Segalanya Tentang Kaki di TV2 : Program Majalah Di Kaki
Pastinya menarik apabila segalanya tentang kaki daripada cara pemilihan kasut yang sesuai dan tips penjagaan kaki di kongsi pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program majalah terbaharu bertajuk Di Kaki yang telah pun menemui penonton sejak 3 Ogos lalu, jam 10.30 pagi, setiap Rabu dan Khamis di TV1.
Menampilkan pengacara Yusmal Ghazali dan Shazleen Shahbi, program 13 episod ini membawa penonton untuk mengetahui tentang sejarah kasut dan juga evolusi kasut. En Sarudin Idras, seorang penyelidik teknologi kasut menceritakan serba ringkas tentang sejarah pemakaian kasut dan juga tentang perbezaan fesyen kasut mengikut budaya.
Turut menarik perhatian apabila Yusmal dan Shazleen masing-masing mengambil peluang untuk menemubual Lewre Lew, seorang pereka kasut Malaysia bertaraf antarabangsa dan cukup dikenali. Beliau juga merupakan seorang anak didik Dato’ Jimmy Choo, seorang pereka kasut dari Malaysia yang memang dikenali di peringkat antarabangsa.
Selain itu, program ini turut meneroka dunia pembuatan kasut, bermula dari rekaan perekanya, proses pemotongan hinggalah ke pembuatan tapak kasut serta proses jual beli antara pihak pengeluar dengan wakil jualan.
Temubual dengan orang ramai tentang kasut yang menjadi pilihan mereka selain pelbagai tips berguna tentang pemakaian dan penjagaan kasut yang diterima daripada pereka kasut bumiputera terkenal turut mengisi program di siarkan setengah jam ini.
Bagi golongan yang mementingkan penjagaan kaki, Di Kaki meninjau penjagaan kaki di Fish Spa & Reflexology di mana Veron Wong, Pengurus Pemasaran memberikan maklumat berguna untuk dikongsi bersama. Antaranya termasuklah mengapa perlunya penjagaan kaki menggunakan ikan yang diimport dari Turki ini, kekerapan berkunjung ke fish spa dan sebagainya.
Sebuah butik kasut yang menitikberatkan ciri-ciri kesihatan turut dipaparkan selain pengetahuan tentang jenis-jenis kasut yang sesuai dengan keadaan kesihatan seseorang. Begitu juga turut dikongsi tentang tips penjagaan kuku kaki dan juga kulit tapak kaki.
Akhir sekali, Shazleen menemuramah seorang pengurus butik kasut fesyen wanita di mana beliau berkongsi pengetahuan dan pengalamannya tentang jenis-jenis kasut yang sesuai mengikut tujuan tertentu. Manakala Yusmal pula membawa penonton meninjau pembaiki kasut jalanan, di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Salah seorang pembaiki memberitahu tentang perniagaannya, peralatan dan tips penjagaan kasut. Seorang lagi pula berkongsi mengapa dia membaiki kasut di jalanan. Yusmal turut bertemu dengan pembekal peralatan kasut di Chow Kit.
Justeru kepada anda yang masih terfikir-fikir bagaimanakahn cara mendapatkan kaki yang sihat di samping selesa di pakai, saksikan program Di Kaki setiap Rabu dan khamis, jam 10.30 pagi hanya di TV1.