in

Program Bual Bicara Apa Kata Wanita Lebih Realistik

APA KATA WANITA LEBIH REALISTIK DI MUSIM BARU

Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah lama menyedari akan trend penonton masa kini yang sentiasa berubah. Kesedaran itu membawa RTM untuk merubah secara positif sebuah rancangan bual bicara wanita berjudul Apa Kata Wanita? bagi menarik minat dan kecenderungan audiens agar terus melekat di kaca televisyen untuk memberi inspirasi kepada golongan wanita kini. 

Program bual bicara yang telah pun bersiaran di TV1 selama 43 episod di musim-musim sebelumnya ini, akan masih terus mengekalkan pengacaranya iaitu Zamzarina. Walaupun pengacaranya dikekalkan namun perubahan ketara pada rekaan set dan tiga segmen terbaru yang dapat disaksikan pada edisi baru rancangan Apa Kata Wanita ini akan bersiaran secara langsung jam 10.05 pagi pada 1 November 2009.  

Rekaan set dengan mengekalkan penyertaan audiens di studio telah mengambil bahagian dapur sebagai konsep set barunya agar tampak lebih berjiwa feminin. Mengulas berkenaan pemilihan ruang itu Zamzarina selaku penerbit bersama berkata, ”Dapur umpama jantung dalam sebuah rumah. Ia cukup dekat dengan hati wanita”. Oleh itu pemilihan ruang dapur dilihat lebih realistik dan semulajadi bertepatan dengan konsep bual bicara itu yang mengetengahkan isu-isu wanita selain isu ekonomi, sosial dan budaya bersama tetamu-tetamu jemputan di setiap episod.

Tiga segmen baru yang diperkenalkan pada musim ini iaitu Segmen Personaliti, Segmen Kerja@Rumah dan Segmen Skaf Merah Jambu yang bakal menjadi ruang perbincangan dan penyelesaian masalah, memberi informasi terkini selain untuk meningkatkan kemajuan golongan wanita kini dalam memenuhi keperluan alaf baru.

Penampilan lebih ramai tokoh-tokoh wanita di setiap episod akan memberi inspirasi kepada wanita-wanita untuk terus berjaya. Pengalaman, kejayaan dalam pelbagai bidang yang di ceburi mereka serta susah payah kehidupan dikongsikan melalui Segmen Personaliti.

Selain itu Segmen Kerja@Rumah pula mengenengahkan tentang kesungguhan kaum wanita yang berkerjaya dari rumah samaada dalam mengusahakan perniagaan, menawarkan perkhidmatan melalui kemudahan teknologi ICT yang semakin berkembang. Pengalaman mereka untuk mengecap kejayaan hari ini dipaparkan dalam segmen ini.

Lakaran kehidupan sebenar yang dipaparkan melalui Segmen Skaf Merah Jambu yang menggantikan segmen Alahai Khatijah pada musim lalu akan lebih memfokuskan kepada realiti dan kisah-kisah menarik seorang penulis melalui blognya iaitu www.skafmerahjambu.blogspot.com. Laman sesawang yang benar-benar wujud di ruang maya ini dipaparkan demi berkongsi pendapat, komen serta cadangan-cadangan mereka yang melawat laman itu terhadap isu-isu melalui catatan penulis blog.

Edisi pengenalan pada 1 November 2009 akan mambawa anda berkongsi pengalaman dan kejayaan wanita  bergelar Tokoh Budayawan Negara iaitu Puan Azah Aziz dalam segmen Personaliti. Wanita tegar dengan kekuatan cintanya terhadap bahasa dan budaya Melayu ini sentiasa menggarap setiap hasil penulisan karya-karya beliau melalui syair, gurindam dan puisi selain cinta beliau terhadap seni busana warisan melayu.

Musim baru Apa Kata Wanita? juga turut mendapat sentuhan penerbit berpengalaman Nik Ramzi Nik Hassan dalam membawa perubahan yang mungkin menjadi satu anjakan bagi program terbitan RTM ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trivia: Jam Tangan dan Cermin Mata Hitam Pelakon Remaja

10 Artis Indie Malaysia Gegarkan Konsert Gegar Generasiku