“SALAM AIDIL ADHA” DI TV3
Pelbagai Rancangan Menarik Sempena Hari Raya Haji
Sempena menghayati pengertian dan kepentingan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini yang jatuh pada 6 November 2011 (Ahad) bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1432H, TV3 turut memeriahkan sambutan dengan menyajikan himpunan rancangan-rancangan hebat termasuklah 4 telemovie istimewa yang terbaru untuk tontonan seisi keluarga.
Bakal menemui penonton bermula 5 November (Sabtu), jangan lupa untuk menyaksikan 4 telemovie terbaru sempena “Salam Aidil Adha” di TV3 seperti Haji Bakhil, Korban Tak Jadi, Panggilan 10 Zulhijjah dan Panggilan Baitullah yang diwarnai oleh barisan pelakon handalan seperti Dato’ Jalaluddin Hassan, Dato’ Rahim Razali, Ning Baizura, Aida Khalida, Lydiawati, Azlee Khairi, Nazim Othman, Neelofa, Eizlan Yusoff, Fahrin Ahmad dan ramai lagi. Selain daripada menggamit emosi, hiburkan hati sambil bergelak ketawa dengan menghayati jalan cerita yang menarik dan bersesuaian dengan tema Hari Raya Haji kali ini.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan 2 filem blockbuster tempatan, iaitu Duyung yang dibintangi oleh Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani, Awie dan Yassin Yahya serta ikuti kisah suka duka sekumpulan remaja, Mohd Addy Ashraf, Nik Adruce, Muhammad Nasiruddin, Nor Zam Zam Zakaria, Fatin Nur Afifah, Erin Malek dan Zed Zaidi dalam mengenal erti persahabatan, cita-cita dan cinta menerusi filem Tentang Bulan.
Selain daripada sajian drama-drama hebat, pastikan temujanji anda untuk menonton program majalah dan dokumentari terbaik TV3 yang memaparkan kandungan menarik seperti Sejernih Sinar Matamu, Malaysia Hari Ini (MHI) Edisi Aidil Adha, Nona – Istimewa Aidil Adha dan Wanita Hari Ini (WHI) Edisi Aidil Adha, terbitan Primeworks Studios.
Berikut ialah program-program istimewa “SALAM AIDIL ADHA” TV3:-
SABTU (5 NOVEMBER 2011)
TELEMOVIE AIDIL ADHA (Ulangan) : Sejadah Kaabah – 11.30 pagi
Sejadah Kaabah mengisahkan tentang seorang ibu iaitu Lijah dan anaknya, Izah, yang berumur 10 tahun dalam mengharungi keperitan hidup apabila Lijah terpaksa menyara keluarga dengan hanya menjual nasi lemak di kaki lima dan mengambil upah menjahit di waktu malam. Selain Izah, Lijah turut dibantu oleh anaknya yang lain, Yati dan Mail. Gerai Lijah telah disita oleh DBKL kerana berniaga di kawasan larangan. Di sekolah, Cikgu Jamilah mengumumkan peraduan mengarang bertemakan ’Keluarga’ peringkat kebangsaan dan pemenangnya akan membawa pulang wang tunai lumayan. Izah berhasrat untuk memasuki pertandingan tersebut.
Pelakon: Sharifah Shahrizah, Eka Farhana, Esliza Loy, Hanis Kamal, Noorkhiriah
CEREKARAMA: Haji Bakhil – 10.00 malam
Haji Bakhil terkenal di seluruh kampung kerana sifat kedekutnya. Isterinya, Habibah sedih kerana Haji Bakhil langsung tidak mahu mengajaknya pergi menunaikan haji. Adiknya, Jamilah menyarankan supaya tahun ini Haji Bakhil membawa ibu mereka, Puteh menunaikan Haji memandangkan keadaan emaknya yang sudah tua dan semakin uzur. Namun, Haji Bakhil memberi pelbagai alasan kononnya kalau sudah tua pergi Haji hanya akan menyusahkan ramai orang.
Pelakon: Fadhil Dhani, Mak Engku, Mak Mah, Anne Abdullah, Arash, Ning Baizura, Nazim Othman
AHAD (6 NOVEMBER 2011)
TELEMOVIE AIDIL ADHA: Korban Tak Jadi – 10.07 pagi
Aidiladha tahun ini, Pak Ateh dan Pak Kassim ingin menyembelih lembu sebagai korban. Pak Kassim mahu semua anak-anaknya turut serta manakala Pak Ateh pula mahu Fendi pulang dan menyertai acara korban. Pak Kassim awal-awal lagi sudah menghebahkan pada orang kampung yang dia ingin mengajak mereka datang ke rumahnya untuk bersama menyembelih lembu pada hari raya nanti. Apabila idea tersebut didengari olah Wan Maryam, dia mencadangkan Pak Kassim untuk berkongsi dengan Pak Ateh. Pak Kassim menolak. Apakah yang terjadi seterusnya?
Pelakon: Dato Jalaluddin Hassan, Dato Rahim Razali, Aida Khalida, Lydiawati, Azlee Khairi, Neelofa
Nona ’Istimewa Aidil Adha’ – 2.00 petang
Sempena Hari Raya Aidil Adha, Nona membawakan anda episod khas menelusuri cabaran dan pengalaman para sukarelawan tempatan, yang mempunyai sebuah rumah kebajikan di Yogyakarta, Indonesia. Salah seorang sukarelawan muda, Farahana Sulaiman menjalankan aktiviti kebajikan dengan membantu kanak-kanak didikan KAFA serta merentas sempadan negara untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak di Panti Asuhan, Yogyakarta demi mendalami erti pengorbanan. Bencana letusan Gunung Merapi yang berlaku hampir setahun berlalu masih meninggalkan kesan bagi sebilangan besar penduduk Yogyakarta. Krew Nona bersama hos, Vanidah Imran melihat kesan laluan lahar dan kehangatan awan panas yang meragut lebih daripada 300 nyawa. Tidak ketinggalan, Nona turut berkongsi kisah menyayat hati pasangan usahawan yang juga sukarelawan, iaitu Datuk Seri Kadir dan Datin Seri Juriah yang telah kehilangan satu-satunya puteri tercinta mereka, tatkala menunaikan ibadah Haji.
Sejernih Sinar Matamu – 5.30 petang
Program mini dokumentari ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang tokoh ilmuwan iaitu Prof Dr Muhaya Haji Muhamad yang turut memaparkan pandangan dan pengalaman hidupnya sebagai seorang pejuang medan ilmu. Blok pertama menceritakan tentang Prof Dr Muhaya sewaktu kecil yang membesar dalam keluarga Islamik, serta bagaimana beliau memilih kerjaya sebagai seorang pakar mata. Blok kedua menyelitkan tentang keperibadian Prof Dr Muhaya sebagai seorang ibu. Beliau telah menceritakan detik pemergian anak bongsunya pada tahun 2000. Blok ketiga pula menyentuh tentang rutin hidup beliau serta impiannya sebagai seorang muslimah sejati.
Penerbit: Mohd Fareed Sharif & Suara latar: Ahmad Fedtri Yahya
TELEMOVIE AIDIL ADHA: Panggilan Baitullah – 10.00 malam
Abdullah bin Mubarak adalah seorang hartawan yang suka menunjukkan kemewahan kepada orang ramai. Setiap tahun dia pergi menunaikan haji. Abdullah bin Mubarak memang berkemampuan untuk hidup sebegitu. Bagaimanapun, semakin hampir hari dia hendak berangkat ke Mekah, Abdullah berasa keadaan dirinya tidak seperti biasa. Atas nasihat isterinya, Sarimah, Abdullah menunaikan solat taubat dan ketika khusyuk berzikir, Abdullah telah tertidur. Abdullah telah bermimpi dia terlihat cahaya turun dari langit dan ada dua orang yang tidak dapat dilihat wajahnya sedang berbual tentang haji. Dalam mimpi itu dinyatakan untuk tahun itu hanya ada seorang tukang sepatu dari Pekan Alor Gajah bernama Muhammad Haq bin Idris yang tidak dapat berhaji tetapi diterima hajinya. Abdullah bagaikan terpanggil untuk mencari siapa dia Muhammad Haq yang dimaksudkan. Abdullah menjadi tidak keruan dan akhirnya, berbekalkan gerak hatinya, Abdullah berangkat ke Kampung Gajah untuk mencari lelaki itu.
Pelakon: Eizlan Yusoff, Fahrin Ahmad, Mak Ungku, Liza Abdullah
ISNIN (7 NOVEMBER 2011)
Malaysia Hari Ini (MHI) Edisi Aidil Adha – 6.30 pagi
Raikan Aidil Adha bersama barisan hos Ally Iskandar, Abby Fana, Ahmad Fedtri Yahya, Mohd Zuklifli, Wardina dan Nurul Syuhada di dalam edisi khas MHI sempena Hari Raya Aidil Adha yang memaparkan tentang sambutan perayaan ini di peringkat keluarga, komuniti dan kebangsaan, termasuklah beberapa segmen menarik.
TELEMOVIE AIDIL ADHA (Ulangan): Anak Emak – 10.02 pagi
Mengisahkan kehidupan Hisham dan Siti yang baru sahaja mendirikan rumahtangga. Perkahwinan atas dasar cinta sama cinta, bagaimanapun tidak seperti diharapkan Siti apabila Hisham masih hendak `berkepit’ dengan emaknya sepanjang masa.
Pelakon: Ungku Ismail, Almy Nadia, Liza Abdullah, Kapten Mohd Nor Bond, Anne Ngasri
Wanita Hari Ini (WHI) Edisi Aidil Adha – 12.00 tengah hari
Sempena menyambut kemeriahan Hari Raya Aidil Adha, program khusus untuk kaum wanita dan seisi keluarga ini akan membincangkan tentang pelbagai topik menarik mengenai yang berkaitan dengan perayaan penuh makna ini.
FILEM BLOCKBUSTER AIDIL ADHA: Duyung – 4.02 petang
Duyung merupakan filem komedi fantasi romantik menceritakan tentang Jimmy yang merupakan pencinta alam sekitar. Dia tinggal di perkampungan nelayan menghabiskan masa seharian mengutip sampah untuk memelihara kebersihan perkampungan tersebut. Dia percaya kisah lagenda dahulukala yang diceritakan oleh ibunya, bahawa jika persekitaran bersih, duyung akan muncul. Adakah kepercayaan tersebut benar? Dapatkah dia bertemu dengan duyung seperti yang diimpikannya itu?
Pelakon: Maya Karin, Saiful Apek,. Yasmin Hani, Awie, Yassin Yahya
FILEM BLOCKBUSTER AIDIL ADHA: Tentang Bulan – 10.00malam
Menceritakan tentang kehidupan kanak-kanak di kampung, kenakalan mereka dan tentang impian masing-masing apabila dewasa. Apabila seorang gadis tiba di lapangan terbang dan menaiki teksi untuk kembali ke kampung halamannya bagi menghadiri majlis perkahwinan. Di dalam teksi itu si gadis terkenang kembali zaman kanak-kanaknya bersama lima orang sahabatnya iaitu Mawi, Gemuk, Ketot, Budi dan Ila. Kehadiran Ina menyebabkan Ila rasa cemburu dan dilupakan kawan-kawannya yang ‘jatuh hati’ dengan keayuan Ina sedangkan dia bersifat tomboy. Ila cuba berubah tetapi ditertawakan kawan-kawannya menyebabkan dia menyisihkan diri sehinggalah satu hari dia berpindah mengikut keluarganya ke tempat lain.
Pelakon: Mohd Addy Ashraf, Nik Adruce, Muhammad Nasiruddin, Nor Zam Zam Zakaria, Fatin Nur Afifah, Nur’Arina Abd Malek, Zed Zaidi
SABTU (12 NOVEMBER 2011)
CEREKARAMA: Panggilan 10 Zulhijjah – 10.00malam
Pak Majid dan Mak Biah berhasrat untuk menunaikan haji namun duit hasil berniaga pisang goreng tidak mencukupi untuk membolehkan mereka ke Tanah Suci. Tambahan pula terpaksa menyara anak lelaki bujang mereka Zaki yang mengganggur. Memikirkan usia mereka yang semakin meningkat, mereka membuat keputusan untuk menjual tanah pusaka dan wang hasil penjualan tanah itu akan digunakan untuk menunaikan Haji selebihnya akan dibahagikan sama rata kepada anak-anak mereka. Pak Majid dan Mak Biah bersepakat untuk merahsiakan mengenai penjualan tanah itu untuk mengelakkan perebutan dan tuduh menuduh terutama anak mereka yang menetap di Kuala Lumpur, Zahari dan Zahani. Cuma kepada Zarina dikhabarkan tentang hasrat mereka itu. Apakah yang bakal berlaku?
Pelakon: Datuk Rahim Razali, Aripah Damanhuri, Anne Ngasri, Azhan Rani, Amyza Adnan, Shukri Yahaya
Jangan lupa untuk sama-sama menikmati kemeriahan Hari Raya Haji kali ini menerusi pelbagai rancangan menarik bertemakan SALAM AIDIL ADHA di samping keluarga, sanak saudara dan sahabat handai hanya di TV3. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1432H dan selamat menonton!