Walaupun di mana seseorang itu berada, jangan dilupa asal-usul mereka. Anak-anak Melayu yang hidup bermastautin di Perth, ada yang berniaga membuka kedai restoran, farmasi dan perniagaan pelancongan. Ternyata kejayaan seseorang itu memberikan inspirasi kepada orang lain juga memberi dorongan kepada anak Melayu yang ingin bertapak hidup di negara orang. Namun begitu, jiwa perantau yang telah lama menetap di tempat orang, pasti tetap merindui kampung asal masing-masing.
Berkongsi pengalaman kisah suka duka dan pahit manis rakyat Malaysia yang hidup sebagai perantau di luar negara bagi membina kerjaya dalam pelbagai bidang menerusi program “Perantau†yang bakal menemui penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 15 Jun ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6.00 petang di TV2.
Inspirasi Melayu Berjaya di Perth, Australia Dalam Program “Perantau†di TV2
Bersama hos Qadri Nurhalim, 13 episod kembara ini membawa penonton berkongsi pengalaman individu Melayu sejak bila mereka berhijrah ke Perth, Australia, kerjaya atau perniagaan apa yang diusahakan juga pencapaian mereka yang gigih berjuang ditengah-tengah warga bangsa lain yang tinggal di situ.
Kongsikan pengalaman menarik dua beradik berasal dari Terengganu mengusahakan perniagaan Makan2 Café yang menghidangkan menu masakan Melayu. Semua ahli keluarga yang berada di Malaysia amat berbangga dengan pencapaian mereka. Seterusnya hos menggunakan kenderaan karavan mendekati perantau yang telah berhijrah lebih 20 tahun lalu yang mulanya hanyalah untuk melawat suaminya di Perth. Anak sulung dalam keluarga Felda ini, ke Perth mengikut suami kerana ingin mengubah nasib kehidupan keluarga. Isteri kepada seorang pemandu teksi, menceritakan masalah yang telah diharunginya dalam berhadapan dengan perjalanan kehidupan pergaulan anak-anak dalam masyarakat Australia.
Ikuti penceritaan Natasha anak kelahiran Ipoh dari emak berbangsa Melayu dan ayah dari keturunan Arab. Jodoh Natasha dengan Fozzil Jaafar, seorang warga Singapura meneruskan penghidupan mereka di Perth. Walaupun telah lama menetap di Perth, jiwa Natasha tetap merindui emak dan adik bongsu di kampung.
Program ini turut memperkatakan kejayaan beberapa perantau yang telah membina empayar mereka sendiri iaitu Abdul Rahman berasal dari Pulau Pinang yang mengimamkan solat mereka di satu masjid, Zulkifli Abdul Khalid yang telah membuka sebuah restoran masakan India dan Zakhri Yusoff yang membuat perniagaan sate. Masing-masing menceritakan pengalaman yang dilalui.
Ada juga yang ke Australia dengan tujuan menemani isteri melanjutkan pelajaran di Perth. Akhirnya dia sendiri mengambil keputusan untuk terus menetap di sini. Selain bekerja sebagai pengurus teknikal sebuah syarikat minyak dan gas, dia yang berasal dari KL juga merupakan seorang DJ di siaran radio etnik bagi siaran suara Melayu dan seorang yang aktif dalam komuniti Melayu. Kedudukan Imran dalam syarikat tempat dia bekerja amat disenangi oleh pihak majikannya.
Pengalaman dua orang perantau, Elsie dari Pulau Pinang, seorang wanita bekerjaya yang menjadi perantau melalui perkahwinannya dengan seorang warga Inggeris juga Tuan Hj. Khalid Hj. Hussin berasal dari Merlimau, Melaka yang telah merantau di Perth lebih dari 35 tahun. Beliau dikenali oleh masyarakat Melayu di Perth, sangat aktif dan sangat menyayangi bangsanya.
Menariknya turut diceritakan kisah hidup sebagai isteri dan ibu dalam masyarakat di Perth. Perhubungan di antara kaum ibu Melayu di Perth amat akrab dan menyeronokkan. Pembelajaran tentang agama mendekatkan ahli-ahli kaum ibu. Kegigihan jiwa mereka membolehkan isteri sanggup meneruskan kehidupan di perantauan.
Paparan kehidupan Budiman, yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan dibesarkan di Gombak, telah membuka sebuah kedai farmasi berdasarkan kepakaran yang dipelajari di University of Tasmania. Kini beliau dan isteri, seorang doktor perlu memerhati dan memastikan anak-anak jalani kehidupan sebagai anak Muslim. Seterusnya pengalaman warga Malaysia yang berasal dari Negeri Sembilan bertugas di Perth Airport. Dia bertemu jodoh dengan Daniel Simmons, warga New Zealand terus menetap di Perth.
Turut ditunjukkan perjalanan siaran radio Melayu yang diusahakan oleh anak Melayu Ahmad Fauzi Abdullah, berasal dari Shah Alam yang telah berhijrah ke Perth sejak tahun 2001. Melakukan kerja siaran radio Melayu secara sukarela tanpa sebarang gaji bersama rakannya Wan Mohd. Imran dengan siarannya yang hanya seminggu sekali sahaja. Matlamat mereka adalah untuk memainkan lagu-lagu Melayu di samping memberi informasi kepada komuniti Melayu, termasuklah pelajar-pelajar Melayu di Perth.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.