Khas Aidilfitri : Program Fesyen, Seri Syawal Dan Panorama Temui Penonton TV1
Raikan Syawal Bersama TV1 dengan dua buah program bertemakan sambutan Aidilfitri yang disediakan khas buat penonton saluran RTM. Pastinya dua program majalah ini mampu menambah kemeriahan dan keceriaan sepanjang sambutan hari raya ini dalam berkongsi tips berfesyen dan memilih fabrik terbaik untuk dijadikan busana meraikan lebaran.
Bukan itu saja, penonton turut berpeluang menyaksikan bagaimana pertembungan dua budaya bersatu menyediakan hidangan yang enak dan lazat dalam sebuah lagi program pilihan disiarkan Hari Raya ini di TV1.
Program Seri Syawal dalam lapan episod siarannya mulai 20 Ogos 2012, setiap Isnin hingga Khamis, jam 12.30 tengah hari berkongsi fesyen hari raya khusus untuk lelaki mahupun wanita yang bakal membawakan pelbagai trend dan fesyen terbaru untuk digayakan sepanjang Aidilfitri ini.
Segmen gaya selebriti turut menampilkan artis terkenal antaranya Irma Hasmie, Ashraff Muslim, Sari Yanti, Johan Ashari, Intan Ladyana, Ning Baizura dan pereka fesyen popular Jovian Mandagie menggayakan fesyen pilihan masing-masing yang dipadankan dengan aksesori yang pastinya dapat menambah keyakinan si pemakai di hari raya.
Program majalah yang telah pun sedekad menemui penonton, Panorama meneruskan legasinya menghidangkan paparan menarik untuk dikongsi bersama penonton setia program terbitan Unit Majalah & Dokumentari RTM ini.
Disiarkan pada 22 Ogos 2012, jam 10.30 malam khas meraikan lebaran tahun ini, keluarga Panorama bakal menyambut raya bersama-sama penduduk di Kampung Sungai Kuali, Tanjung Piai, Pontian Johor. Raya kali ini sangat berbeza kerana untuk pertama kalinya dua masyarakat terbesar di Johor iaitu masyarakat Bugis dan Jawa bergotong-royong membuat persediaan menyambut raya bersama-sama.
Pelbagai juadah istimewa dua masyarakat ini disajikan bagi memeriahkan lagi suasana hari raya yang diraikan tanpa mengira usia yang kemuncaknya dimeriahkan dengan acara sambutan rumah terbuka gabungan dua budaya. Episod istimewa ini menampilkan pengacara Tun Julia bergandingan dengan Nani dalam setengah jam siarannya.
Luangkan masa menyaksikan 2 program majalah ini hanya di TV1.