BAKAT yang dikesan pada anak-anak sejak usia mereka masih muda tidak sepatutnya disalah guna pihak tertentu termasuk ibu bapa yang ingin menumpang populariti sehingga tergamak menjadikan golongan cilik berkenaan sebagai ‘mangsa’.
Jika dikesan memiliki bakat sekalipun atau dilihat mampu melangkah jauh dalam bidang seni satu hari nanti, pendidikan anak-anak berkenaan tidak sepatutnya diabai bagi menjamin masa depan yang lebih terjamin.
Pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM), Datuk A Rahman Hassan, berkata pendidikan amat penting dalam usaha memastikan anak-anak berkenaan mampu menilai baik buruknya sesuatu tindakan malah berupaya mengubah minat terhadap bidang seni menjadi kerjaya.
“Bukan niat saya untuk menidakkan bakat seni yang dikesan di kalangan anak-anak kecil, tetapi ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya. Jangan sehingga ibu bapa pula yang hendak tumpang glamor dengan menjadikan anak sebagai mangsa. Ada yang saya lihat kanak-kanak perempuan seawal usia lima tahun sudah disolek seperti orang dewasa semata-mata untuk memupuknya menjadi artis seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MMM dengan Jabatan Belia dan Sukan di Putrajaya, baru-baru ini.
MoU berkenaan ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Wasitah Mohd Yusof mewakili Jabatan Belia dan Sukan manakala MMM diwakili Setiausaha Agung MMM, A Gopalkrishnan disaksikan A Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Fathul Razi Bakri.
MoU itu adalah kerjasama antara MMM dengan Bahagian Pembangunan Rakan Muda bagi menjalankan Program Kursus Muzik Remaja Rakan Seni Budaya kepada golongan remaja.
A Rahman berkata, MMM berhasrat memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bentuk modal insan untuk mengisi kekosongan mereka yang semakin lama semakin terdedah kepada unsur negatif.
“Menerusi program ini asas muzik dalam bidang vokal, gitar dan dram akan diperturunkan kepada golongan remaja. Selain itu, nilai seperti komitmen dan disiplin akan ditekankan kepada remaja yang mengikuti program kerana kedua-dua nilai berkenaan diperlukan untuk belajar bermain muzik. Daripada pendedahan itu remaja boleh menilai sendiri hala tuju mereka dalam bidang muzik,” katanya.
Terdahulu, Wasitah dalam ucapannya berkata, keutamaan untuk menyertai program itu akan diberikan kepada golongan remaja yang sudah berdaftar sebagai peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARP).
“Peserta ARP perlu memilih satu jenis kemahiran atau hobi bagi melayakkan peserta berkenaan dianugerahkan mana-mana tahap anugerah yang disertai dan melalui program ini, peserta ARP dapat mempelajari bidang muzik dan mungkin satu hari nanti sebagai kerjaya mereka. Untuk menjayakan program ini, MMM bersama Bahagian Pembangunan Rakan Muda akan mengendalikan 150 guru muzik dianggotai pemuzik, penyanyi dan guru muzik sedia ada yang akan mengajar kira-kira 1,350 peserta Rakan Muda seluruh negara,” katanya.
Wasitah berkata, sejajar keperluan semasa di mana golongan remaja lebih terdedah kepada cabaran globalisasi dan arus pembangunan negara yang pesat, Program Kursus Muzik Remaja Rakan Seni Budaya dirancang bagi memperbanyakkan pilihan dan peluang remaja mengikuti aktiviti yang dilaksanakan Rakan Muda.
Beliau berkata, sebagai permulaan program itu akan dilaksanakan di Kompleks Rakan Muda dan Pusat Kegiatan Rakan Muda yang terpilih di setiap negeri.
Katanya, program itu akan dipromosikan Jabatan Belia dan Sukan negeri kepada remaja di peringkat negeri masing-masing bersama MMM.
“Wilayah Persekutuan adalah negeri pertama yang akan memulakan program ini iaitu pada 24 April di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Program ini akan diadakan dengan kekerapan dua jam pada setiap hujung minggu selama 15 minggu mengikut modul yang disediakan pihak MMM,” katanya. [sumber]