TONTON ‘MOBILE’ RANGKUL KEJAYAAN DI GOMOBILE
“Anugerah inOvasi Malaysia”!
Tonton, portal video No. 1 di Malaysia, sekali lagi mencatat kejayaan bermakna pada malam Anugerah GoMobile 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 10 Mei 2012 baru-baru ini. Pemenang dipilih melalui penjurian yang dilakukan oleh rakan industri mudah alih di Malaysia serta syarikat Maxis.
Tonton ‘Mobile’ berjaya merangkul “Anugerah inOvasi Malaysia GoMobile” untuk kategori Hiburan. Anugerah inOvasi Malaysia ini memberi pengiktirafan terhadap pencapaian dan usaha pembangunan produk mudah alih yang inovatif serta cemerlang keluaran tempatan.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Dato’ Joseph Salang Gandum, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di The Pool, Ampang. Manakala Tonton diwakili oleh Ms. Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan Media Baru & Pemasaran Bersepadu, Media Prima Berhad.
Dengan bilangan pengguna berdaftar melangkaui 2.1 juta orang, Tonton kini menawarkan 15 saluran termasuk TV3, ntv7, 8TV, TV9, Tonton ‘Korean’, Gua TV, KRU TV dan banyak lagi. Saluran pendidikan “Tonton Learn” juga diperkenalkan dengan sasaran terhadap golongan remaja, menawarkan video ulangkaji dan tutorial untuk para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama UPSR, PMR dan SPM. Tambah menarik, sebuah lagi saluran baru “Tonton Kids” bakal dilancarkan secara rasmi mulai 24hb Mei 2012 ini.
“Kami begitu terharu dan berbangga dengan pencapaian ini serta pengiktirafan oleh rakan industri. Bilangan tontonan untuk aplikasi mudah alih Tonton ‘Mobile’ meningkat dengan begitu cepat, malah mencatat angka yang agak tinggi iaitu sebanyak 2.7 juta tontonan sebulan. Dengan inovasi baharu ini, para pengguna boleh menjangkakan kandungan dan pengalaman hiburan lebih baik tidak lama lagi,” ujar Kim.
Arena sukan juga turut menjadi sebahagian yang tersenarai dalam pelan pembangunan terkini Tonton. Tonton dan Tonton ‘Mobile’ bakal menyiarkan siaran langsung perlawanan EURO 2012 membabitkan 16 perlawanan menerusi ‘streaming’ mulai bulan hadapan. Siaran ‘catch up’ perlawanan turut boleh ditonton untuk durasi 48 jam di Tonton selepas siaran ‘live stream’.
Untuk merasai pengalaman unik Tonton dan menjadi sebahagian daripada komuniti online terbesar di Malaysia, layari www.tonton.com.my untuk mendaftar.