in

Persembahan Terbaik Tuah Di Konsert Mentor Legend

Protégé Mentor Legend, Tuah telah dinobatkan persembahan terbaik pada malam Konsert Battle 2, Kumpulan A malam kelmarin di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Persembahan berirama Dangdut gandingan Tuah dan Aina menerusi lagu ‘Secawan Madu Merah’ (lagu asal Amelina) malam itu berjaya menarik perhatian dan undian semua juri termasuk Juri Tetap, Azmeer dan Adlin Aman Ramli.

Menurut Adlin Aman Ramli selaku Juri Tetap Mentor Legend, “Persembahan Tuah malam ini memang hebat. Selain vokalnya yang jelas dan lantang, persembahannya cukup menghiburkan. Tuah berjaya untuk masukkan elemen lakonan dan sedikit lawak dalam persembahannya. Cuma bagi saya ia masih belum mencukupi. Bagi saya, sekiranya seorang penghibur itu hendak fokus pada vokal, pastikan dia jadi Top Singer. Andai mahu menari, jadilah Elite Dancer. Sekiranya hendak masukkan elemen lawak, pastikan jadi pelawak. Sentiasa memberi yang terbaik dalam setiap aksi di atas pentas. Penghibur begitulah yang kami mahukan dari Mentor Legend.”

Mentor Legend

“Memang tidak dinafikan bahawa semua Protégé Mentor Legend ini mempunyai pakej vokal yang bagus. Semua dah matang dalam nyanyian. Hampir setiap minggu Azmeer dan saya sendiri tidak banyak komen tentang suara. Namun yang membezakan mereka di atas pentas ini adalah pengisian persembahan mereka. Pengisian seperti elemen Drama, lawak dan tarian akan membezakan penyanyi biasa dengan penghibur sebenar,” ujarnya lagi.

TUAH BUKTI DANGDUT TIDAK PUPUS

Fahmie, protégé Mentor Ajai telah menunjukkan peningkatan yang baik. Beliau juga telah membuktikan bahawa beliau mampu menguasai lagu berirama balada melalui lagu ‘Aku yang Tersakiti’ nyanyian asal Judika. Persembahan Fahmie bersama Nadeera mampu memberikan suasana percintaan yang indah di Studio Sri Pentas 2 malam itu. Melalui persembahan solonya, dengan lagu ‘Lagu Untukmu’ nyanyian asal Azlan and The Typewriter, Fahmie telah membuktikan kekuatan vokalnya demi menangkis cemuhan orang ramai yang mengatakan bahawa Fahmie hanya sekadar rupa dan tiada vokal.

Persembahan Sarah protégé Mentor Amy Search pula memulakan persembahan dengan sedikit hambar dengan lagu ‘Matahariku’ nyanyian Agnes Monica berbanding persembahannya pada Konsert Battle 1 beberapa minggu lepas. Namun Sarah berjaya memperoleh semula perhatian penonton dalam persembahan kedua, berduet bersama Azmil dengan lagu ‘Meniti Titian Usang’ lagu asal Mentornya, Amy Search.

Berikut adalah kesimpulan pemarkahan persembahan Protégé Mentor Legend malam itu. Setiap protégé hendaklah mengumpul sebanyak markah yang mampu dari minggu ke minggu demi mengelakkan dirinya daripada tersingkir pada Konsert Battle 3 minggu hadapan. Penyingkiran akan berlaku pada protégé yang mengumpul markah terendah pada minggu penyingkiran kelak.

PROTEGE SMS JURI AWAM JURI TETAP MARKAH MARKAH TERKUMPUL
SARAH 11 18 34 63 133
FAHMIE 10 18 41 69 132
TUAH 9 19 44 73 139

Mengekalkan format pemarkahan yang sama seperti musim-musim yang sebelumnya iaitu 30% dari undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS), 50% dari Juri Tetap, dan 20% dari Juri Awam. Para pencinta Mentor Legend boleh mengundi Protégé Mentor Legend dengan menaip MENTOR untuk satu undian atau MENTOR5 untuk lima undian diikuti dan hantar ke 33399. Setiap satu undian akan dikenakan caj sebanyak RM 0.50. Contohnya MENTOR AZMIL dan hantar ke 33399.

Program Mentor Legend yang mengandungi 13 episod ini diterajui oleh penerbit eksekutif Muhamad Sufian Isa dan dibantu oleh Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) selaku penerbit. Kali ini, Mentor Legend menampilkan Awal Ashaari sebagai pengacara program, Shiha Mentor sebagai pengacara Jurnal Mentor Legend. Selain itu, Zuan Azmi (Bikin Panas) bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Musim ini turut mempersembahkan Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik, Azmeer sebagai Penasihat Vokal, dan Sazlan Mat Adnan sebagai Penasihat Persembahan.

Ikuti konsert mingguan Mentor Legend yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam hingga 10.30 malam. Penonton juga boleh saksikan sorotan persediaan dan aktiviti protege bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor Legend, setiap hari Ahad selama 30 minit bermula jam 6.00 petang pada 30 November. Untuk menonton siaran ulangan setiap program Mentor Legend, boleh didapati melalui portal video Tonton (www.tonton.com.my). Program ini juga mendapat sokongan Hot FM selaku radio rasmi, dan peminat setia Mentor Legend boleh mendapatkan informasi Mentor Legend melalui frekuensi radio 97.6 di sekitar Lembah Klang.

Mentor Legend

Mentor Legend

Mentor Legend

Mentor Legend

Mentor Legend

Mentor Legend

Mentor Legend

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bii First Overseas Solo Concert in Malaysia

Ulasan Konsert Matrix Soundscape 2014