Program Dapur Panas yang menemui penonton TV3 pada bulan Ramadan lalu ternyata berjaya mencipta fenomenanya tersendiri. Keunikan konsep program Dapur Panas pastinya masih segar dalam ingatan peminat program 30 minit ini. Bertitik tolak daripada sambutan hebat program ini, TV3 berbesar hati membawa Dapur Panas kembali menemui para penonton bermula 31 Oktober 2013, setiap hari Khamis jam 11.30 pagi.
Program ini dikendalikan oleh seorang chef yang tidak asing lagi dalam dunia masakan iaitu Chef Nik Michael Imran. Menerusi 9 episod Dapur Panas, Chef Nik Michael tidak akan bersendirian kerana dia akan ditemani tetamu undangan yang akan mengupas topik yang dipilih secara santai dan bersahaja sambil fokus utama masih kepada program masakan.
Dalam episod mingguan, Dapur Panas akan membuka tirai dengan segmen pertama yang membawa penonton ke sebuah lokasi mengikut tema episod. Di setiap lokasi yang dikunjungi mempunyai cerita unik yang tersendiri kerana tetamu akan berkongsi tentang aktiviti dan cabaran kerjaya mereka sambil menunjukkan demonstrasi tugas-tugas mereka yang mencabar.
Dapur Panas tampil dengan lebih menarik menerusi segmen kedua, di mana Chef Nik Michael akan menyediakan juadah-juadah istimewa dengan berlatarbelakangkan tema lokasi seperti jeti nelayan, jentera bomba, alam semula jadi dan set penggambaran slot drama Akasia. Chef Nik Michael turut berkongsi tip menghias juadah agar nampak menarik.
Sebelum menutup tirai, jangan lupa menonton segmen terakhir Dapur Panas di mana Chef Nik Michael akan berkongsi resipi-resipi pencuci mulut yang enak dan berkhasiat. Selepas itu, Chef Nik Michael akan menikmati hidangan itu sambil berbual topik menarik bersama-sama tetamu di penghujung program.
Menurut Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3,
“Program masakan sering dilihat membantu masyarakat menyediakan sajian makanan yang seimbang untuk amalan harian di samping mempunyai kepelbagaian citarasa untuk dicuba oleh penonton. Sebagai sebuah stesen televisyen unggul yang menawarkan hanya program-program terbaik, TV3 meneruskan siaran Dapur Panas selepas menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peminat ketika program ini bersiaran pada bulan Ramadan yang lalu.”
“Sememangnya kini kita dapat lihat pelbagai konsep program masakan yang diterbitkan di semua saluran televisyen tempatan dengan gaya persembahan yang berbeza dan tersendiri. Bagi program Dapur Panas, kami mencari pendekatan baru dalam konsep penyampaian program ini dengan mendekati golongan individu seperti nelayan, pengayuh beca, pereka fesyen dan komuniti Baba dan Nyonya. Istimewanya program ini, penonton bukan sahaja berpeluang mempelajari resipi baru malah dapat menyelami pengalaman suka duka kerjaya tetamu yang hadir di setiap episod mingguan,” tambah Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri.
Menampilkan Nina Nazeera Nichol dan Saifulizzam Mohd Lizah sebagai Penerbit Eksekutif, pastikan anda berada di depan televisyen untuk menyaksikan program terbitan TwentySeventh Pictures Sdn. Bhd. iaitu DAPUR PANAS, setiap hari Khamis, 11.30 pagi, bermula 31 Oktober 2013. Penonton yang terlepas menyaksikan DAPUR PANAS boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my . Layari laman sesawang www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.