Pada jam 3 petang, hari Rabu semalam, Astro telah melancarkan sebuah lagi program berbentuk komedi & gossip di Hugo on 6, Tingkat 6, Hotel Best Western Premier Dua Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
Namun, jangan disangka pulak, Meletop tidak ada persamaan dengan program gosip artis yang sedia ada iaitu Melodi atau Propaganza.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, program yang disasarkan untuk penonton berusia 15 hingga 25 tahun itu mengetengahkan pengisian isu dan topik sensasi yang menjadi trend di kalangan golongan muda hari ini.
“Pengisian Meletop memaparkan pengisian yang menjadi bualan, ikutan dan trend golongan muda hari ini termasuklah dunia siber dan laman sosial, gosip, muzik dan filem. Ia bukan mengenai paparan gosip dunia hiburan semata-mata. Elemen itu hanya sebahagian kecil daripada pengisian keseluruhan. Pendek kata, apa sahaja topik atau isu yang menjadi trend dan ikutan semasa orang muda akan dipaparkan.”
Meletop yang bersiaran selama satu jam diacarakan secara langsung oleh dua anak seni popular iaitu Nabil Ahmad dan Neelofa.
Ia bakal disiarkan bermula 30 Oktober ini pada setiap Selasa pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Astro-On-The-Go.
Mengenai pemilihan Nabil dan Neelofa, Raqim berkata, mereka menjadi pilihan berdasarkan populariti, keaktifan dan pengaruh mereka menggunakan laman sosial.
“Mereka masih baru dan segar. Gandingan ini juga menarik kerana Nabil dikenali dengan komedinya dan Neelofa pula lebih serius dan formal. Elemen ini akan mewarnai persembahan program iTU nanti,” katanya.
Nabil dan Neelofa yang julung kali disatukan sebagai pengacara berkata, mereka tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan program secara langsung itu kerana sering bekerjasama dalam beberapa acara pentas dan majlis rasmi sebelum ini.
“Ini adalah platform untuk saya tonjolkan sisi berbeza yang lebih ceria dan santai. Selama ini saya sudah dikenali dengan gaya yang feminin, sopan dan formal sebagai pengacara,” kata Neelofa.
Nabil pula berkata: “Sudah lama saya tidak mengacarakan program televisyen. Kalau tidak silap kali terakhir adalah dua tahun lalu. Saya sangat rindu dan teruja untuk mengacarakan program ini kerana bakat saya mula diasah dan dikenali menerusi program televisyen (Raja Lawak).”
Antara individu yang terlibat dalam menjayakan program baru ‘Meletop’.
Dalam pada itu, Naib Presiden Bahagian Gen-Next, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, setiap kandungan yang dipaparkan adalah berdasarkan kajian dan kumpulan fokus di kalangan golongan muda.
“Selaku pengasas idea dan konsep, pemilihan pengacara dan kandungan Meletop memakan masa yang panjang, bermula sejak awal tahun ini. Hasil perbincangan dan kumpulan fokus di kalangan muda-mudi, kami terpaksa memilih hanya beberapa idea daripada 40 segmen yang dicadangkan dari awal,” katanya.
Program ini terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu ‘Gosip Meletop’ mengenai gosip hangat, ‘Carta Meletop’ (carta lagu 40 di Era FM) dan ‘Filem Meletop’ (filem terlaris dan sketsa parodi babak daripada filem).
Selain tiga segmen kekal itu, terdapat beberapa segmen istimewa seperti ‘Birthday Meletop’, ‘Arena Meletop’ dan ‘Lokasi Meletop’ yang dipaparkan secara bergilir-gilir berdasarkan isu paling hangat pada minggu tertentu. Sumber: Mstar Online