Selain pengarahnya, Zulkeflie M. Osman, majlis dihadiri oleh para pelakon utama iaitu Siti Elizad, Zul Huzaimy Marzuki, Syarifah Sofea, Ezany dan ramai lagi. Penerbit filem ini Wan Noraini Binti Wan Noh yang dulunya pernah menerbitkan filem Wanita Bertudung Hitam pada tahun 1992.
Sudah lama tidak menerbitkan filem, Kak Wan masih lagi gagah untuk menampilkan satu kematangan mengikut peredaran masa. Pada saya, Cinta Yang Satu adalah sebuah filem cinta komedi yang ringan yang penuh dengan drama.
Diceritakan secara terus terang, tanpa simbolik, tanpa jalan cerita yang berbelit dan santai. Penonton yang meminat filem cinta tiga segi pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menonton pada 12 Julai 2007 ini.
Mungkin sebelum ini, kita sudah terbiasa kita menonton Zul Huzaimy memegang watak jahat atau antagonis, tetapi kali ini beliau mencuba untuk memegang watak hero yang baik dan romantis.
Lain benar pula saya rasa. Ianya masih lagi dibayangi oleh wajah ganas Zul Huzaimy dalam filem Remp-it dan KL Menjerit. Namun, saya tak dapat sangkalkan bahawa Zul Huzaimy cuba sedaya upaya untuk lari dari stail klise dan tipikal seorang pelakon, maka dicubanya watak lelaki yang baik.
Dalam filem ini, Zul memegang watak seorang ketua ekskutif bernama Wira yang mempunyai hobi berlumba kereta drifting pada malamnya. Dalam masa kekasihnya Zulaikha (Sharifah Sofea) belajar di luar negeri, Wira terpikat dengan gadis, Jamilah yang dulunya menjadi secret admire masa di bangku sekolah. Zulaikha dan Jamilah berebut mahukan si Wira dan si Wira pula sudah keliru mana satu yang mahu dipilih. Untuk mengetahui penyudah cerita ini, anda perlu tontonnya di pawagam.
Antara foto dan gambar ketika majlis pra tonton media Filem Cinta Yang Satu yang sempat saya rakamkan untuk pembaca:
Filem ini mengisahkan cinta tiga segi di antara Wira (Zul Huzaimy), Jamilah (Siti Ezad) dan Zulaikha (Sharifah Sofea).
Percintaan yang penuh dengan dilema ini tercetus apabila Wira dan Zulaikha terpisah kerana keinginan Zulaikha untuk meyambung pelajarannya ke luar negara. Walaupun menentang pada dasarnya, Wira terpaksa merelakan kehendak hati kekasihnya itu.
Dalam masa berjauhan, Wira tidak dapat mengekang hawa nafsunya maka diapun menjalin sebuah perhubungan dengan rakan lamanya dari sekolah, Jamilah yang juga merupakan seorang pelayan di tempat restoran kegemaran Wira.
Ironinya pula, Jamilah turut memendam perasaan terhadap Wira untuk sekian lamanya dan sanggup mengubah penampilannya daripada seorang gadis ayu kepada seorang yang agresif.
Antara pendekatan menunjukkan percubaan berani ini adalah tindakan Jamilah memotong rambutnya sendiri demi mengubah penampilannya untuk menarik perhatian Wira.
Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Jamilah untuk mendapatkan Wira dan akhirnya mereka bersatu jua. Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Setelah kembali dari luar negara, Zulaikha dengan tidak sengaja menangkap Wira bersama-sama Jamilah di pejabatnya.
Dengan ugutan mahu memutuskan perikatan cinta selama lima tahun, Wira mengambil keputusan untuk bertunang bersama Zulaikha demi menunjukkan komitmennya terhadap Zulaikha.
Namun, Jamilah enggan menyerah kalah dan lantas berjumpa dengan Zulaikha beberapa hari sebelum pertunangan mereka.
Siapakah yang bakal memenangi hati Wira di dalam jerat percintaan ini?