Bermula sebagai pengguna tegar, pelakon dan ahli perniagaan, Faezah Elai seterusnya dilamar menjadi wajah kempen baju kurung koleksi raya Aidiladha dipanggil Hajeera Edition keluaran jenama Mawar Cotton.
Koleksi sebanyak 13 pilihan warna terdiri daripada kurung pleated (enam warna) dan kurung scallope (tujuh warna) itu dilancarkan 9 Jun lalu bersempena sambutan Hari Raya Korban yang bakal diraikan hujung bulan ini.
Menurut pengasas jenama itu, Nik Hetty Eliya Nik Ab Rahman, pemilihan artis berstatus ibu kepada lima cahaya mata itu didorong dengan alasan yang konkrit dan bertepatan dengan sasaran pelanggan mereka.
“Awalnya kami pernah menggunakan khidmat dia (Faezah) ketika mempromosikan koleksi terdahulu yang kami keluarkan beberapa tahun lalu. Percaturan kami mengena apabila ulasan dan promosi dilakukannya mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan penggemar jenama kami.
“Lagipun koleksi Hajeera Edition kali ini bertepatan dengan gaya dan caranya yang menawan menggayakan kurung bercetak. Justeru, kami yakin boleh mengubah dia menjadi anggun dan lebih menyerlah dengan koleksi kami keluarkan.
“Malah ketika sesi siaran langsung di media sosial, pembabitannya juga kena dengan kelompok sasaran kami iaitu lebih kepada orientasi wanita Muslimah, keluarga. Tak lupa, kandungan yang dipromosikan di media sosial juga dekat dengan masyarakat,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Diaju persoalan kenapa memilih Faezah yang dilihat kurang meniti populariti atau suam-suam kuku, Nik Hetty Eliya ada hujahnya tersendiri.
“Mungkin ada yang mengandaikan kami patut memilih artis atau selebriti yang lebih popular berbandingnya. Tapi dengan apa yang kami perhati selain kerjasama terjalin, dia ada keistimewaan dan tarikan tersendiri.
“Kami juga cuba melawan arus dan percaya setiap daripada kita ada rezeki masing-masing. Begitu juga dengannya. Ini juga langkah sulung kami mengambil artis sebagai wajah kempen atau wakilan.
“Lamaran dan perbincangan kami mengintainya sejak April lalu juga dipermudahkan. Dia tak banyak songeh dan sangat menyenangkan,”katanya.
Jenama yang beribu pejabat di 1-01, Jalan Cengkerik 03, Pusat Perdagangan Kempas, Johor Bahru itu mula bertapak dan berada di pasaran sekitar tahun 2012.
Bahkan lebih sedekad lalu, jenama milik bumiputera itu meledak awal tahun 2020 dengan rangkaian koleksi custome printed kurung pleated, kurung riau dan scallope kurung.
Seiring dengan ledakan jenama itu, tanda pagar #properwearkurung juga terus meniti di bibir peminat.
“Lebih sedekad itu juga kami tidak menggunakan sistem ejen atau stokis. Sebaliknya terus memperkasa jualan secara peruncitan semata-mata.
“Koleksi baju kurung kami tawarkan dengan harga mampu milik dari RM100 hingga RM200.
“Insya-Allah kami sasarkan jualan sasaran setahun dalam RM10 juta,” katanya.
Selain memilih Faezah untuk melonjakkan pengaruh jenama ini, Nik Hetty Eliya berkata pihaknya akan terus melancarkan pelbagai strategi pemasaran dalam melonjakkan nama jenama syarikat yang berdaftar di bawah Mawar Cotton Empire Sdn Bhd ini.
“Kami tidak akan betah duduk diam. Sebaliknya akan terus mengeluarkan inovasi rekaan cetakan yang outstanding khas untuk baju kurung kami yang lain dari yang lain di pasaran,” katanya.
Istimewanya, Nik Hetty Alia berkata salah satu design koleksi Hajeera Edition yang dicetak iaitu Cahaya Palestina juga akan disumbangkan ke badan amal terpilih.
“Setiap RM1 dari hasil jualan baju rekaan Cahaya Palestina akan disumbangkan ke badan amal terpilih untuk saudara Islam di Palestin. Boleh ke pautan https://linktr.ee/mawarcottonHQ untuk lanjutan
,” katanya.
Sementara itu, Faezah yang juga isteri kepada pengarah Heykal Hanifah ternyata masih terkejut dengan lamaran dan pelawaan jenama Mawar Cotton.
“Saya anggap ini rezeki terindah. Jujur hingga saat ini saya rasa macam masih bermimpi dengan tanggungjawab dan amanah diberikan selama sebulan untuk kempen raya haji ini.
“Rezeki ini juga sebenarnya membuka kisah lama apabila pihak mereka berpuas hati apabila ulasan dan promosi baju kurung dibuat di Instagram (IG) tiga atau empat tahun lalu membuatkan tak menang tangan dan laku keras.
“Saya pun sudah tak ingat dengan kisah berkenaan. Tapi syukur, di sebalik ada yang menganggap saya ‘sendu’ , ada jenama yang berani memilih saya.
“Kata mereka, koleksi Hajeera Edition khususnya kena dengan personaliti saya,” katanya yang mula berhijab pada 2015.
Ibu kepada Luqman Haqeem, Sarah Heyrissa, Luq Adam Heydhani, Dealova Heyrinna dan Aurora Heyricca ini secara peribadi turut menyenangi rekaan baju kurung jenama terbabit.
“Pendek kata, rekaannya sesuai dengan gaya dan cita rasa saya. Rekaannya juga ‘rare’ dan tak polos. Motif yang direka dan dihasilkan bagai memberi nyawa kepada baju kurung jenama itu,” katanya.
Lebih 17 tahun menceburi bidang seni, wanita kelahiran Pulau Pinang itu mengakui pembabitan seninya tidak seaktif dulu.
“Lagipun status saya sebagai ibu khususnya memerlukan saya memberi perhatian rapi kepada anak. Saya tidak pernah menyesali keadaan ini. Ikutkan tawaran berlakon drama dan filem tak pernah putus sampai saat ini.
“Cuma saya terpaksa tolak secara baik, kerana tak mahu menyusahkan produksi. Senang cerita, saya memang banyak berlakon di bawah arahan suami sendiri. Kalau ada tawaran pengarah dan produksi lain, jika kena dengan watak dan waktu… insya-Allah saya boleh pertimbangkan terutama kalau cuti sekolah.
“Jadi apabila tumpuan lebih kepada keluarga, saya banyak curi masa mempromosi perniagaan sendiri dan terbaharu bersama jenama Mawar Cotton,” katanya.
KLIK UNTUK INFO LANJUT: IG MAWAR COTTON