in , ,

Program Istimewa Dedikasi Kepada Wira Negara di Malam #BaikSemula

Bersempena dengan kempen Kita Malaysia #BaikSemula yang sedang rancak berlangsung di semua platform Media Prima Berhad, TV3 bakal menyajikan program bual bicara istimewa Malam #BaikSemula yang dihoskan oleh Nabila Huda, AG dan Fara Fauzana pada 28 Ogos 2021 dari pukul 10.00 malam hingga 11.30 malam.

Kredit Foto: Salam Today www.salamtoday.com.my

Malam #BaikSemula memberi penghargaan tinggi kepada barisan petugas hadapan yang komited dengan amanat yang diberikan dan atlet negara di sukan Olimpik Tokyo 2020. Antara tetamu yang akan ditemu bual ialah Dato’ Azizulhasni Awang, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Tuju K-Clique, Alif Satar, Aina Abdul, Khai Bahar, Shuib Sepahtu, Ismail Izzani, Douglas Lim dan ramai lagi. Para penonton juga akan disajikan dengan beberapa muzik video pilihan yang menjadi peneman dan pemangkin semangat rakyat Malaysia tatkala diuji dengan pelbagai rintangan dan menempuhi detik-detik yang paling mencabar ini. 

Sejak penularan wabak Covid-19, barisan petugas hadapan komited menggalas tanggungjawab mereka demi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia. Dokumentari Majalah 3 siaran 17 Mei yang memaparkan keadaan getir yang dihadapi petugas di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) mendapat perhatian luas terutamanya keluhan dan titisan air mata Jennifer Asha Clement, jururawat Unit Rawatan Rapi di Hospital Sungai Buloh yang ditugaskan untuk menjaga pesakit Covid-19 yang kritikal. Pastinya penonton ingin tahu tentang perkembangan terkini di sana dan harapan beliau tentang perjuangan pandemik ini. Ikuti perkongsian beliau di program Malam #BaikSemula. 

Program Istimewa Dedikasi Kepada Wira Negara di Malam #BaikSemula

Dalam harapan untuk memulihkan negara, rakyat Malaysia kini menyahut saranan untuk mengambil vaksin. Kami juga kongsikan ucapan khas dari Dr. Safwan Saifudin dari PPV Grand River View, Kota Bahru, Kelantan, Dr Zulfa Vety Dol Bakri, Penyelaras PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) Daerah Port Dickson dan Siti Sarah Ahmad Jalaludin, jururawat kesihatan di PPV Port Dickson. 

Pada malam itu, Nabila Huda, AG dan Fara Fauzana akan mendalami jiwa atlet negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang yang telah mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Beliau akan menceritakan persiapan rapi yang dilakukan ketika keadaan pandemik Covid-19 masih berleluasa. 

Music can heal. Lagu mampu merawat duka dan memberi semangat kepada kita.Situasi pandemik tidak menghalang penggiat seni untuk berkongsi mesej positif menerusi karya kreatif masing-masing. Lagu tema kempen Kita Malaysia #BaikSemula yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju K-Clique telah menyuntik semangat dan memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa kita pasti akan baik semula. Ikuti perkongsian mereka di sebalik tabir pembikinan muzik video dan juga apakah harapan mereka menerusi perjuangan ini. 

Malam #BaikSemula juga mendedikasikan lagu-lagu pilihan kepada mereka yang membanting tulang untuk memerangi pandemik Covid-19 ini termasuk barisan petugas hadapan dan wira-wira negara yang tidak didendang. Antaranya, ‘Baik Semula’ kolaborasi antara Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju K-Clique, ‘Bangkit’ oleh Salamusik dan Altimet, ‘Anugerah Terindah’ daripada Alif Satar & The Locos, ‘Warna Warni’ kolaborasi istimewa Aina Abdul dan Daniesh Suffian, ‘Sengsara’ buah tangan baharu daripada Khai Bahar untuk tonton CINEMA original, Dendam Penunggu, ‘Nota Hasratku’ oleh Ahmad Adly dan tidak ketinggalan juga lagu hits daripada ikon KPop, BTS iaitu ‘Permission To Dance’.

Program Istimewa Dedikasi Kepada Wira Negara di Malam #BaikSemula

Selain itu, nantikan Ismail Izzani, Shalma Eliana, Bella Dowanna, Imran Aqil, Atiq Azman dan Ahmad Adly  iaitu barisan pelakon utama dari Dendam Penunggu, sebuah filem seram yang bakal strim di tonton CINEMA tidak lama lagi.

Jangan lupa janji temu anda di Malam #BaikSemula, 28 Ogos 2021, pukul 10.00 malam hingga 11.30 malam di TV3 dan Youtube TV3Malaysia Official. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia Gunakan #KitaMalaysia #BaikSemula untuk menghangatkan lagi perbualan di laman media sosial. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

5 Filem Bajet Ciput Tapi Pecah Panggung, Kaut Keuntangan Berlipat Ganda

Hael Husaini Kurang Aktif Di Media Sosial Untuk Terus Kekal Tenang