Pihak produksi yang disokong barisan juri sebulat suara membuat keputusan untuk memberi peluang kepada semua tilmiz dan tilmizah untuk mara ke minggu berikutnya walaupun Tilmizah Nazhirah dan Tilmizah Maghfirah diumumkan sebagai perserta yang berada di kedudukan kedua tercorot pada minggu tersebut.
Tilmizah Nazhirah atau Nurnazhirah Shaharudin berkata, setelah berada dua minggu berturut-turut di kedudukan kedua tercorot, beliau sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Saya redha dan saya berfikir seandainya saya tersingkir pada malam ini, saya berpuas hati kerana saya dapat merasakan peningkatan bacaan saya dari minggu ke minggu.
“Tambahan pula Tilmiz Zuhdi, Tilmiz Faridzuan, Tilmiz Akasyah, Tilmiz Saifullah, Tilmiz Fahmi, Tilmizah Nooraini, Tilmizah Maghfirah dan Tilmizah Shafiyah amat hebat dalam memperdengarkan bacaan mereka pada kali ini.
“Saya bertawakal. Seandainya ada rezeki untuk sambung di minggu keenam, saya akan berusaha lebih kuat. Disebabkan itu, saya mengalirkan air mata kegembiraan apabila hos mengumumkan tiada penyingkiran dibuat. Ini bermakna, masih ada peluang untuk berjuang di minggu keenam nanti,” katanya.
Sementara itu, Ustaz Haji Radzi Kamarul Hailan yang menjadi juri menggantikan Ustaz Ahmad Tarmizi Bin Abdul Rahman yang sedang mengerjakan ibadah umrah, mengaku amat terkejut apabila tiada peserta yang tersingkir pada episod itu.
“Saya tahu siapa yang sepatutnya tersingkir. Namun, saya beranggapan pihak produksi mahu memberi peluang kepada kesemua peserta untuk terus berjuang memandangkan kesemua tilmiz dan tilmizah baru sahaja diletakkan di dalam kumpulan baru. Mereka baru sahaja bertukar Mudarris dan Mudarrisah pada episod keempat.
“Untuk minggu seterusnya, peserta perlu menguasai kawalan suara sewaktu melontarkan bacaan. Ini penting sangat dalam bacaan taranum. Selain daripada melatih tubi suara, peserta perlu mendengar teknik-teknik orang- orang arab atau qari-qari mahir yang lain membaca al-Quran.
“Bukan bermaksud suara tinggi itu kita perlu lepaskan suara sehingga pecah. Tapi ada teknik tertentu yang membolehkan suara tinggi tersebut tidak pecah. Taranum sama macam teknik nyanyian. Vokal perlu betul serta perlukan latihan,” katanya.
Menerusi siaran minggu kelima yang bertemakan Perwira Negara, Tilmiz Zuhdi turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah.
Selain itu, program yang dihoskan Fakhrul UNIC itu menampilkan Ustaz Radzi Kamarul Hailan selaku juri dan Ustazah Asni Mansor selaku juri jemputan. Episod keenam Akademi Qurra’ akan menemui penonton pada Sabtu, 4 Mac 2023, jam 9 hingga 11.30 malam.