Berikutan pengumuman Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Julai 2021 mengenai pertimbangan kelonggaran untuk aktiviti sukan, sosial, dan makan di luar kepada mereka yang telah mendapat vaksinasi COVID-19 sepenuhnya, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) memohon pertimbangan Kerajaan untuk membenarkan pembukaan semula pawagam di bawah peraturan yang sama.
Memandangkan hasrat Kerajaan untuk membuka kembali industri terpilih untuk memberi kelegaan kepada mereka yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya, pembukaan semula pawagam kini menjadi lebih penting daripada sebelumnya bagi rakyat Malaysia yang telah menjalani perintah kawalan pergerakan lebih dari setahun dan kini mengalami kemerosotan kesihatan mental.
Pawagam berupaya menyediakan tempat yang selamat untuk merehatkan minda dengan harga yang berpatutan kepada pengunjung yang telah mendapat vaksinasi, serupa terapi untuk kesejahteraan emosi dan mental.
Walaupun merupakan salah satu industri dengan SOP paling ketat termasuk penjarakan sosial di dalam pawagam dan pemakaian pelitup muka sepanjang masa ketika tidak makan atau minum, pawagam sering menjadi sektor perniagaan pertama yang ditutup dan perniagaan terakhir yang dibenarkan dibuka semula. Walaupun tidak pernah ada kes jangkitan dari pawagam, pengusaha pawagam diarahkan menutup pawagam mereka selama lebih dari 200 hari pada 2020, yang mengakibatkan kerugian lebih dari RM500 juta secara keseluruhan dan 90% pendapatan dari tahun ke tahun.
Sejak awal 2021, pawagam Malaysia telah ditutup selama lebih dari 150 hari, mengakibatkan kerugian besar – perbezaan ketara dari tahun-tahun sebelumnya, di mana industri ini secara kolektif telah menyumbang lebih dari RM1.08 bilion pendapatan dan lebih dari RM250 juta dalam bentuk cukai hiburan kepada negara.
Penutupan tanpa rela ini telah melumpuhkan industri dengan lebih dari 20,000 rakyat Malaysia sebagai tenaga kerja di sektor ini, mengancam mata pencarian mereka dengan kehilangan pekerjaan dan pemotongan gaji yang banyak, manakala pemamer turut menghadapi penutupan pawagam secara tetap dan pengurangan operasi yang ketara. Tanpa sokongan kewangan dari Kerajaan, pengusaha pawagam tidak berupaya untuk mempertahankan perniagaan kerana mereka perlu terus melabur dalam penyelenggaraan harian pawagam dan mengekalkan pekerja.
Penutupan berpanjangan tahun lalu menyaksikan pengunduran pemamer ketiga terbesar di negara ini, MBO Cinemas dari industri ini. Secara keseluruhan, lebih daripada 25% pawagam di seluruh Malaysia telah ditutup secara kekal disebabkan penutupan jangka panjang dan MAFE menjangkakan jumlah ini akan meningkat jika pawagam tidak dibenarkan dibuka semula.
“Oleh kerana Kerajaan sedang mempertimbangkan kembali pembukaan sektor terpilih bagi mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya, industri pawagam memohon untuk menjadi sebahagian dari kelonggaran dan hak istimewa tersebut. SOP kami adalah antara yang paling ketat iaitu tidak membenarkan penonton berlegar-legar di dalam pawagam, pemakaian pelitup muka 100% sepanjang masa, dan penjarakkan tempat duduk penonton. Dengan peraturan baru iaitu hanya membenarkan penonton yang telah menerima vaksinasi sepenuhnya untuk masuk ke pawagam, kami yakin bahawa pawagam akan menjadi tempat yang selamat untuk mencari ketenangan, yang mana ia sangat penting untuk pemulihan kesihatan mental rakyat di negara kita,â€
– Jeneral (B) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Mohd Ghazali Dato’ Mohd Seth, Pengerusi MAFE.Â
Keputusan mengenai pemilihan sektor penting dan tidak penting perlu diubah apabila vaksinasi untuk rakyat Malaysia dijalankan secara besar-besaran. Semua industri penting untuk mengekalkan kesejahteraan masyarakat kita.
Tiada alasan untuk industri pawagam terus ditutup sementara aktiviti sukan dan sosial seperti sukan dan aktiviti makan di luar dibuka semula dalam keadaan dan kelonggaran baru. MAFE menyarankan Kerajaan untuk berbincang dengan organisasi tersebut untuk bersama-sama bekerjasama dalam membuka semula pawagam secara selamat di bawah SOP pasca-vaksinasi yang baru.Â
Siaran Akhbar Daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia #ReopenCinemas #BringCinemasBack