PFM Bantah Ahmad Idham Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas
Dari kiri, Norman, Ahmad Fuad, M.Daud dan Shuhaimi Baba menunjukkan memorandum yang dihantar kepada Dr. Rais Yatim membantah pelantikan Ahmad Idham dan David Teo sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas.
KUALA LUMPUR: Penggiat industri perfileman hari ini membantah langkah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyambung kontrak pengarah filem Ahmad Idham sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah berkata tindakan menyambung kontrak itu dilihat satu diskriminasi terhadap pekerja bidang perfileman tempatan.
Dalam satu sidang media tergempar di sebuah restoran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Selasa, Ahmad Puad berkata, pelantikan itu akan menyebabkan timbul persepsi yang kurang baik di kalangan penggiat filem kerana dikhuatiri Ahmad Idham akan menyalahgunakan kedudukannya.
“Kami tidak bersetuju dengan pelantikan itu kerana kami percaya akan wujud “unfair advantage” (ketidakadilan) daripada ahli lembaga pengarah Finas sekiranya pelantikan itu di kalangan penggiat seni yang masih aktif,” katanya.
Ahmad Idham
Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Setiausaha PFM, Norman Abdul Halim, Timbalan Presdien Gafim, Datuk M.Daud Wahid dan Presiden Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia, Khir Mohd. Noor.
Selain Ahmad Idham, penerbit filem David Teo juga antara penggiat seni yang masih aktif dilantik sebagai ahli lembaga pengarah perbadanan itu.
Sidang media itu dilakukan apabila timbul ura-ura kononnya Ahmad Idham akan menerajui Finas sebagai Ketua Pengarah selepas penyandangnya Mohd. Mahyidin Mustakim akan tamat kontrak pada Ogos ini.
Kata Ahmad Puad, PFM menerima bantahan daripada ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan pelantikan dua individu tersebut bukan atas sebab-sebab peribadi sebaliknya atas kepentingan bersama.
Sehubungan itu persatuannya telah menghantar memorandum bantahan bertarikh 14 April 2010 kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Dalam memorandum itu turut dinyatakan lima sebab pelantikan Ahmad Idham dan David di bantah kerana mereka dilihat akan mempunyai konflik kepentingan, menyekat peluang penerbit filem lain mendapatkan dana, tidak produktif kepada industri, tidak beretika dan perkara-perkara lain.
Bagaimanapun katanya sehingga hari ini PFM tidak mendapat maklum balas dan alasan daripada pihak menteri kenapa pelantikan kedua mereka adalah wajar.
Katanya, mengikut perlembagaan Finas sendiri, ahli lembaga pengarah hendaklah dilantik di kalangan individu tertentu termasuklah mereka yang tidak lagi bergiat aktif dalam bidang perfileman.
“Sekiranya David dan Ahmad Idham berada dalam Finas sebagai individu yang mempunyai kuasa, sama ada mereka bersetuju atau tidak dalam setiap keputusan yang dibuat akan dilihat seperti mempunyai kepentingan.
“Sekiranya mereka terima sesuatu keputusan dalam mesyuarat yang dibuat, ia seolah-olah tidak adil kerana mereka adalah penggiat filem. Jika mereka menerima atau menolak sesuatu usul yang dibangkitkan dalam mesyuarat ia akan menimbul macam-macam persepsi. Ini tidak wajar,” katanya.
Atas dasar itu jelas Ahmad Puad, pelantikan berkenaan hendaklah dikaji semula untuk membolehkan industri perfileman boleh berkembang secara sihat.
Katanya, selama memegang jawatan dalam perbadanan itu, kedua-dua mereka gagal memberi sumbangan yang baik terhadap industri filem sebaliknya mementingkan produk mereka sendiri.
Ahmad Idham juga ujar Ahmad Puad turut menggunakan kedudukannya untuk membuat pinjaman dua buah filem arahannya selain banyak poster-poster filem terbitan Metrowealth ditampal di dalam pejabat Finas.
Sementara itu Norman pula berkata, dengan ura-ura kononnya Ahmad Idham akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Finas, ia menambahkan lagi rasa kurang senang ahli terhadap keputusan itu.
Dengan cara menyindir Norman berkata, jika Idham dilantik ke jawatan itu, pihak berkenaan juga boleh melantik David Teo sebagai Pengerusi agensi tersebut.
“”Kalau macam tu biar Finas jadi syarikat Finas Sdn. Bhd. sahaja, lagi senang,” luahnya dengan rasa kecewa.
Sementara itu Ahmad Idham seperti yang dilaporkan Berita Harian, Selasa menafikan pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Finas sebaliknya mengaku menerima surat lanjutan kontraknya sebagai ahli lembaga pengarah perbadanan itu untuk penggal kedua berkuat kuasa 1 Julai lalu.[sumber]
Dan di Berita Harian hari ini, Ahmad Idham nafi pula dilantik sebagai Ketua Pengarah FINAS yang baru:
Idham nafi dilantik KP baru FINAS
PENGARAH Filem, Ahmad Idham mengakui menerima surat rasmi daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), namun menafikan ia berkaitan pelantikannya sebagai Ketua Pengarah badan berkenaan, sebaliknya hanya makluman lanjutan jawatannya selaku Ahli Perbadanan FINAS.
Menurutnya, dia sendiri tidak mengetahui dari mana punca namanya disebut-sebut sebagai calon pengganti Ketua Pengarah sekarang, Mohd Mahyidin Mustakim yang akan tamat kontrak pada bulan depan malah terkejut apabila ramai rakan menghubunginya untuk mendapat pengesahan khabar angin itu sejak kelmarin.
“Surat rasmi mengenai pelantikan semula saya dalam senarai Ahli Perbadanan FINAS memang saya terima pada 1 Julai lalu. Mungkin juga dari situ timbul desas desus mengatakan saya calon untuk Ketua Pengarah yang baru.
“Saya sendiri terkejut mendengar berita itu. Biarlah saya jelaskan, ia sekadar surat pelantikan semula bukannya lebih daripada itu. Rasanya lebih baik persoalan ini dikemukakan kepada pihak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Hip.
Selain Ahmad Idham, beberapa Ahli Lembaga Perbadanan FINAS yang lain turut menerima surat lanjutan perkhidmatan masing-masing untuk penggal kedua pada tarikh hampir sama termasuk Datuk Mustafa Maarof.
Khabar angin mengenai senarai calon pemegang tampuk pentadbiran tersebar luas menerusi laman sosial Twitter dan Facebook sejak beberapa minggu lalu dan ia semakin hangat diperkatakan apabila pengarah filem Adnan Sempit itu disebut-sebut sebagai pengganti.
Harapan penggiat industri supaya ‘kerusi panas’ itu diduduki mereka yang tidak punya kepentingan, mengakibatkan wujud rasa kurang puas hati sebaik saja timbul khabar angin itu apatah lagi Ahmad Idham juga masih aktif dalam pengarahan filem.
Begitupun, Ahmad Idham tidak mahu memberikan sebarang komen berkaitan isu lobi melobi jawatan terbabit kerana ia
tidak berkaitan dengan dirinya.