in

Program Menarik Sempena Aidiladha di TV3

RANCANGAN MENARIK SEMPENA AIDILADHA DI TV3!

Umat islam seluruh dunia bakal menyambut Aidiladha pada tanggal 27 November 2009. Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang menjelang tiba tidak lama lagi, TV3 telah menyediakan beberapa program menarik dan menghiburkan untuk tatapan muslimin dan muslimat khususnya penonton-penonton setia TV3. Bersesuaian dengan perayaan yang menuntut pengorbanan dan keinsafan, program-program yang disiarkan amat sesuai dijadikan pengajaran dalam mengenal erti pengorbanan. Selain menghiburkan, ianya juga amat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Sambil bersantai dan beristirehat seisi keluarga jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati sajian istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ini.

Antara program-program istimewa Aidiladha ialah:

Al-Hidayah Aidiladha, Khamis, 26 Nov, 5.35ptg
Aidiladha di Istanbul Turki menggamit kenangan usahawan muda dari Malaysia Izham Istar yang mula bertapak ke alam perniagaan di bandar pelancongan ini. Izham Istar anak kelahiran Kampar Perak kini telah kembali ke tanah air sejak tiga tahun lalu. Beliau telah memulakan perniagaan di Istanbul  selama 15 tahun. Beliau mahir berbahasa Turki. Memulakan kerjaya sebagai pemandu pelancung di Turki, yang akhirnya mendapat kepercayaan menjadi rakan kongsi sebuah syarikat tempatan yang dikenali sebagai Anatolia Travel Network atau ATN. Beliau pernah mengiringi orang kenamaan dari Malaysia yang melawat ke Turki. Boleh dikatakan selama berada di Turki Izham Istar sentiasa menyambut Aidiladha di Turki. Ikuti budaya menyambut hari raya Aidiladha di Turki bersama Izham Istar yang kini hanya tinggal kenangan baginya.

Aidiladha Telemovie, Sandaran Kasih, 27 Nov, 12.35pagi
Anna telah berpisah dengan suaminya dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Faiz berumur 6 tahun. Dia menguruskan sebuah syarikat hiasan dalaman bersama Sam. Sam seorang yang baik hati dan selalu mengambil berat masalah kesihatan Anna. Sering mengingatkan Anna pengambilan ubat yang diarahkan oleh doktor. Anna tidak dapat menahan kesedihan apabila doktor mengesahkan tentang penyakitnya. Dia tidak tahu apa akan jadi pada Faiz jika dia tiada lagi. Hubungannya dengan kedua ibubapanya tidak berapa baik kerana perkahwinan mereka tidak direstui. Anna tidak tahu di mana dia harus mencari ayahnya. Sam cadangkan Anna pergi cari ayahnya dan memperkenalkan Faiz kepadanya walaupun Anna merasakan ayahnya tidak akan menerima kehadirannya kembali. Namun Anna berjaya mencari ayahnya. Dapatkan ayahnya menerima mereka?
Pelakon: Ida Nerina, Yalal Chin, Haikal Johari Azmi, Maizurah Hamzah, Hj Baharuddin Hj Omar

Magical World of Disney, Johnny Tsunami, 27 Nov, 10.00pagi
Apabila peluncur hebat Johnny Kapahala yang berusia 13 tahun berpindah dari rumahnya di Haiwaii, dia yakin yang dia akan tinggalkan segala keseronokan dan juga rakan-rakannya serta datuk kesayangannya. Di tempat baru di Vermont dia benar-benar rasa terasing sehinggalah dia temui rakan baru dan sukan baru-peluncur salji. Namun masalahnya tidak berakhir di situ, Johnny mendapati dirinya berada di tengah-tengah antara kumpulan peluncur yang sombong dan rakan-rakan peluncur salji dari sekolah awam yang kini menjadi rakannya. Sedikit bantuan tidak terjangka dari datuknya memberikan dia kekuatan untuk menghadapi si sombong. Tetapi dapatkah dia membuktikan dirinya sebagai seorang atlit terbaik di gunung dan dapatkah dia mengakhiri pertengkaran antara dua kumpulan tersebut? Saksikan filem yang penuh dengan pengembaraan yang mengasyikkan.
Pelakon: Brandon Baker, Yuji Okumoto, Mary Page Keller, Lee Thompson Young

Wanita Hari Ini Istimewa Aidiladha, 27 Nov 2009, 12tghari
Wanita Hari ini memaparkan kisah pengorbanan orang tersayang untuk orang tersayang dalam segmen Korban Jiwa bersama kembar siam Ahmad, Muhammad dan keluarga, isteri yang banyak berkorban untuk suami dan keluarga serta pakar motivasi. Turut menjadi paparan adalah berita sambutan Hari Raya Korban.

Cerekapilihan Aidiladha, Suci Kasih, 27 Nov, 1.05tghari
Imran dan Zana berkahwin atas dasar cinta walaupun tanpa restu dari emak Imran, Yon Aminah. Dia mahu Imran berkahwin dengan Juriah yang datang dari keluarga kaya. Ketika mengandung, Imran dan Zana terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian Imran dan anak dalam kandungan Zana. Zana pula koma selama sebulan dan apabila dia sedar dia menjadi murung apabila mengetahui tentang kematian suami dan bayinya. Yon Aminah menyalahkan Zana atas kematian anaknya. Zana cuba untuk melupakan kejadian yang menimpa keluarganya tetapi gagal. Satu hari, Zana diberitahu oleh syarikat insuran tentang wang insuran suaminya. Apabila Yon Aminah mendapat tahu mengenainya, dia cuba berbaik dengan Zana. Zana yang sudah jemu dengan perangai ibu mertuanya bercadang untuk bercuti. Semasa bercuti, dia bertemu dengan Mohsin dan mendapat tahu yang isteri Mohsin memerlukan bantuan pemindahan buah pinggang. Zana, tanpa pengetahuan sesiap bercadang untuk mendermakan buah pinggangnya kepada isteri Mohsin. Apakah yang berlaku selanjutnya?
Pelakon: Elly Mazlin, Wan Maimunah, Aida Aris, Shahrul Kamaludin, Remy Ishak

Istimewa Aidiladha: Taubat Nasuha, 27 Nov, 10.05malam
Hasil perkahwinan Syamizi dan Laila mereka dikurniakan 3 cahayamata iaitu Aimin 11 tahun, Aiman 8 tahun dan Amirul 4 tahun. Laila kini sedang mengandung anak ke empat dan usia kandungannya 4 bulan. Ketiga-tiga anak Syamizi begitu nakal pada pandangan Syamizi. Ini kerana Syamizi merupakan seorang ayah yang panas baran akibat tuntutan dan didikan hidup dari arwah ayahnya yang merupakan seorang tentera. Akibat dari itu, cara dia menegur dan mendidik anak-anaknya sama seperti arwah ayahnya yang garang dan bengis serta berdisiplin. Pantang sahaja sedikit silap anak, mesti rotan atau sepakan singgah di muka anak itu. Laila sudah puas mengingatkan dan menasihatkan suaminya, namun tidak diendahkan oleh Syamizi, malah ada kalanya Laila juga menjadi sasaran baran Syamizi. Bagi anak-anak pula setiap kali kemunculan ayahnya di rumah membuatkan mereka sedikit gementar namun tidak menghalang mereka bergurau senda dan bermain bersama. Keriuhan sebegini menjadi satu gangguan kepada Syamizi. Kesabaran Laila cukup tinggi memandangkan sebagai seorang isteri, dia sedar syurga itu di telapak kaki suami. Namun, segala-galanya berubah apabila satu tragedi menimpa keluarga itu. Apakah yang berlaku?
Pelakon: Sheila Rusly, Fauzi Nawawi, Dato’ Jalaluddin Hassan, Sheila Mambo, Naim Daniel, Haikal Raihan, Aliff Ikqmal

Istimewa Aidiladha: Menyahut Seruan, 27 Nov, 12.35pagi
Dokumentari khas Hari Raya Aidil Adha akan memperincikan sejarah dan latarbelakang kawasan paling mulia di tanah suci Mekah yg menjadi pra-syarat kpd kesempuraan perlaksanaan ibadah haji bagi umat Islam sedunia

Cerekarama Aidiladha: Korban Kasih Marlisa, 28 Nov, 10.05malam
Marlisa merupakan ribuan wanita moden yang telah berjaya mencipta kejayaan tersendiri di dalam kerjayanya. Atas kredibiliti yang dimilikinya, ayahnya Datuk Ibrahim tidak teragak-agak menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengurus Besar di Excellent Holdings Sdn. Bhd. yang menguruskan syarikat pembinaan. Atas kesibukan itulah Marlisa masih belum berkahwin. Antara strategi syarikatnya adalah melatih eksekutif muda yag dinamik dan mempunyai potensi untuk berjaya. Antara eksekutif muda itu termasuklah Adam Rais antara mereka yang mempunyai potensi untuk membantu kejayaan Matrix Holdings.  Adam  merupakan  seorang anak kampung yang mengkagumi kegigihan Marlisa. Dia begitu berani mendekati Marlisa untuk belajar sesuatu yang boleh meningkatkan prestasinya. Hubungan mereka semakin rapat walaupun Marlisa cuba menindakkan perasaannya pada Adam. Adam akhirnya berani meluahkan rasa cintanya pada Marlisa. Marlisa terkejut dan mengingatkan jarak usia mereka yang terlalu ketara. Dalam pada itu, Sapiah, Ibu Adam merancang menjodohkannya dengan gadis kampungnya bernama Nuraina. Dia langsung tidak mengetahui Adam sedang bercinta dengan Marlisa. Sapiah menerima kepulangan Adam dengan Marlisa dengan tenang walaupun dia tidak menyenangi hubungan itu apatah lagi untuk merestui perkahwinan mereka. Sapiah cuba melayan Marlisa dengan baik. Nuraina tidak sedikit pun cemburu malah menganggapnya secocok walaupun berbeza usia. Nuraina mudah mesra dengan Marlisa dan menganggpnya sebagai kakak. Namun, Sapiah tiada pilihan lain selain mahu Marlisa meninggalkan Adam dan mahu dia mengahwini Nuraina. Adam terpaksa berkahwin dengan Nuraina walaupun dia masih menyintai Marlisa. Apakah yang terjadi kepada mereka bertiga?
Pelakon: Umie Aida, Awal Ashari, Tizz Zakiah, Arash Mohd,  Fadhilah Mansor, Dato Rahim Razali, Aida Radzwill, Kismah Johar

Aidiladha Kids Special: Barbie & The Three Musketeers, 29 Nov, 10.32pagi
Masanya untuk “All for One and One for All” apabila Barbie dan rakan-rakannya membintangi The Three Musketeers! Sertai Barbie sebagai Corinne, gadis dari kampung ke Paris untuk mengejar impiannya-menjadi musketeer Wanita! Tidak terbayang olehnya yang dia akan berjumpa dengan tiga orang lagi gadis yang secara rahsia mempunyai impian yang sama. Dengan menggunakan bakat istimewa, gadis-gadis tersebut bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mengagalkan satu rancangan dan menyelamatkan putera.

Pesona 3: Dongeng Malin Kundang, 29 Nov, 3.00ptg
Mengisahkan Malin, seorang anak yang dibesarkan dalam kemiskinan oleh ibunya Khadijah. Satu hari Malin telah menolong Asna, seorang kaya yang diragut begnya. Setelah itu, Asna mengambil Malin menjadi anak angkatnya. Demi kebahagiaan anaknya, Khadijah merelakan pemergian Malin. Malin yang cuba menyesuaikan dengan keadaan baru tidak digemari oleh anak Asna Adrian dan kawan-kawannya. Namun keadaan berubah apabila Malin berjaya mempengaruhi rakan-rakan Adrian untuk berkawan dengan mereka dan menjauhi Adrian. Satu hari, Malin dan kawan-kawan barunya berkunjung ke kampung asalnya. Malin bermati-matian cuba menyembunyikan keadaan ibunya Khadijah yang miskin dan tua. Malin tidak mengaku yang Khadijah ibunya malah dia memaki dan mencerca Khadijah yang sedang sakit. Khadijah mengutuk perbuatan Malin dan keesokan harinya Malin didapati menjadi batu.
Pelakon:

Semperit Tak Bergula, 30 Nov 10.00malam
Drama ini mengisahkan tentang Alang Bakri yang menghidap penyakit kencing manis. Isterinya telah meninggal dunia dan menginginkan perhatian daripada anak-anaknya terutamanya Ramadan, anak lelaki tunggalnya.  Ramadan tinggal di bandar dan telah mengambil keputusan untuk membawa bapanya tinggal di rumahnya. Bagi Ramadan, jika bapanya tinggal bersamanya, sekurang-kurangnya Diah, isterinya dapat menjaga dan memantau pemakanan bapanya yang menghidap penyakit kencing manis itu. Diah isteri Ramadan amat risau dengan penyakit bapa mertuanya dan amat tegas dari segi pemakanan. Diah benar-benar menjaga Alang Bakri kerana dia tidak mahu penyakitnya melarat teruk. Alang Bakri tidak selesa dengan layanan menantunya. Setiap kali apabila Diah keluar bekerja, Alang Bakri akan curi-curi keluar dan makan makanan yang manis. Alang Bakri sering mengambil kesempatan untuk minum the tarik setiap kali selesai berterawih di masjid. Suatu hari Ramadan dan Diah melihat Alang Bakri sedang makan di luar. Ini membuatkan Diah berasa kecewa kerana dia amat menjaga pemakanan bapa mertuanya. Alang Bakri ada menceritakan kepada imam masjid bahawa dia amat rindukan kuih semprit yang selalu dibuat oleh arwah isterinya. Imam terus memberitahu Ramadan dan  kerana tidak mahu mengecewakan Alang Bakri, Diah membuat kuih semprit kesukaan bapa mertuanya. Namun Alang Bakri amat marah apabila kuih semprit yang dibuat Diah adalah tanpa gula. Diah sengaja berbuat begitu kerana kencing manis bapanya amat kronik.
Pelakon: Burhanuddin Omar, Arash Mohd, Ifa  Raziah

Selamat menonton!!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penyanyi Realiti Ada Album Tapi Masih Pergi Ujibakat

Program Khas Aidiladha di RTM