KENYATAAN AKHBAR TINDAKAN TERHADAP AKHBAR THE STAR
Pada 30.08.2012, Pineapple Concerts Sdn Bhd telah memfailkan suatu tindakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Star Publications (Malaysia) Berhad, di mana Pineapple Concerts menuntut gantirugi daripada The Star bagi pelanggaran kewajipan berjaga-jaganya kepada Pineapple Concerts, berhubung dengan penerbitan artikel sempena konsert oleh penyanyi jazz dan R&B terkenal Erykah Badu pada bulan Februari 2012.
Dalam tuntutan ini, Pineapple Concerts menuntut gantirugi am, gantirugi khas sebanyak RM547,568.00, kehilangan keuntungan sebanyak RM150,000.00, faedah dan kos.
Latarbelakang
Pada akhir tahun 2011, Pineapple Concerts Sdn Bhd berjaya menganjurkan konsert di Kuala Lumpur oleh Erykah Badu. Konsert tersebut ditetapkan pada 29.02.2012, dan semua permit dan lesen yang diperlukan telah diperolehi oleh Pineapple Concerts Sdn Bhd. Erykah Badu dan pemuzik dan kumpulan ‘entourage’ beliau juga telah tiba di Malaysia dan sedia untuk membuat persembahan pada 29.02.2012.
Pada 28.02.2012, The Star menerbitkan artikel berkenaan Erykah Badu sempena konsert tersebut. Dalam artikel tersebut juga terpapar gambar Erykah Badu, yang mengandungi lukisan / tulisan berbentuk kaligrafi yang kelihatan seperti tulisan Arab berhubung dengan agama. Penerbitan gambar tersebut menimbulkan bantahan awam, yang mengakibatkan penarikan balik dan pembatalan semua permit dan lesen bagi konsert tersebut.
Oleh kerana pembatalan konsert tersebut dibuat pada saat-saat terakhir, apabila semua persediaan telahpun dibuat untuk mengadakan konsert pada 29.02.2012, Pineapple Concerts Sdn Bhd terpaksa menanggung, antara lain, kerugian kewangan akibat konsert yang dibatalkan.
Tuntutan
Kedudukan Pineapple Concerts’ adalah bahawa The Star mempunyai kewajipan berjaga-jaga kepada Pineapple Concerts dalam penerbitan artikel berkenaan Erykah Badu sempena konsert yang bakal diadakan sehari selepas penerbitan artikel tersebut.
Ini termasuk kewajipan supaya tidak menerbitkan sebarang perkara yang dapat menjejaskan, memprejudiskan atau memudaratkan persembahan konsert tersebut, serta kewajipan supaya bertindak dengan bertanggungjawab dalam penerbitan gambar tersebut.
Pineapple Concerts telah menyatakan di dalam Pernyataan Tuntutannya bahawa Star sepatutnya menggunakan imej artis yang dibekalkan kepada Star dan media yang lain oleh Pineapple Concerts dan/atau tidak harus menggunakan gambar yang dapat menyinggung sensitiviti masyarakat. Pineapple Concerts berpendapat bahawa Star telah melanggar kewajipan berjaga-jaganya apabila menerbitkan perkara yang dapat menyinggung sensitiviti masyarakat, yang mengakibatkan satu situasi yang dapat dielakkan dan tidak sepatutnya berlaku di mana pihak berkuasa terpaksa membatalkan semua permit dan lesen yang diperolehi secara sah oleh Pineapple Concerts, yang mengakibatkan Pineapple mengalami kerugian kewangan.
The Star akan memfailkan pembelaannya pada atau sebelum 19.10.2012, dan tindakan ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22.10.2012.