Genre: Aksi, Fiksyen Sains, Pengembaraan Pengarah: Nimrod Antal Pelakon: Adrien Brody, Topher Grace, Alice Braga, Walton Goggins, Laurence Fishburne, Oleg Taktarov, Louis Ozawa Changchien, Danny Trejo
Tayangan: Mulai 8 Julai
Diterbitkan oleh Robert Rodriguez dan Elizabeth Avellan menerusi Troublemaker Studios, Predators muncul kembali menggegarkan pawagam berdekatan anda, mulai 8 Julai. Dilihat sebagai sambungan kepada beberapa siri filem itu sebelum ini, ia menjadi percubaan Rodriguez untuk menghidupkan semula francais filem malar segar berkenaan.
Bagi menjayakan misi itu pula, filem ini dibentuk hampir serupa dengan filem pertamanya, Predator (1987), arahan John McTiernan. Filem aksi berkenaan meninggalkan impak cukup hebat di kalangan peminat lebih dua dekad lalu. Ia juga mengukuhkan lagi nama pelakon utamanya, Arnold Schwarzenegger, dalam industri perfileman di Hollywood.
Dalam versi McTiernan itu, sekumpulan komando yang menjalankan sebuah misi di hutan Guatemala, mendapati diri mereka menjadi buruan wira makhluk asing. Dalam versi terbaru ini juga, mangsa buruan turut dikumpulkan di sebuah hutan. Cuma, kali ini kumpulan terbabit ‘diculik’ dari bumi dan dijatuhkan di sebuah planet asing.
Kumpulan yang diculik itu pula terdiri daripada manusia pelbagai latar belakang termasuk askar upahan, penjenayah yang dijatuhkan hukuman mati, pakar tembakan yang dilatih pasukan khas Israel, pejuang berani mati dari Sierra Leone, Afrika Barat dan sebagainya. Tidak ketinggalan dalam permainan ‘buru dan bunuh’ itu ialah seorang doktor yang agak misteri.
Di bawah pimpinan Royce, si askar upahan, mereka bergabung tenaga menggunakan kepakaran masing-masing untuk terus hidup di tengah-tengah ancaman yang boleh menjelma dari mana-mana arah.
Predators semestinya filem yang tidak harus dilepaskan peminat setia siri filem ini. Sebagai filem aksi, ia masih tegar dengan babak tembak-menembak, pertarungan, letupan dan sebagainya, seperti yang dapat disaksikan dalam versi terdahulu.
Berikutan peristiwa yang digambarkan berlaku di sebuah planet asing, maka selain daripada makhluk asing pemburu berwajah buruk itu, turut dipaparkan ialah haiwan ganas yang kononnya sama dengan anjing. Adegan haiwan menakutkan itu memburu kumpulan dalam keadaan terdesak terbabit dikira cukup menarik. Haiwan yang dihidupkan hasil teknologi canggih grafik komputer itu pula memang mampu membuat penonton sesak nafas di kerusi masing-masing.
Walaupun penonton menyedari ceritanya berkisar mengenai makhluk asing yang cukup dikenali itu, tetapi mereka dibiarkan menunggu agak lama sebelum wajah ngeri itu dapat dilihat kembali. Pada bahagian awal filem, penonton terlebih dulu dibiarkan berteka-teki mengenai hakikat kewujudan tiba-tiba kumpulan berkenaan di hutan, serta mengenali watak yang ditampilkan.
Namun apabila tayangannya sampai ke pertengahan, debaran di dada mula terasa lebih kencang. Babak kemuncaknya pula cukup menyeronokkan, apabila si pengarah menyuntik nilai kenangan babak pertarungan akhir dalam Predator ke dalam judul arahannya. Cuma dirasakan, makhluk asing lebih cepat tumpas pada kali ini.
Pemilihan Adrien Brody (The Pianist, King Kong) sebagai teraju utama juga memberikan kesegaran kepada filem aksi ini. Brody juga nampaknya membina otot-otot di badan bagi melaksanakan tugas berkenaan. Namun setidak-tidaknya elemen lakonan tidak dilupakan pelakon berbakat ini, tatkala dia sibuk mengangkat senjata dalam usaha menghapuskan lawan.
2.5/5 bintang untuk filem ini.