in ,

Pilihan Telemovie Hayati Aidiladha di RTM

Seleksi telemovie pilihan dijanjikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Aidiladha 2017 menerusi saluran TV1, TV2 dan TVi khas buat penonton setia salurannya. Pelbagai tayangan telemovie menarik penuh dengan pengisian dan penghayatan dan akan menemui penonton pada 1 dan 2 September ini.

Menerusi telemovie yang disediakan, hayati maksud pengorbanan dan keinsafan yang tersirat dalam telemovie bertajuk, ‘Ke Pintu Kaabah’ dan ‘Aku Tak Sesat’ (TV1), ‘Lembu Siapa’ (TV2) dan juga ’13 Tiang Cinta’ (TVi).

Telemovie Ke Pintu Kaabah

“Ke Pintu Kaabah” menampilkan lakonan berkesan pelakon Catriona Ross, di samping Tisha Samsir, Izzue Islam, Kuna Muzani, Mustapha Kamal, Z.Zamrie dan Assi Ismail mengisahkan Mek Som seorang ibu tunggal memendam hasrat untuk menunaikan ibadat haji ke Mekah. Kehilangan suaminya di laut menyebabkan kehidupan beliau bersama anaknya Fadilah semakin sukar.

Fadilah mengambil keputusan untuk bekerja di butik Puan Aisah di bandar bagi menambah duit simpanan ibunya ke Mekah. Farid yang baru pulang belajar dari luar negara tertarik dengan Fadilah dan mula berkawan dengannya. Sebenarnya Farid merupakan anak Puan Aisah dan beliau merahsiakan kepulangan ke Malaysia daripada pengetahuan ibu bapanya. Beliau berhasrat untuk hidup berdikari terlebih dahulu. Fadilah pula sering bercerita dengan Farid tentang hasrat ibunya hendak ke Mekah.

Menerusi “Aku Tak Sesat” pula ikuti kisah kepulangan Adha ke kampung yang telah dipandang serong oleh sebilangan besar orang kampung kerana kerjayanya sebagai composer muzik metal. Adha dianggap sesat kerana berkecimpung dalam dunia muzik metal. Ia dibintangi pelakon Hasnol Rahmat, Balqish Semundur Khan, Redzuan Adha, Syed Ali, Maimunah Ahmad, Fadhil Dani dan Rosnizam Zakaria.

Slot Citra khas Aidiladha di TV2 menyiarkan telemovie lakonan Sharifah Sakinah, Mohd. Amirullah Azmi, Fathil Dani, Delimawati dan Zain Hamid bertajuk “Lembu Siapa” pada 1 September ini, pukul 9.30 malam. Paparan kisah bermula dengan pemuda-pamuda kampung merungut dengan keadaan Halim melepaskan lembu-lembunya yang diwariskan dari arwah bapanya, berkeliaran di sekeliling kampung. Leteran mereka didengari oleh Mak Nor, emak Halim yang juga tidak puas hati dan bimbang dengan sikap anaknya yang sibuk dengan cita-cita menjadi penyanyi. Halim tetap pertahankan pendiriannya dengan cita-citanya.

Pak Tam, pemilik warung kampung, juga menegur sikap Halim. Situasi pendirian Halim mula berubah apabila terdengar Intan, anak Tok Baha kemalangan terlanggar lembunya. Mak Nor mengadu sedih kepada Halim kerana motosikal Intan telah remuk terlanggar lembunya. Lalu Halim beritahu Tok Baha, yang dia minta maaf dengan orang-orang kampung. Malah Tok Baha cadangkan agar Halim minta maaf kepada Intan.

Intan berpura-pura sakit, apabila terdengar terdengar suara Halim dan Mak Nor di luar rumahnya. Ketika Halim membeli makanan untuk Intan, Pak Tam memberitahu ada pelanggan hendak beli lembu untuk korban raya dan dia nasihatkan Halim agar beri makanan yang betul kepada lembu yang hendak dijual untuk korban. Intan yakin Halim boleh berubah dengan bantuannya.

Terus menghayati keberkatan sambutan Hari Raya Korban ini dengan tayangan telemovie “13 Tiang Cinta” lakonan mantap Beto Kusyairy, Siti Rawiyani, Nina Iskandar dan Shah Iskandar pada 1 September ini, pukul 2.00 petang dan ulangannya 9.00 malam di TVi.

Telemovie arahan Mikael Andre mengangkat kisah cinta tiga segi yang disampaikan dalam cara yang berbeza. Ikuti perjalanan watak Naim seorang pemuda yang sesat jalan dalam kehidupan. Pada satu hari Naim merampas beg tangan cikgu cantik bernama Uzma. Orang ramai menangkap Naim dan mahu menyerahkannya kepada polis. Namun Uzma merayu agar Naim dilepaskan memandang beliau telah mendapatkan balik begnya.

Naim tertarik dengan rupa dan baik hati Uzma. Maka Naim cuba mengekori Uzma namun tidak berjaya. Semasa mencari Uzma, Naim bertemu dengan Imran, seorang Ustaz dan pendakwah bebas. Imran cuba menyebarkan agama Islam di sebuah kampung Orang Asli. Oleh kerana Naim tiada tempat tinggal, Imran mengajak Naim duduk dengannya. Naim kemudiannya mula tertarik dengan kerja amal yang dibuat oleh Imran. Maka Naim turut mendalamkan pengetahuan mengenai Islam.

Pada satu hari Naim bertemu dengan Uzma yang mengajar di kampung Orang Asli itu. Mereka berkawan. Hubungan baik Imran dan Uzma membuatkan Naim cemburu. Dia menyebarkan fitnah tentang Ustaz Imran menyatakan dia datang ke kampung itu untuk merampas tanah Orang Asli dan bukan semata mata untuk berdakwah. Apabila Imran bersemuka dengan Naim, Naim mengaku beliau memfitnah Imran kerana cemburu terhadap perhubungan mesra antara mereka berdua.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Keeping Pilgrims Healthy during Hajj

Peraduan Premiere With Budiey Menonton Filem KINGSMAN: THE GOLDEN CIRCLE