Menerusi sidang media Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri, hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa bermula 14 Oktober 2020 sehingga 27 Oktober 2020.
Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berikutan peningkatan kes yang berlaku di negeri-negeri berkenaan.
Beliau berkata, ia juga mengambil kira peningkatan dan penularan kes yang berlaku, termasuk di Klang dan Petaling, selain pertambahan jangkitan di Gombak serta daerah lain.
Katanya, berikutan penguatkuasaan PKPB itu, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan.
Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, beliau berkata, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
“Hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, TADIKA, TASKA, pusat tahfiz, taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup,”
– Datuk Seri Ismail Sabri
Antara aktiviti yang dilarang sepanjang PKPB adalah:
- Merentas daerah adalah tidak dibenarkan melainkan mereka yang bekerja di luar daerah. Pekerja perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak majikan.
- Hanya dua orang sahaja yang dibenarkan dalam satu keluarga untuk keluar membeli barangan keperluan.
- Semua aktiviti sosial, pendidikan, agama, dan majlis-majlis sosial tidak dibenarkan.
Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di kawasan PKPB dibenarkan beroperasi seperti biasa.