Keseluruhan tujuh program pilihan filem mahu pun telemovie tersebut mengisi slot popular di TV2 yang pastinya sudah memiliki pengikutnya yang tersendiri. Bermula dengan slot Teater Legenda menayangkan filem “Laksamana Do Re Mi” pada 14 Disember ini, pukul 9.30 malam. Telatah mencuit hati pelakon utama Tan Sri P. Ramlee, Ibrahim Din dan A.R. Tompel dalam filem ini pastinya masih diingati sehingga kini. Kisahnya tentang setelah menyelamatkan Puteri Buluh Betung, Do, Re dan Mi dihadiahkan 3 benda ajaib. Do, mendapat Tikar Terbang yang boleh membawa mereka ke mana-mana sahaja. Re, mendapat Teropong Sakti yang mampu melihat mana-mana tempat dan peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Mi pula mendapat Bangsi Hikmat yang akan mendapatkan apa sahaja yang diingini setelah berniat dan meniupnya.
Seterusnya tayangan filem “Queen”, mengisi slot Bollygood pada 16 Disember ini, pukul 9.30 malam membawakan tentang Rani adalah seorang gadis Delhi dari keluarga konservatif yang ditinggalkan oleh tunangnya sebelum perkahwinan berlangsung. Terkejut dengan kejadian tersebut, dia mengatur bulan madu bagi dirinya sendiri untuk mengubati kesedihan dan kekecewaan yang dihadapi. Lakonan mantap Kangana Ranaut, Rajkummar Rao dan Lisa Haydon.
Esoknya 17 Disember ini, pukul 9.30 malam, berhibur dengan filem “The White Storm” dalam slot Golden Dragon berlatarkan cerita Delima yang dasyat mengubah nasib tiga anggota polis apabila mereka ditugaskan dalam operasi penyamaran terhadap seorang tokan dadah merbahaya. Filem ini lakonan Louis Koo, Nick Cheung, Sean Lau dan Lo Hoi‑pang.
Slot Pilihan Jumaat pada 18 Disember ini, pukul 3.00 petang tampil dengan telemovie “20 Sen”, tentang watak Mail, Yana dan Boy berjaya mengumpul sejumlah wang sebagai upah yang diperoleh dengan membantu keluarga mereka. Oleh itu, Boy memberi syarat setiap kerja dan upah yang mereka peroleh, perlu ada resit. Rancangan ini diketahui oleh ibu mereka. Kini, mereka pula menerima bil daripada ibu masing-masing. Lakonan berkesan Sahronizam Noor, Farhan Nizam, Carl Eqmal Hazali, Airis Yasmin, Fathimah Azzahra dan Bella Dowanna.
Berikutnya pada 18 Disember ini, pukul 8.30 malam, saksikan pertarungan di antara NONG-O VS. RODLEK secara langsung dari Stadium Tertutup Singapura dalam “One Championship: Collision Course”.
Telemovie “Mania”, dalam slot Layar Kita pada 20 Disember ini, pukul 2.00 petang pula membawakan kisah Adib, seorang pelajar kolej yang kaya jatuh cinta dengan Erin, seorang janda yang dikenalinya di media sosial. Pada awal pertemuan, Erin agak keberatan untuk meneruskan hubungan kerana jarak perbezaan umur serta perbezaan darjat keluarga yang amat berbeza. Namun, Adib tetap bertegas untuk meneruskan hubungan kerana amat menyintai Erin walau apa pun dugaan yang datang. Telemovie ini dibintangi oleh Shiqin Kamal, Wanns Ahmad, Dazrin Kamarudin dan Aleza Shadan.
Slot popular Spice Of India pada 20 Disember ini, pukul 9.30 malam tidak kurang menariknya menyiarkan filem “Singam” lakonan Suriya, Anushka Shetty dan Prakash Raj yang berkongsi kisah berlaku pada diri Singam, seorang pegawai polis yang berani, tegas, berdedikasi, jujur dan dihormati kerana budi pekertinya. Mahkamah tinggi mengarahkan ketua samseng iaitu Mayilvaganam melapor diri kepada Singam selama empat belas hari secara berterusan. Dalam waktu itu, Singam berjaya mendedahkan segala kegiatan jenayah Mayilvaganam termasuk penculikan dan peras ugut.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.