[dropcap]E[/dropcap]sok, pada jam 1 tengahari pelakon dan pengarah akan diijabkabul dengan gadis pilihan hati, Siti Nur Hidayah Hashim atau pun lebih dikenali sebagai Yaya yang dikenalinya sejak dua tahun lalu. Budiey antara media yang mendapat jemputan untuk menghadiri Majlis Akad Nikah ini esok. Terima kasih kepada Pierre dan MIG yang sudi menghantarkan jemputan ini.
Dalam pada teruja mahu bergelar suami, anak bujang kepada pelakon Khatijah Tan ini juga turut berdebar menantikan saatnya bakal bernikah. Gara-gara terlalu berdebar Pierre Andre mengakui berlatih hampir setiap malam untuk menghafal lafaz akad bagi melancarkan proses akad nikahnya nanti.
Pierre Andre berkata:
“Saya rasa berdebar menjelang majlis akad nikah Ahad ini. Saya sanggup tak makan nasi lebih daripada sebulan semata-mata mahu menjaga bentuk badan saya. Saya juga rasa seronok dan tak sabar nak menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami. Ini memang impian saya sejak dari dulu dan tidak lama lagi, cita-cita saya ini akan tercapai.
“Alhamdulillah, segala persiapan perkahwinan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Kami akan mengadakan majlis akad nikah terlebih dahulu manakala resepsi sebelah perempuan akan diadakan selepas Aidillfitri. Bagi majlis pihak lelaki pula, kami akan buat lebih privasi lagi di mana ia hanya untuk ahli keluarga sahaja.”
Dalam pada itu pengarah I’m Not Single ini turut diusik sama ada dia ada menjemput bekas kekasihnya, Yana Samsuddin ke majlis perkahwinannya nanti. Menurut Pierre, dia tidak pasti lagi mengenai hal tersebut memandangkan segala urusan jemputan dilakukan oleh orang lain.
“Soal jemputan, ia di luar bidang kuasa saya kerana ia dilakukan oleh pihak keluarga. InsyaAllah, mungkin akan dijemput, tapi sudah tentu saya juga kena jaga hati bakal isteri saya. Walaupun dia tiada masalah namun sebagai lelaki, saya faham perasaan dia”, katanya.
Pierre bakal diijabkabulkan bersama tunangnya, seorang model di Masjid Al-Ikhlas Taman Melati, Selayang, pada hari esok, Ahad ini.