Baru-baru ini, Budiey telah menemubual secara eksklusif pengacara lelaki nombor satu negara, tidak lain tidak bukan Datuk Aznil Bin Hj Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil.
Pak Nil adalah pengacara program GO PAKNIL yang bersiaran di Astro 118. Untuk makluman pembaca, program GO PAKNIL sudah pun masuk ke musim kedua bersama pengacara bernama Raianna.
Anda semua boleh tonton di saluran Astro 118 jam 10 pagi hingga 12 tengahari setiap hari Rabu.
Temubual Eksklusif Bersama Pak Nil Pengacara Program GO PAKNIL
• Terangkan secara lebih lanjut tentang program GO PAKNIL.
Go Pak Nil dah masuk musim kedua menjelang bulan Disember. Untuk musim yang pertama – program ini adalah sebenarnya program interaktif dimana saya akan berinteraksi dengan penonton di studio serta menjawab sebarang persoalan secara langsung daripada para penonton mahupun pengguna sebab program ini adalah program siaran secara langsung. Saya sudah pun berusia 55 tahun, jadi program Go Pak Nil yang berlangsung selama dua jam ini sebenarnya menceritakan pengalaman kehidupan saya.
Saya mempunyai cara perjalanan hidup yang berbeza dengan orang-orang sekarang – daripada zaman tiada pengisar sampai sekarang ada macam-macam lebih daripada pengisar. Ini adalah suatu yang sangat luar biasa dan pada waktu yang sama, apabila saya berkongsi kita punya pengalaman – pengalaman itu sebenarnya pengalaman Pak Nil sebagai guru kehidupan. Banyak yang boleh dikaitkan dengan cerita-cerita Pak Nil sebab ramai daripada penonton kita juga mempunyai pengalaman yang hampir sama serta pengalaman lain yang mungkin mereka tidak melalui sebelum ini. Jadi program ini sebenarnya dapat menambah baik kehidupan kalangan ramai.
• Apakah cabaran dalam mengacara program ini berbanding dengan program secara langsung yang lain?
Cabarannya ialah segala demonstrasi barangan dibuat dan dicuba adalah secara langsung. Disebabkan ia secara langsung, macam-macam boleh berlaku dan ini semua pengalaman-pengalaman yang biasa. Belum ada lagi pengalaman yang luar biasa berlaku sebab kebanyakan pada barang-barangan yang dijual di Go Pak Nil adalah barangan yang berkualiti. Barangan yang dijual di Go Shop adalah barangan yang telah diuji.
• Digandingkan dengan Raianna, ceritakan pengalaman.
Ini adalah kali pertama Pak Nil bekerjasama dengan Rai. Rai sebagai seorang isteri mempunyai pengalaman dimana kerja-kerja rumah dimudahkan dengan barang-barangan daripada Go Shop. Rai juga seorang yang sangat professional. Saya pula lebih kepada aspek spontan, berkongsi pengalaman, memberi tip kehidupan dan Rai adalah satu pihak yang lain, memberi spesifikasi barangan, tawaran yang diberikan, harga dan juga pada waktu yang sama, pengalaman dia turut dikongsi. Jadi cerita bergandingan dengan Rai– bagi saya ialah satu kerjasama yang menjanjikan banyak lagi kerjasama yang akan datang.
• Apakah reaksi dan respon daripada penonton program ini yang Pak Nil terima di laman social?
Sebenarnya, mereka suka menonton sebab mereka percaya pada apa yang Pak Nil katakan. Pak Nil sudah bersama dalam kehidupan mereka agak lama, jadi mereka menganggap Pak Nil adalah orang yang terdekat untuk mereka mempercayai dan meyakinkan tentang pembelian mereka. Dan ini disahkan bahawa harga yang kami tawarkan di Go Pak Nil adalah harga khas untuk penonton Pak Nil. Kalau mereka menonton pada waktu yang lain, Pak Nil tak yakin mereka akan dapat harga itu dan juga komposisi tawaran yang Go Pak Nil berikan. Jadi mereka sebenarnya suka menonton, maklum balas ialah, mereka menantikan Go Pak Nil kerana mereka mendapatkan satu pakej pembelian tawaran harga yang mereka nanti-nantikan.
• Ada pendapat yang mengatakan program seperti ini membuatkan ramai berbelanja dengan suka hati dan membazir, apa pendapat Pak Nil?
Saya rasa dapat kawal di rumah berbanding dengan membeli di luar. Satu, barangan yang kita nampak – ada tak di dalam rumah kita? Kadang-kala kalau kita beli beg tangan rasa macam jadi hilang ingatan dan hilang punca membeli barang di luar. Kadang-kadang, balik rumah ingat barang ni sudah ada. Pada waktu yang sama, kalau barangan di dapur seumpamanya kita dapat tengok – lusuh atau tidak, perlu diganti atau tidak. Jadi ini lebih berbaloi untuk anda menonton dan penonton akan membuat keputusan yang lebih tepat. Dan anda berada di satu keadaan bawah bumbung yang tidak memberi apa-apa tekanan. Anda tidak berdepan pun dengan penjual yang anda selalu hadapi kalau pergi ke kaunter. Tapi kalau di rumah kita mempunyai semua kebolehan atau punca untuk berfikir. Jadi ada yang mengatakan bahawa program seperti Go Pak Nil ini akan membuat ramai belanja dengan suka hati dan membazir itu adalah Pak Nil rasa kurang tepat. Program Go Pak Nil selama dua jam, kalau di kedai, 5 minit saja orang itu cuba yakinkan awak dan kamu diperangkap untuk membeli. Kami ada dua jam untuk meyakinkan awak dan berikan awak masa untuk berfikir. Fikiran anda untuk membuat keputusan adalah lebih senang hati dan lebih banyak masanya. Kalau terlepas program Go Pak Nil, kami ada ulangan. Anda boleh ikuti ulangan itu dan anda boleh berbincang lagi dengan suami – tak perlu nak bawa suami pergi balik tempat itu, meyakinkan suami – benda ini dah dimudahkan.
• Sepanjang mengacara program ini, ada tak detik-detik yang tak dapat lupakan oleh Pak Nil?
Detik yang Pak Nil tak dapat melupakan ialah apabila pembeli sendiri yang memberikan respon secara langsung di Instagram, di program atau bila diwawancara tentang keseronokan mereka apabila Pak Nil berkongsi pengalaman. Kalau Pak Nil dikatakan ‘Guru of Living’, Pak Nil bukan orang yang paling tahu memasak seumpamanya, tapi dengan program ini Pak Nil dah berani masak dan Pak Nil lebih menyakinkan orang terutama mereka yang mempunyai masalah yang tidak pandai menggunakan alat dapur seumpamanya. Jadi detik-detik yang paling menyeronokkan ialah detik yang memeranjatkan Pak Nil diri sendiri. Pak Nil sendiri yang tak sangka Pak Nil boleh melakukan benda itu. Selama ini Pak Nil simpan-simpan takut untuk melakukannya, tapi dengan barangan yang ditawarkan, ia menjadi lebih mudah dan Pak Nil jadi lebih berani. Lepas itu, Pak Nil dilihat sebagai orang yang mempunyai sisi yang berbeza pula.