Anda pernah tak menonton program Insaf musim pertama? Kalau anda tak cukup insaf, bolehlah menonton lagi di musim kedua ini. Dengarnya, Insaf musim terbaru lebih menarik. INSAF, rancangan temubual yang telus menyentuh nurani insan dengan mengangkat empat kisah benar daripada kehidupan masa lampau empat individu terpilih.
[dropcap]T[/dropcap]ampil penuh debaran, rancangan 30 minit, 4 episod ini diolah secara segar dengan rekaan set dan penataan cahaya menghidupkan sesi penceritaan dari temubual yang dihoskan oleh Hj. Ahmad Noor Sulaiman. Penonton akan mendengar, memahami dan mempelajari kisah hidup mereka dengan emosi yang menyentuh jiwa.
Semakin berat kejahilan terpikul di bahu,
semakin jauh perjalanan memburu nur-Mu.
Sewaktu berlari di padang hidup,
kerap kakiku tersadung selirat akar,
tubuhku tercalar duri pidana,
pada samar kejauhan, ancala mulia makin kabur dan menghilang.
Sekadar songsang aksara kata tanpa kembali ke tunjang makna,
Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?
Rabb, moga pintu taubat-Mu terbuka sebelum api dari bara itu menyala.
Begitu bunyinya bait setiap maksud mendalam sajak MENGINTAI RUANG INSAF nukilan Shukri Abdullah. Sajak ini membuka minda kita atas persoalan keinsafan yang ada di dalam setiap diri manusia di mana ada tercatat juga cerita di sebalik keinsafan ini. TV3 telah mengembalikan program Insaf untuk musim kedua bersesuaian dengan bulan Ramadan, agar cerita keinsafan ini boleh dijadikan teladan.
Bagaimana kesemua mereka kembali insaf dan menemui titik perubahan dalam kehidupan? Mereka mencari sesuatu yang hilang iaitu Agama dan Tuhan. Memaparkan 4 tajuk berbeza di setiap episod dengan episod pertama ‘Ibu Ayam’, episod kedua ‘Kerana Seringgit’, episod ketiga ‘Nyawa Kedua’ dan episod keempat ‘Bukan Superhero’.
Jangan ketinggalan untuk menonton program yang diterajui oleh Siti Zuraihan Abdul Rashid selaku Penerbit, Hj. Ahmad Noor Sulaiman pula sebagai hos dan Penerbit Eksekutif dan diterbitkan oleh Unit Bual Bicara Agama, Primeworks Studios yang mula ditayangkan sebanyak 4 episod pada setiap Khamis bermula 8 Julai 2013 sepanjang Ramadan, jam 5.30 petang di TV3. Penonton boleh layari Facebook, Instagram dan TwitterTV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.