Setiap kali tiba bulan Syawal, pastinya ramai yang menantikan apakah sajian istimewa yang bakal menemani mereka sepanjang musim perayaan ini. Tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali dengan himpunan program khas yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu mengundang rasa syukur dan keinsafan dalam menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Mengusung tema ‘Syukuri Syawal’, RTM menjanjikan pelbagai program yang padat dengan hiburan, filem dan telefilem yang menyentuh emosi serta program istimewa berunsur warisan budaya yang pastinya memberi pengalaman Syawal yang berbeza dan lebih bermakna.
Buat anda yang berada di rumah atau yang dalam perjalanan pulang ke kampung, jangan risau! Semua program ini boleh disaksikan bukan sahaja di saluran TV1, TV2 dan Okey, malah anda boleh menikmatinya di mana sahaja melalui platform digital RTMKlik.
Opah, Esok Hari Raya! – Malam Raya Penuh Nostalgia Dan Kejutan Kreatif
Siaran langsung ini akan menemui penonton pada malam raya, jam 10.30 malam di TV2. Ia bukan sekadar program biasa, sebaliknya membawa kita kembali ke zaman kad raya fizikal yang kini semakin dilupakan. Dalam suasana yang penuh kenangan ini, kad raya paling kreatif akan dipilih dan diumumkan sebagai pemenang hadiah menarik, menghidupkan semula tradisi lama dengan sentuhan moden. Persembahan artis-artis popular tanah air dengan lagu-lagu raya kegemaran ramai pula akan menambahkan seri malam raya anda!
Temasya Aidilfitri 2025 – Gabungan Suara Hebat Dalam Malam Raya Penuh Gemilang
Pada 2 April, jam 9 malam di TV1, RTM menyajikan konsert raya penuh warna menerusi Temasya Aidilfitri 2025. Dihoskan oleh gandingan mantap Dato’ N.D. Lala dan Raja Azura, program ini menghimpunkan nama-nama besar seperti Hael Husaini, Haqiem Rusli, Datin Alyah, Amelina, Sarah Suhairi, Dina Nadzir dan ramai lagi. Penonton akan disajikan dengan nyanyian lagu raya yang membangkitkan semangat Aidilfitri dalam suasana meriah.
Koleksi Filem Syawal: Dari Kisah Klasik Hingga Aksi Antarabangsa
RTM juga membawakan tiga filem pilihan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
- Suci Dalam Debu (1 April, 9 malam, TV2): Kisah dramatik tentang pengorbanan dan tanggungjawab seorang anak terhadap keluarga dan syarikat. Roy, lakonan mantap Sidi Oraza, bergelut dengan kematian rakannya sebelum akhirnya insaf dan kembali ke jalan yang benar.
- Jackie Chan’s First Strike (1 April, 9 malam, TV2): Filem aksi yang membawakan Jackie Chan dalam misi getir menentang penjenayah nuklear. Penuh aksi dan mendebarkan, sangat sesuai bagi yang gemar filem lasak.
- Rocketry: The Nambi Effect (6 April, 9 malam, TV2): Berdasarkan kisah benar, filem ini menyentuh hati penonton dengan pengorbanan seorang saintis roket India yang dituduh khianat. Sarat dengan emosi dan nilai kemanusiaan.
Telefilem Syawal: Kisah Yang Dekat Di Hati, Sarat Pengajaran
RTM turut menayangkan tujuh telefilem baharu yang mengangkat pelbagai tema, dari kekeluargaan hingga kisah inspirasi. Antara yang menarik:
- Along Bakal Mati Syawal Ni? (31 Mac, 9 malam, TV1): Kisah lucu tapi menyentuh hati tentang Manaf, seorang warga emas yang berpura-pura bakal meninggal demi menyatukan semula adik-beradiknya.
- Takbir Pertama (31 Mac, 9 malam, TV2): Kisah penuh keinsafan tentang seorang wanita Cina yang memeluk Islam dan berkorban demi keluarga baharunya.
- Perempuan Melawan Lara (2 April, 10 malam, Okey): Cerita perjuangan seorang ibu yang membesarkan anak autism, penuh dengan semangat dan kekuatan wanita.
Setiap telefilem mengetengahkan pelakon berbakat seperti Mat Over, Nina KCS, Didi Astilah, Aishah Azman, Raja Atiq dan ramai lagi, menjadikan tontonan anda lebih bermakna sepanjang Syawal.
Citra Reka Busana – Gabungan Fesyen, Muzikal Dan Warisan Malaysia
Satu program paling unik dan eksklusif dalam rangkaian Syawal RTM adalah ‘Citra Reka Busana’ yang akan bersiaran pada 5 April, 9 malam di TV2. Idea kreatif Datuk Suhaimi Sulaiman, program ini meraikan keindahan fesyen tradisional Malaysia dari era 40an hingga kini. Ia bukan sekadar pertunjukan fesyen biasa, sebaliknya dipersembahkan dalam bentuk muzikal yang menggabungkan rekaan busana oleh pereka terkenal dan anak muda TVET dengan persembahan artis-artis hebat seperti Dato’ Jamal Abdillah, Marsha Milan, Noraniza Idris dan Siti Nordiana. Program ini mengangkat budaya dan warisan fesyen tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Apa Kata Budiey?
RTM benar-benar tidak mengecewakan tahun ini dengan sajian program raya yang pelbagai, kreatif dan penuh nilai untuk penonton pelbagai peringkat umur. Daripada hiburan malam raya yang mengimbau nostalgia, filem dan telefilem yang menyentuh jiwa, hingga ke pertunjukan fesyen unik berasaskan warisan budaya, kesemua ini menjadikan sambutan Syawal lebih bermakna.
Budiey cadangkan anda rancang waktu tontonan anda sebaiknya, kerana program-program ini bukan sahaja menghibur tetapi juga membuka ruang untuk kita lebih menghargai nilai kekeluargaan, pengorbanan dan budaya tempatan. Jangan lupa untuk ‘set reminder’ di RTMKlik agar anda tidak terlepas mana-mana program istimewa ini. Syukuri Syawal dengan RTM, sambut lebaran penuh erti, penuh cinta dan penuh warna!