in

Profil Top 12 Pencarian Hos 3R Projek3R

3R (Respek, Relaks, Respon), sebuah program TV yang membincangkan isu-isu berkaitan kaum wanita khususnya golongan remaja secara terbuka dan tanpa berselindung kembali bertemu penonton TV3 dengan musim ke-15 pada tahun ini. Selepas berehat selama 3 tahun, 3R Media dengan kerjasama TV3 bakal memperkenalkan barisan hos baru untuk musim baru menerusi ‘Projek 3R’.

Profil Top 12 Pencarian Hos 3R #Projek3R

Prebiu Media Projek 3R

PUTERI ZULAIQHA BINTI MOHD ARIF, 23, KUALA LUMPUR

LATAR BELAKANG
Pemegang Ijazah Seni Komunikasi dan Pengurusan Media dari University of South Australia (UniSA) ini merupakan seorang ahli pasukan sorak yang aktif malah berkemampuan untuk menjadi jurulatih bagi pasukan sorak. Menggemari sukan dodgeball, Puteri teruja dengan aktiviti-aktiviti sukan yang lasak.
MENJADI HOS 3R
Bagi Puteri, beliau mewakili ketidaksempurnaan bagi seorang gadis. Menghargai bakat lebih dari rupa paras semata, Puteri percaya beliau memiliki personaliti yang sesuai dan menarik untuk mengendalikan program 3R.

ZETTY NABILA BINTI MUHAMAD GHAZALI, 22, KUALA LUMPUR

LATAR BELAKANG
Zetty masih mengikuti pengajian pengajian Ijazah Undang Undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga merupakan pengacara bebas, menyumbangkan suara untuk kerja-kerja ‘voice over’ serta aktif dengan rangkaian radio Media Prima, khasnya HotFM. Menggemari aktiviti luar dan sentiasa berminat mencuba perkara-perkara baru, beliau bersemangat tinggi dan menghargai kehidupan.
MENJADI HOS 3R
3R akan menjadi platform terbaik bagi Zetty berkongsi, menyampai dan membantu orang ramai khasnya gadis remaja dalam mengendalikan isu-isu sosial dan kehidupan.

NUR HIDAYAH BINTI ABU BAKAR, 24, KUALA LUMPUR

LATAR BELAKANG
Pemilik Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengacarakan rancangan Hijabista yang ditayangkan di ASTRO Ria sebelum ini. Beliau juga memiliki rangkaian fesyen onlinenya sendiri iaitu FashionCents. Memiliki sikap kepimpinan dan skil pengurusan yang baik, Dayah juga berbakat dalam penulisan lagu.
MENJADI HOS 3R
3R merupakan sebuah program yang memberi impak tersendiri bagi segenap lapisan masyarakat. Dayah percaya kesungguhan beliau dapat mempengaruhi perubahan positif untuk semua selain bersikap spontan dan yakin pada setiap masa.

FIONA CHEONG, 22, SELANGOR DARUL EHSAN

LATAR BELAKANG
Pemegang Diploma Penyiaran dari Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) ini juga merupakan seorang HitzFM Cruizer. Sebagai seorang gadis berbangsa Cina, Fiona sangat fasih bercakap dan menulis dalam Bahasa Melayu. Beliau seorang yang lantang dalam menyuarakan pendapat dan gadis yang aktif serta selalu bersifat ingin tahu dan gemar persaingan sihat.
MENJADI HOS 3R
Ingin menjadi Agen Perubahan, Fiona ingin mengajak rakyat Malaysia terutamanya mengubah pandangan khasnya dalam isu perkauman. Beliau inginkan supaya semua orang dapat menghargai kepelbagaian bangsa dan budaya dalam masyarakat kita selain mengelak dari terus mempunyai tanggapan buruk antara satu sama lain.

SARA NADZIRAH ZULKIFLI, 22, SELANGOR DARUL EHSAN

LATAR BELAKANG
Sara Z sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Ijazah Biologi (Pengkhususan Zoologi) di Universiti Sains Malaysia (USM). Menariknya Sara Z pernah menyertai program pertukaran pelajar Malaysia-Sweden kerana berminat untuk mempelajari budaya serta bahasa di sana. Mengambil peluang mengembara di Eropah pada masa yang sama, beliau akhirnya komited kepada bidang Zoologi.
MENJADI HOS 3R
Mempunyai perwatakan yang tegas dan penuh dedikasi, Sara Z beriltizam untuk membawa program 3R ke satu tahap yang lebih tinggi dan memberi Respek Relaks dan Respon satu makna dan pengukuhan yang lebih terkini.

SARAH LOIS DORAI, 21, SARAWAK

LATAR BELAKANG
Sarah Lois sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Komunikasi, Filem dan Penyiaran dari Universiti Sains Malaysia di tahun kedua. Merupakan seorang gadis kacukan Kelabit dan India, beliau juga aktif menulis blog dan berbakat besar dalam bidang muzik.
MENJADI HOS 3R
Beliau mempunyai keyakinan yang tersendiri terhadap jenama 3R dalam membawa perubahan dan memperkasakan kaum wanita. Sarah Lois percaya penguasaan dalam menyampaikan mesej positif melalui media sosial akan dapat memberi inspirasi dan impak secara halus kepada kehidupan.

NORASHIKEEN BINTI ABDUL RAHIM, 21, KUALA LUMPUR

LATAR BELAKANG
Nora merupakan pemegang Diploma Teater (Seni Lakon) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Menjadi watak utama bagi kebanyakan persembahan teater yang disertainya, Nora juga terlibat dalam produksi pementasan “Asiah Samihah” yang diterajui oleh wartawan dan penulis prolifik negara iaitu Dato’ Johan Jaafar. Seorang pelakon yang berjiwa besar, beliau ingin mengubah persepsi terhadap wanita.
MENJADI HOS 3R
3R mempunyai pengaruh tersendiri sepanjang Nora membesar sehinggalah hari ini. Bagi beliau; Tini, Yuen, Rafidah, Azah dan Celina ibarat ‘kakak-kakak’ yang memberi inspirasi dalam setiap perkongsian mereka. Kini, Nora berazam untuk memberi perkongsiannya dalam sesuatu isu dan berharap ia memberi inspirasi dan impak yang sama seperti hos-hos lalu.

SITI NOR AMIRAH BINTI MOHAMAD AZMI, 22, PUTRAJAYA

LATAR BELAKANG
Pelajar tahun akhir Ijazah Perakaunan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini seorang yang selalu teruja menikmati aktiviti dan cabaran baru. Aktif berlari serta bermain tenis, awal tahun ini Amirah menceburi sukan Capoeira. Semasa beliau masih di kolej dahulu, beliau sanggup memandu jauh ke Cherating, Pahang semata-mata untuk bermain luncur air. Amirah juga merupakan model sambilan untuk beberapa iklan komersial serta pertunjukan fesyen untuk menambah duit poketnya.
MENJADI HOS 3R
Menjadi hos di televisyen merupakan impian Amirah sejak sekian lama, terutama sekali untuk menjadi sebahagian daripada 3R kerana ia merupakan sebuah rancangan yang menyampaikan impak dan mesej positif. Melalui 3R, beliau ingin mendekati gadis-gadis di luar sana dan mengajak mereka bersama-sama menjadi Agen Perubahan sepertinya.

HAZIQAH AZEMI (ZEEK), 21, KUALA LUMPUR

LATAR BELAKANG
Zeek merupakan pemegang Diploma Komunikasi Korporat dari Kolej Poly-Tech MARA. Mempunyai personaliti yang mesra dan ceria, beliau bercita-cita besar menjadi gadis pemain drum yang pertama di Malaysia. Zeek menggemari muzik selain memang bermain drum serta ukulele.
MENJADI HOS 3R
Zeek melihat 3R sebagai sebuah medium efektif yang berupaya membantu remaja dan kelompok bawah umur dalam mendepani hidup termasuklah bagaimana menangani tabiat-tabiat berisiko, masalah sosial dan tekanan sesama rakan sebaya. Melalui 3R, beliau ingin membantu khalayak supaya meluaskan lagi perspektif dalam hidup, positif dalam melawan semua dugaan kehidupan sehingga berjaya selain memupuk nilai masyarakat yang lebih baik untuk masa hadapan.

JASMINE SURAYA CHIN XIAN MEI, 23, SELANGOR DARUL EHSAN

LATAR BELAKANG
Jasmine memiliki ijazah dalam bidang Pengajian Antarabangsa dan Ekonomi dari Monash University, Melbourne, Australia. Beliau merupakan pengacara, penulis serta aktres secara sambilan. Beliau seorang yang sangat spontan terutamanya apabila mengembara dan sangat mencintai bidang pengacaraan selain akan berpuas hati apabila dapat menghasilkan isi kandungan rancangan yang menarik.
MENJADI HOS 3R
Beliau berupaya membincangkan isu-isu semasa dengan cara yang kreatif dan akan menarik perhatian penonton untuk turut sama bersikap peduli walaupun sebelum ini mereka tidak pernah terfikir atau terhalang untuk juga bersuara dan mempertahankan hak mereka.

LEE YVONNE, 24, SELANGOR DARUL EHSAN

LATAR BELAKANG
Pemegang ijazah bidang Komunikasi Media dari KDU University College ini telah aktif dalam bidang peragaan sejak berusia 20 tahun dan telah banyak kali dipaparkan dalam majalah-majalah dan akhbar tempatan. Dimahkotakan sebagai Miss World Malaysia bagi tahun 2012/2013, Yvonne juga pemain piano yang baik.
MENJADI HOS 3R
Yvonne ingin berkongsi dengan gadis-gadis dan wanita di luar sana berkenaan hak-hak wanita, pemerkasaan diri, langkah-langkah menangani isu sosial serta pelbagai masalah lain yang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Ini demi memastikan mereka lebih peka terhadap persekitaran dan menyayangi diri mereka sendiri lebih dari seharusnya.

TAMILARASI A/P MANIUM, 21, PERAK DARUL RIDZUAN

LATAR BELAKANG
Tamila masih mengikuti pengajian bagi kursus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM). Petah berbahasa Melayu, beliau hampir memenangi semua pertandingan debat yang disertainya. Berpendirian dan mempunyai skil kepimpinan, Tamila sentiasa memotivasikan dirinya untuk terus maju.
MENJADI HOS 3R
3R akan memfokuskan kelebihan berkomunikasi Tamila dalam bidang pengacaraan supaya bertumpu kepada isu-isu wanita. Menjadi kesungguhannya untuk menyampaikan mesej-mesej positif dalam menangani isu wanita di dalam negara dan dunia selain mencipta persepsi yang lebih baik terhadap wanita dalam masyarakat.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Drama Abang Long VS Kak Yong

Gambar Ustaz Azhar Idrus Kemalangan di Kuala Terengganu