’Ramadan Di Hatiku TV9’
Kuih Raya Chef Ismail – 10 Ogos, Setiap hari, 2.28 petang
Pada setiap hari, penonton dapat belajar pelbagai jenis panduan, tips dan resipi-resipi istimewa sempena bulan Ramadan ini oleh chef terkenal tanah air, Chef Ismail. Daripada kuih hingga ke lauk yang lazat-lazat belaka, jangan lupa tonton kapsul 2 minit ini setiap hari di TV9.
Insyaf – 13 Ogos, Jumaat hingga Ahad, 10.00 malam
Sebagai seorang manusia yang lemah, kita tidak terlepas daripada terjebak dengan pelbagai dosa, baik kecil mahupun besar. Namun, dalam hati seseorang insan itu, terdapat juga kebaikan, kejujuran dan keikhlasan untuk insaf dan bertaubat untuk tidak mengulangi sebarang durjana. Mari kita sama-sama menonton Insyaf, satu rancangan baru yang diadaptasikan oleh kisah-kisah benar serata Malaysia. Insyaf akan memaparkan 13 drama yang memfokuskan keinginan seseorang untuk membersihkan dirinya dari dosa-dosa yang lampau.
Perjalananku – (8 episod) 12 Ogos, Khamis dan Jumaat, 6.30 petang
Seterusnya, TV9 juga akan menyiarkan program ekslusif sempena Ramadan, iaitu Perjalananku. Ia merupakan sebuah program realiti yang akan menyaksikan selebriti-selebriti terkenal tanah air pula melakarkan kisah hidupnya sebelum dan selepas bergelar artis. Hidup sebagai seorang artis ini penuh dengan dugaan dan cabaran, apatah lagi apabila diperhatikan oleh orang ramai. Selebriti-selebriti yang dipaparkan di dalam rancangan ini akan menceritakan kembali pengalaman yang telah merubah kehidupan dan karier mereka. Selain temuramah, penonton juga akan disajikan dengan video dan gambar-gambar menarik berkenaan kisah hidup mereka.
Resipi Istana – (8 Episod), 9 Ogos, Isnin dan Selasa, 6.30 petang
Menarik bulan Ramadan ini ialah tentang program masakan kerabat di Raja menerusi Resipi Istana. Ia merupakan sebuah rancangan yang mengetengahkan resipi dan proses masakan oleh kerabat diraja serata Malaysia. Penonton boleh mencuba sendiri resipi istana yang jarang dipaparkan sebelum ini sebagai hidangan buka puasa atau Hari Raya. Program menraik ini dihoskan Khairul Noormaaidah (Aida Ikon Gadis Melayu 1) oleh Antara kerabat diraja yang terlibat dalam rancangan ini ialah Raja Perempuan Kelantan, YAM Tunku Intan Shafinaz (Kedah), YM Tunku Jemilah Tunku Mohammed Archibald (Johor), YM Tunku Maimunah (Kelantan), YAM Tunku Elina dan YAM Tunku Azureen.
Jom Berbuka – (8 Episod), 14 Ogos, Sabtu dan Ahad, 6.30 petang
Sebuah lagi rancangan membabitkan juadah berbuka puasa adalah Jom Berbuka. Program menarik ini dihoskan oleh pengacara yang kuat berceloteh iaitu Sharifah Shahirah. Beliau akan membawa penonton semua ke tempat-tempat menarik dan popular serta makanan yang enak untuk berbuka puasa di seluruh Malaysia. Antara makanan berbuka popular yang akan dipaparkan adalah Nasi Arab Cyberjaya, Aneka Bubur (Johor), Kelapa Jeli, Jus Buah FAMA, Ani Sup Utara, Murtabak Raja Kota Bharu, Bahulu Kuala Selangor, Kek Lapis Ifa Vs Deja Moss dan banyak lagi. Tempat-tempat berbuka menarik pula adalah seperti JM Briyani House (Bangi), Hotel Berjaya (Kuala Lumpur), Restoran Intai-Intai, Hotel Renaissance (Kota Bharu), Food Court Seksyen 2 (Shah Alam), Alamanda Food Court, Menara Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Ekspedisi Chef Wan (Istimewa Ramadan) – (5 Episod), 11 Ogos, Rabu, 6.30 petang
Sememangnya istilah memasak sudah sinonim dengan nama chef terkenal Malaysia iaitu Chef Wan. Menerusi program Ekspedisi Chef Wan (Istimewa Ramadan), beliau kembali lagi dengan episod istimewa sempena Ramadan di mana beliau akan mengembara ke negara Turki untuk mengenali serta memperkenalkan makanan, adat dan budaya rakyat di sana. Ini adalah masa terbaik untuk kita semua mencuba resipi-resipi luar negara yang sedikit sebanyak dapat menambahkan juadah berbuka puasa.
Ejen 2X5 – 8 Ogos, Ahad, 8.30 malam
Untuk menghiburkan hati para penonton pula, Sitkom Ejen 2×5, sebuah komedi menarik terbitan GBSB akan disiarkan menerusi TV9 sepanjang bulan Ramadan ini. Drama penuh dengan kelucuan ini dibintangi oleh pelakon komedian handalan tempatan seperti Joey, Noorkhiriah, Fauzi Nawawi, Rosnah Mat Aris dan Amyza Adnan. Sitkom ini menceritakan tentang sebuah agensi penyiasatan bernama Rendang P.I dan diterajui oleh Fauzi Lambada, lakonan Fauzi Nawawi. Ejennya merupakan dua orang penyiasat yang tidak berpengalaman iaitu Dina Sekali (Noorkhiriah) dan Kitul (Joey Daud). Fauzi telah mengambil mereka secara “bidan terjun†sementara mencari penyiasat yang benar-benar berkaliber. Berjayakah mereka membuktikan diri sebagai penyiasat yang berkaliber dan sekaligus membina kepercayaan terhadap syarikatnya?
Ratu: Mahabbah De Laila – (26 Episod), Isnin, 9.30 malam
Selepas bergelak tawa dengan sitkom menarik di TV9, mari tonton sebuah drama kekeluargaan penuh sayu, Mahabbah De Laila, lakonan Abby Abadi, Hairul Azreen, Anding, Jasmin Hamid. Ia mengisahkan tentang pengorbanan seorang isteri terhadap suami yang tercinta walaupun dirinya hampir terkorban. Perkahwinan mereka yang berdasarkan suka sama suka tetapi mereka dilambung ombak kehidupan dalam menempuhi dugaan dan cabara kerana perbezaan usia yang amat ketara. Dapatkah mereka berdua menempuhi badai dugaan hidup walaupun hampir lemas ditelan fitnah kehidupan? Matlamat utama drama ini adalah untuk memberi saranan atau bimbingan terhadap masalah penceraian yang berleluasa di negara ini. Selain itu, drama ini juga memberi pengajaran tentang bagaimana hendak mengatasi masalah yang timbul jika pasangan mempunyai perbezaan usia yang jauh antara satu sama lain.
Solat Terawikh – Setiap hari, 1.00 pagi
Sepanjang bulan Ramadan ini juga, TV9 akan menyiarkan Solat Terawikh dari Mekah setiap hari pada pukul 1.00 pagi. Begitu banyak fadhilat mengerjakan solat terawikh, seperti contoh, diampuni dosa-dosa orang yang beriman seperti baru dilahirkan, mendapat kebaikan dunia dan akhirat, mendapat pahala seperti empat puluh tahun ibadat dan banyak lagi. Setiap malam kita melakukan solat terawikh, terdapat ganjarannya yang tersendiri. Pastinya setiap amalan dan ibadah yang dilakukan kerana Allah akan diganjari dengan keredhaanNya dalam segala aspek kehidupan kita.
Pastikan anda tidak ketinggalan menonton program-program yang telah disediakan oleh TV3 dan TV9 sepanjang bulan Ramadan ini.
Semoga bulan mulia ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk meningkatkan amal ibadat menuju ke arah keredhaan Allah SWT. Seperti Firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.â€