4 PROGRAM MUZIKAL HARI RAYA TV2 : MUZIKAL LAGI-LAGI RAYA, KONSERT ROCK JIWANG RAYA, SELAMAT HARI RAYA PERANTAU DAN KONSERT GENERASIKU – INDIE BAND
Sepanjang meraikan sambutan Aidilfitri ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadiahkan program-program Muzikal Hari Raya yang pastinya mampu menghiburkan dan membuatkan penonton tidak berganjak menerusi Muzikal Lagi-Lagi Raya (21 September 2009, jam 1.30 petang), Konsert Rock Jiwang Raya (22 September 2009, jam 1.30 petang), Konsert Generasiku – Indie Band (24 September 2009, jam 1.30 petang) dan Selamat Hari Raya Perantau 26 September 2009, jam 10.05 pagi) yang disiarkan menerusi saluran Dunia Ria, TV2.
Hujan dalam konsert Generasiku
Penonton diajak berhibur dengan Muzikal Lagi-Lagi Raya yang menceritakan gelagat anak muda sekarang untuk menyambut hari raya yang bakal menjelang. Pelbagai kerenah remaja yang dipaparkan dengan unsur komedi dan juga nasihat. Di samping itu, diserapkan unsur 1 Malaysia serta persembahan lagu raya dari artis-artis termasuklah Izwan Pilus, Bob, Tomok, Along Cham, Eyeja, Dina, Sarah Raisuddin, Kenchana Dewi, Stacy, Sharifah Shahora dan Azwan Ali. Elemen komedi dan nasihat yang diselitkan pastinya mampu menyuntik semangat penyayang dan menghormati golongan yang lebih tua.
Amyza dan Elly
Kemudiannya diteruskan dengan Konsert Rock Jiwang Raya menampilkan pengacara Azrul (Raja Lawak) dan Amyza Adnan, konsert yang dimeriahkan dengan kemunculan semula artis-artis berkumpulan terkenal dengan lagu-lagu berkonsepkan lagu-lagu rock jiwang sekitar tahun 80an dan 90an. Konsert yang mengangkat Alfa Booty sebagai pengarah muziknya telah dirakam secara terbuka di Padang Semarak RTM dengan disaksikan ribuan penonton yang hadir untuk berhibur dengan lebih dekat lagi dengan artis kesayangan mereka. Bersiaran selama 90 minit, konsert ini membariskan artis ternama seperti Baggio Damasutra, Shamrin Fotograf, Elly AXL’S, Rahmat Ekamatra, Ameng Spring dan Amir Ukays mendendangkan lagu popular mereka di samping seleksi lagu raya.
Seterusnya anda diajak bergelak ketawa dan berhibur dengan Selamat Hari Raya Perantau pula mengisahkan dua orang anak muda, Dino (Saiful Apek) dan Ujang (Nabil) yang bekerja sebagai pembantu di Warung Pak Mat. Dino berasal dari Pulau Pinang manakala Ujang pula dari Negeri Sembilan. Pak Mat (Mr.Os) pula duda kematian isteri dan memiliki anak gadis bernama Aspalela (Amy Mastura). Mereka berdua ingin memenangi hati Aspalela walaupun ditentang oleh Pak Mat. Apabila hari raya menjelang tiba, mereka meminta pertolongan Raja (Sathia) untuk membeli tiket bas namun telah ditipu oleh Raja. Di manakah mereka beraya tahun itu? Siapakah antara keduanya yang berjaya memenangi hati Aspalela?
Namun pastinya yang paling menjadi tumpuan golongan remaja, Konsert Generasiku – Indie Band yang julung-julung diterbitkan RTM yang dirakamkan di Padang Semarak dengan membariskan artis-artis indie terkenal 6ixth Sense, Hujan, Grey Sky Morning, One Buck Short, Pesawat, Tony Leo, The Snow Symphony, Najwa, Deja Vodoo Spells dan Liyana Jasmay. Konsert ini membuktikan RTM berusaha memberi satu platform bagi mereka berhimpun dan berkongsi karya mereka dengan penonton. Malah diangkat sebagai salah satu cara RTM mendekatkan golongan remaja masa kini untuk menonton salurannya.
Justeru sepanjang perayaan ini, usah lepaskan peluang berhibur dengan program-program hiburan terbitan Unit Hiburan TV RTM, Muzikal Hari Raya : Muzikal Lagi-Lagi Raya (21 September 2009, jam 1.30 petang), Konsert Rock Jiwang Raya (22 September 2009, jam 1.30 petang), Konsert Generasiku – Indie Band (24 September 2009, jam 1.30 petang) dan Selamat Hari Raya Perantau 26 September 2009, jam 10.05 pagi) di TV2.