Bagi pengikut naskhah-maskhah sohor kini dari Thailand, drama bersiri romantik komedi tentang percintaan yang bertepuk sebelah tangan, My Husband In Law pasti mengukirkan senyuman di wajah anda. Jika anda menggemari drama bersiri Thailand tetapi dengan plot yang berat, My Himalayan Embrace menjanjikan kisah penuh konflik, berkenaan dengan persengketaan cinta tiga segi dan kesungguhan seorang lelaki untuk memenangi hati seorang wanita.
Meneruskan seleksi kandungan untuk bulan ini, drama dari China The Twin Flower Legend pula mengangkat kisah dua beradik kembar yang terpaksa menempuh suka dan duka demi mencari makna cinta dan kehidupan.
Kepada yang masih belum berkesempatan untuk menonton drama-drama hits lain, Dimsum Entertainment turut menyajikan drama bersiri paling diperkatakan ramai, The World of the Married, kisah keluarga diraja yang penuh konflik, The Crown Princess dan gelagat dua keluarga kecil yang mahu memenangi hati antara satu sama lain dalam One Year.
My Husband In Law | Episod baharu Rabu & Khamis | 15 Episod
Apakah yang akan terjadi jika ikatan perkahwinan berlaku tanpa rasa cinta di hati? Bagaimana pula jika perkahwinan tersebut dilakukan atas dasar untuk menyelamatkan diri?
Begitulah yang terjadi dalam drama bersiri My Husband In Law, sebuah naskhah komedi romantik sentuhan sutradara Aew Ampaiporn Jitmaingong. Drama ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Tien yang dipaksa memperisterikan Moei, seorang gadis yang juga merupakan anak angkat ibunya.
Walaupun Tien dipaksa mendirikan rumah tangga bersama Moei kerana dia perlu dilindungi daripada diburu oleh suami kepada seorang gadis, namun Thein tidak pernah menyukai Moei. Sebaliknya, Moei begitu mencintai suaminya dan tidak pernah marah terhadap kekasaran yang Tien lakukan terhadapnya.
Tien mahukan wanita yang sempurna untuk dijadikan suri hatinya. Namun, Moei tidak pernah sempurna di mata Tien. Bagaimanakah perjalanan kisah cinta antara Moei dan Tien akan berakhir?
Pelakon: Mark Prin, Mew Nittha, Nut Devahastin
My Himalayan Embrace | Siri Lengkap | 16 Episod | Akan datang 11 Jun 2020
Kisah cinta tiga segi dalam My Himalayan Embrace bermula apabila Santharakard, anak lelaki kepada jutawan berbangsa India bernama Rachisa terpaksa melarikan diri ke Chiang Mai selepas menjadi mangsa buruan sekumpulan mafia dari Himalaya.
Ketika melarikan diri, Santharakard bertemu dengan Danika, pemilik sebuah restoran. Pertemuannya dengan wanita itu menimbulkan rasa cinta dan Santharakat cuba untuk memenangi hati Danika. Tetapi, Danika tidak menaruh hati pada Santharakard.
Sebaliknya, dia menyukai Kiri, seorang pelayan restoran yang terpaksa berdepan dengan masalah hidup kerana ibunya seorang kaki mabuk. Sungguhpun status hidup berbeza, Kiri tetap bercita-cita untuk menawan hati Danika dan berusaha untuk mengecapi kemewahan demi wanita yang disayanginya.
Pelakon: Pon Nawasch, Inn Sarin, Namwhan Phulita
The Twin Flower Legend | Siaran serentak, setiap Selasa-Khamis | 60 Episod
Drama The Twin Flower Legend berkisarkan tentang sepasang kembar bernama Hua Mu Jin dan Hua Jin Xiu. Ketika kecil, mereka berdua dijual sebagai hamba kepada keluarga Yuan.
Kemudian, mereka berkenalan dengan tiga lagi kanak-kanak iaitu, Yu Fei Yan, Song Ming Lei dan Yao Bi Ying. Dari perkenalan itu, mereka bersumpah untuk terus bersahabat dan menjaga antara satu dengan lain.
Untuk meneruskan kehidupan dan beradaptasi dengan suasana serba baharu, Hua Mu Jin sanggup berkorban dan bekerja keras untuk kehidupan masa depan rakan-rakannya yang telah dianggap seperti adik beradik.
Pelakon: Yu Xiao Tong, Mao Xiao Hui, Guan Zhi Bin, Kai Xuan
Selain itu, Dimsum Entertainment turut memperkenalkan kandungan berjenama (BVOD) terbaharu iaitu SETTV. Menerusi SETTV ini, pelanggan boleh menyaksikan pelbagai drama siri popular dari Taiwan secara percuma.
Untuk penggemar drama Deja Vu versi Thailand yang baru sahaja melabuhkan tirai akhir bulan lalu, SETTVmembawakan versi asal Deja Vu yang dilakonkan oleh How Yao, Jenne Wang, Nylon Chen dan Mandy Wei. Selain Deja Vu, terdapat pelbagai kandungan menarik dari Taiwan yang boleh distrim menerusi SETTV.
Antara drama kegemaran ramai yang boleh disaksikan termasuklah Bromance, In A Good Way, Queen of No Marriage, My Little Boys, The Womanizer, Back to 1989, Office Girls, Someone Like You dan When I See You Again.