05 tengah hari diterbitkan oleh RTM Sabah.
Sebuah telemovie bertajuk ‘#Sayang Sayang’ arahan Fahmi Sarindi, Unit Drama TV RTM disiarkan pukul 3.05 petang lakonan Falisha Crossley, Noor Khiriah, Hanis Kamal Bakar, Tan Meiling, dan Ruby Ooi. Selusuri tiga kisah yang terpisah-pisah setiap satunya namun setiap watak berhubungkait antara satu dengan yang lain. #Sayang Sayang sebuah kisah tentang sisi kehidupan rakyat Malaysia yang meliputi rasa sayang terhadap persahabatan tanpa mengira batas agama, bahasa dan bangsa.
Saksikan doku khas mengetengahkan tajuk ‘Maliau Basin Misteri Tersingkap’, pukul 11.05 malam yang membawa penonton menyelesuri kawasan terletak jauh di selatan Sabah, kira-kira 40 kilometer di utara sempadan Kalimantan, lembangan itu menceritakan segalanya mengenai flora dan fauna hidupan prasejarah yang wujud di dalamnya. Pada tahun 1997, kerajaan Sabah mewartakan lembah sungai itu sebagai kawasan Hutan Simpan Dilindungi (Kelas 1) iaitu ia tidak boleh diteroka pada masa kini dan masa depan.
Hari sama menerusi TV2, pukul 4.00 petang, saksikan dokumentari ‘Lost Over France – Malaysia Unsung Hero’ mengisahkan dua beradik anak tempatan menjadi juruterbang RAF iaitu Henry dan Cyril Tallala dan berdepan Perang Dunia Kedua.
Khas sempena Hari Malaysia juga disemarakkan dengan tayangan program “The 7TH Malaysia Debate Open 2015’, pukul 5.00 petang dimana pada 10 Mac lalu, Voices Debating Society of Multimedia University (MMU), Melaka telah berkolaburasi dengan Kelab Kebajikan & Sukan 1Malaysia Melaka menganjurkan The 7th Malaysia Debate Open 2015. Terdapat 50 pasukan dan 200 peserta dari Malaysia, Australia, Indonesia, Filipina, Korea, Jepun, Singapura, India dan China bertanding dalam dua kategori – Kategori Terbuka. Malaysia Debate Open adalah acara tahunan untuk membawa bersama-sama individu segenap lapisan umur untuk mengambil bahagian membangunkan kemahiran mereka melalui debat, dan untuk bersaing. Program ini mendapat sokongan MMU, Kerajaan Negeri Melaka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TRAXXfm, Perhimpunan Belia Sedunia, Telekom Malaysia dan Extreme Edge Sdn. Bhd.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.