Lima kumpulan akan berentap di peringkat akhir pertandingan Lantai Cilik pada 6 April ini. Lima kumpulan yang bertuah dan bakal bersaing ialah Kaki Nari Dancers (Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur), Langkah Cilik (Sekolah Kebangsaan Sembulan, Sabah), Ravan Dancers (Sekolah Rendah, Jenis Kebangsaan (Tamil) Masai, Johor), Seri Warisan (Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan) dan Kiawaian Dance Club (Sekolah Kebangsaan Kiawaian, Tambunan, Sabah).
Malam kemuncak pertandingan ini nanti akan dipancarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, 9 malam di TV2 dan juga TVi (Astro 180). Lantai Cilik diterbitkan secara bersepadu menerusi ilham Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM)
Lantai Cilik disifatkan sebagai program tv yang pertama di Malaysia yang mengetengahkan Pertandingan Mencari Juara Tarian Tradisional dan Kontemporari di kalangan Kanak-kanak Sekolah Rendah berusia 12 tahun ke bawah (Berkumpulan).
Ia dilaksanakan bagi memberi peluang kepada para pelajar ini menyerlahkan bakat hasil gilapan yang sudah mereka pelajari. Program ini bukan setakat untuk menonjolkan kebolehan mereka, bahkan meningkatkan keyakinan diri, semangat ‘esprit de corp’ (kerja berpasukan) selain daya saing secara sihat di kalangan mereka.
Pencarian bakat program ini disiarkan sejak Oktober tahun lalu bermula dari sesi uji bakat membabitkan enam zon. Lebih 80 buah kumpulan disaring dari peringkat suku akhir dan separuh akhir. Untuk peringkat akhir ini, ia mengetengahkan konsep taman fantasi kanak-kanak dan istana kayangan.
Persembahan pembukaan dimulakan oleh Kumpulan Kesenian JKKN serta dimeriahkan juga dengan beberapa orang penyanyi jemputan. Peserta Lantai Cilik akan mempersembahkan tarian mereka dalam dua segmen. Segmen pertama mereka dikehendaki mempersembahkan tarian secara spontan mengikut kreativiti berdasarkan pilihan lagu selama dua minit.
Segmen kedua pula mereka dikehendaki membuat persembahan khas mereka menerusi Citra Tari atau tarian bertema yang memetik kisah dari hikayat/cerita rakyat/legenda tempatan. Mandat pengacara diserahkan kepada Seri Nabilla dan Azrul Raja Lawak.
Turut sama memeriahkan ialah adik Wafiy dan Wan Rull Puppet yang baru saja bergelar juara pertandingan Mimpi Ke Bintang pada 16 Mac lalu. Wafiy dan Wan bertindak sebagai pengulas. Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, Lantai Cilik turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran.
“JKKN terus komited untuk membimbing dan menggalakkan generasi muda Malaysia untuk mencintai seni dan budaya. Penggalakkan ini dapat dilihat menerusi program-program berteraskan Pembangunan Modal Insan /Kelab Asuhan Seni seperti Kelab Asuhan Seni, Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Seni Budaya Rakyat (BSBR), Kelab Siswa Budaya (KSB), Sekolah Seni dan Jurulatih Seni Budaya Negara yang terus dipertingkatkan.
“Tak ketinggalan, program PERMATA Seni Koir dan PERMATA Seni Tari di bawah naungan Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut diselaraskan urusannya oleh JKKN bagi membimbing kanak-kanak yang berbakat cemerlang dalam bidang seni tari dan koir di bawah lingkungan umur 7 hingga 12 tahun.
“Kita mengharapkan pertandingan akhir ini nanti juga akan menarik tonton ramai seperti mana pertandingan akhir Mimpi Ke Bintang yang mencatat rating 1.2 juta penonton, sekali gus melakar kejayaan program paling ditonton ramai ketika ini menerusi saluran RTM2,†katanya.
Juara Lantai Cilik musim pertama ini bakal menerima yang memenangi wang tunai RM 40,000.00, trofi, sijil, Apple Ipad Mini 64GB dengan Wifi setiap seorang, barangan elektrik tajaan Noudi, baucar Pakaian Hari-hari dan tiket Masuk ke Taman Tema Sunway Lagoon.
Naib Juara pula akan yang memenangi wang tunai RM 20,000.00, trofi, sijil, Blackberry HPH Bold setiap seorang. Manakala tempat ketiga akan memenangi wang tunai RM 10,000.00, Trofi, Sijil, Apple Ipod Touch setiap seorang. Naib Juara dan tempat Ketiga turut menerima hadiah iringan sama seperti Juara.
Klik laman sosial facebook ’fanpage’ Lantai Cilik RTM untuk butiran lanjut.