Sambil mendedahkan berita gembira itu menerusi saluran YouTube, Wuvv Show, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 28, menjelaskan dia memilih tarikh tersebut selepas berbincang dan mendapat persetujuan dari keluarga kedua-dua belah pihak.
Malah, tarikh tersebut juga mudah untuk diingati.
Sehubungan dengan itu, penyanyi Mata ini turut berkongsi mengenai perjalanan majlis raja seharinya itu nanti, setakat ini.
“Hasil perbincangan, saya dan Nabil akan disatukan pada 1 Januari 2021. Majlis nikah akan diadakan di sebelah pagi dan majlis resepsi akan diadakan pada sebelah malam.
“Semuanya bakal mengikut prosedur operasi standard (SOP). Semoga ia berjalan lancar seperti yang diharap-harapkan, insya-Allah,” kata Ayda.
– Ayda Jebat
Tambah Ayda yang bertunang dengan Nabil pada 28 April lalu itu lagi, persiapan perkahwinan juga sedang rancak berjalan.
“Persiapan perkahwinan sedang kami lakukan, sudah melebihi 50 peratus.
“Sekali lagi, saya memohon doa semua pihak agar majlis kami berjalan seperti yang sudah dirancang, insya-Allah,”
– Ayda Jebat
Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan ini membuat pengumuman mengenai tarikh nikah mereka menerusi video episod pertama #BilAydaJatuhCinta yang dimuat naik di saluran YouTube.
“Video ini saya dan Nabil buat khas untuk peminat, terutamanya AJ Screamers yang dah lama tak berjumpa dengan kami kerana kekangan pandemik.
“Mereka juga ingin tahu perkembangan kami, jadi video ini saya umpamakan hadiah untuk mereka yang selama ini tidak pernah lelah menyokong,”
– Ayda Jebat
Merpati dua sejoli ini berkongsi perjalanan cinta mereka menerusi video #BilAydaJatuhCinta yang bakal bersiaran selama 10 episod menerusi platform sama.