[dropcap]P[/dropcap]rimeworks Studios telah dianugerahkan sebuah intermedia-globe Emas dan tiga intermedia-globe Perak di World Media Festival pada 15 May 2013. Anugerah tersebut disampaikan di sebuah Malam Gala yang berlangsung sebagai acara penutup Festival ini, setelah tamatnya agenda harian yang merangkumi sesi persembahan dan bengkel yang dikendalikan oleh pakar industri media terkini. Penganugerahan tersebut juga merupakan kemenangan sulung Primeworks di Festival berprestij ini, yang bertuan rumah di pusat media Jerman iaitu bandaraya Hamburg.
Kemenangan sulung ini juga dimaniskan lagi dengan peluang mempamerkan salah satu kempen yang dihasilkan oleh Primeworks bertajuk “Brotherhood CNY” kepada penonton antarabangsa. Kempen tersebut merangkul anugerah intermedia-globe Emas dalam kategori Dokumentari : Promosi Stesen Siaran dan merupakan sebuah iklan 2-minit yang diterbitkan khas untuk stesen siaran 8TV sempena sambutan Tahun Baru Cina. Kepentingan pertalian keluarga yang erat merupakan mesej yang ingin disampaikan oleh iklan ini, melalui kisah sebuah keluarga yang merupakan jaguh tradisi pertandingan tarian naga yang menghadapi krisis persaingan sengit antara dua beradik.
Selain itu, dua dari tiga anugerah intermedia-globe Perak yang dimenangi oleh Primeworks merupakan kempen kesedaran sosial yang disiarkan oleh keempat-empat saluran televisyen milik Media Prima. Kempen “1Malaysia Rasa Sayang” dihasilkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, dan menggabungkan elemen muzik tradisi dari pelbagai bangsa masyarakat Malaysia yang menggubahkan lagu rakyat popular itu kepada sebuah simfoni bersatu yang unik. Kempen kedua pula merupakan video muzik “Free Palestine with Aizat”, yang menggabungkan rakaman krew profesional Primeworks dan seorang mangsa konflik Gaza, dan bertujuan untuk menambahkan kesedaran tentang kesengsaraan yang berlaku di Palestine melalui medium muzik yang mudah diterima ramai.
Anugerah intermedia-globe Perak terakhir pula dimenangi oleh sebuah acara anugerah industri hiburan Cina pertama Malaysia, “Golden Awards”. Diterbitkan untuk ntv7, acara anugerah yang berlangsung dua tahun sekali ini direka untuk mewujudkan persepsi bahawa penghibur-penghibur Cina dari Malaysia setanding dengan penghibur superstar dari Hong Kong dan China. Acara tersebut dipersembahkan dengan konsep glamor dengan artis Cina dari Malaysia berpakaian formal elegan dan berlatar belakangkan pentas yang mewah.
Douglas Khoo, Pengarah Kreatif, Bahagian Perkhidmatan Kreatif, yang mewakili Primeworks di Hamburg berkata:
“Kami amat berbesar hati kerana dapat mempamerkan hasil kerja kami disamping ramai lagi karyawan dunia yang berpengaruh dan kreatif dari pelbagai aspek, di mana kami berpeluang untuk bertukar idea dan melihat sendiri konsep-konsep baru dalam lanskap media yang sentiasa berkembang maju. Kami amat berharap untuk membina perhubungan profesional baru yang boleh memperkayakan lagi hasil kerja dan penerbitan kami.”
Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios merupakan anak syarikat Media Prima Berhad yang merupakan syarikat penerbitan terbesar di Malaysia. Terlibat dalam penghasilan program TV sejak tahun 1984 dan filem sejak tahun 1994, Primeworks menerbitkan lebih 5,000 jam kandungan TV setahun. Selain penerbitan program televisyen dan kandungan lain, Primeworks Studios turut terlibat dalam pengedaran dan pemasaran kandungan. Primeworks Studios penyumbang terbesar kandungan kepada empat saluran televisyen komersil dalam kumpulan Media Prima, iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 – merangkumi kandungan pelbagai genre seperti program hiburan, majalah, dokumentari, drama dan sukan. Rancangan yang popular merangkumi Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Welcome to the Rail World, Best in the World, Hip-Hoppin’ Asia, Jalan Jalan Cari Makan, Mentor, Melodi dan Jejak Rasul.
Mengenai World Media Festival
WorldMediaFestival memberi penghormatan kepada pelbagai kempen media terbaik termasuk Filem, Televisyen dan Media Sesawang dari serata dunia. Diasaskan dan dikendalikan oleh intermedia, acara anugerah in memberi pengiktirafan kepada kecermelangan dalam media komunikasi moden, dan disokong di peringkat antarabangsa sebagai simbol tertinggi standard penerbitan dalam komunikasi moden. WorldMediaFestival intermedia-globe-Grand Award mengiktiraf kempen terhebat dalam 14 kategori festival ini dan WorldMediaFestival intermedia-globe-Grand Prix dianugerahkan kepada kempen yang dipilih sebagai terbaik dalam semua pencalonan yang diterima. Lebih dari 600 pencalonan dari pelbagai syarikat dan negara serata dunia telah diterima oleh WorldMediaFestival 2013.