in ,

Persembahan Lawak Ke Der & Najwa Latif di Karnival Seni Kreatif Kita 2013

[dropcap]P[/dropcap]ada jam 2 petang ini, Budiey telah datang jauh dari Kuala Lumpur ke bandar Johor Bahru untuk mengikuti Sidang Media Pengumuman Karnival  Seni Kreatif Kita 2013 yang diadakan di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.

Sidang media khas ini antara lain mengumumkan tentang barisan para artis yang akan menghiburkan pengunjung karnival yang berlangsung selama dua hari itu iaitu persembahan Lawak Ke Der dan Najwa Latif. Budiey pasti ramai peminat Najwa Latif dari sekitar Johor dan Singapura akan hadir di karnival ini.

“Saya percaya seni menentukan jiwa kita sebagai insan, dan sebagai individu kita perlu memainkan peranan dalam usaha memupuk dan menghidupkan seni.” – Datuk Seri Michelle Yeoh

Mendekatkan Masyarakat kepada Penghayatan Seni & Budaya MYPAA Mempersembahkan Karnival Seni Kreatif Kita 2013

[dropcap]R[/dropcap]akyat Malaysia diseru selami jiwa seni dan kreativiti mereka sambil bergembira di Karnival Seni Kreatif Kita. Karnival seni dan budaya terhebat di bawah sinar matahari ini akan berlangsung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor dari 11hb hingga 12hb Mei 2013, 10 pagi hingga 7 petang.

Karnival Seni Kreatif Kita adalah projek yang akan dianjurkan oleh My Performing Arts Agency (MYPAA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah naungan D.Y.M.M. Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah. Juga dikenal pasti sebagai Projek Permulaan (EPP) bagi Komunikasi, Kandungan & Infrastruktur (CCI) NKEA di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Karnival Seni Kreatif Kita disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

Menurut Izan Satrina, Pengasas dan Pengarah MYPAA, Karnival Seni Kreatif Kita bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap seni dan budaya di kalangan orang ramai dan juga mendekatkan seni di hati rakyat. Acara-acara menarik yang diaturkan untuk Karnival Seni Kreatif Kita antara lain termasuk persembahan kumpulan lawak yang menggamatkan Istana Budaya, Lawak Ke Der (menampilkan Harith Iskander, Raja Azura, Osbon, Saiful Apek, Yasin), pengubah lagu remaja /muzik sensasi Najwa Latif (yang membuat persembahan bersama Greyson Chance baru-baru ini), Couple (dinamakan antara 25 band terbaik di Myspace oleh Rolling Stones), pemuzik folk rock rakyat Azmyl Yunor & The Siggarettes, kumpulan rock pasca grunge Primitive Leap dan kumpulan indie rock Johor, Medinee.

Semua acara ini bertujuan menarik rakyat Johor untuk menikmati pelbagai aktiviti seni dan budaya, termasuk persembahan teater untuk seisi keluarga, bengkel penulisan drama, pameran seni lukis, pertunjukan filem dan teater termasuk acara flashmob, drama, ukulele, Capoeira, persembahan tradisional Johor, permainan tradisional dan banyak aktiviti lain yang menyeronokkan.

Izan Satrina

“Bayangkan gegaran dan gegak gempita yang bakal dicetuskan oleh lebih 300 penghibur dan 30 persembahan di satu lokasi! Lebih menarik lagi, kemasukan ke acara ini adalah percuma! Dengan keindahan Bukit Layang-Layang, anda hanya perlu membentang tikar di atas padang hijau, berkelah bersama keluarga atau kawan sambil menikmati pelbagai aktiviti seni dan budaya. Seperti sukan, minat dan cinta terhadap seni dan budaya perlu dipupuk sejak kecil. Kami mahu mereka melihat sendiri dan menghayati warisan budaya negara kita dari dekat, bukan sahaja melalui TV. Kami mahu menunjukkan kepada mereka bahawa mereka mempunyai masa depan dalam industri seni, bahkan boleh menjadikan seni sebagai satu hobi, profesion, atau juga sebagai peminat yang menghargai seni,” kata Izan Satrina.

“Kami jangka lebih 30,000 orang akan mengunjungi karnival hebat ini. Johor merupakan lokasi pertama dan kami merancang untuk membawa Karnival Seni Kreatif Kita ke negeri lain di Malaysia. Kami berhasrat untuk menarik penyertaan masyarakat tempatan yang berlainan menerusi pelbagai persembahan kreatif, dan mempromosikan kepelbagaian budaya negara untuk dinikmati oleh semua,” jelas Izan Satrina.

Karnival Seni Kreatif Kita adalah satu daripada landasan dan saluran untuk membantu menggiatkan usaha MYPAA dan JKKN bagi menggalakkan penghayatan dan penghargaan seni di kalangan masyarakat dan pada masa yang sama, membantu meramaikan pengikut dan peserta seni dan budaya di Malaysia.

“Dari perspektif yang lebih besar, kami sangat teruja kerana dapat merealisasikan wawasan kami untuk mempromosikan seni dan budaya kepada semua rakyat Malaysia dalam bentuk yang menyeronokkan seperti Karnival Seni Kreatif Kita. Karnival Seni Kreatif Kita bukan sahaja akan menawarkan seni persembahan seperti tarian, teater muzikal, teater dan muzik, tetapi juga persembahan lawak jenaka, bengkel, maklumat pembiayaan kreatif untuk memupuk dan memberikan pengalaman yang menyeronokkan, khususnya kepada rakyat Johor, dan juga rakyat Malaysia, secara keseluruhannya.

Seiring dengan inisiatif kami ini, kami berharap setiap warga korporat yang berminat dan prihatin akan tampil ke depan untuk menyokong inisiatif kami untuk rakyat Malaysia. Secara sendiri, tidak banyak yang kami boleh lakukan, tetapi jika mendapat sokongan ramai, banyak yang kami boleh lakukan. Justeru, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan bukan sahaja kepada JKKN, tetapi juga kepada Dana Belia, Johor Corporation, IRDA, ASTRO, RTM, Gua.com.my dan TGV Cinemas kerana sumbangan mereka untuk menjayakan karnival ini,” kata Izan.

Dato Norliza Rofli

Menurut Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah, JKKN, Kerajaan telah menyuarakan minat untuk membantu menggiatkan seni persembahan dan industri kreatif.

Menurut Dato’ Norliza:

“Adalah penting bagi JKKN dan kementerian menyediakan saluran untuk memartabatkan industri seni dan budaya di Malaysia. Kami berharap untuk menaikkan industri seni dan budaya ke satu tahap lagi dan menggalakkan lebih banyak penyertaan. Oleh itu, kami juga sedang bekerjasama dengan sektor swasta untuk melaksanakan transformasi industri ini dan kami berterima kasih atas sokongan mereka. Kami menggalakkan lebih banyak syarikat swasta tampil untuk membantu kami dalam usaha ini. Pengecualian cukai diberikan apabila mereka menyokong Karnival Seni Kreatif Kita atau inisiatif seni lain yang akan dianjurkan pada masa hadapan.”

Antara aktiviti MYPAA yang dirancang untuk tahun 2013 termasuk persidangan Siri Borak Seni (Borak Arts Series) dari 15hb hingga 16hb Jun. Siri Borak Seni bertema Pembangunan Lestari dalam Kesenian ini bertujuan untuk menyatukan pengiat seni dengan menyediakan platform untuk pertemukan pemimpin-pemimpin seni persembahan tempatan dan antarabangsa, penggiat korporat, penggubal dasar dan pemegang kepentingan yang berkaitan untuk membincang dan mengupas isu-isu berkaitan kelestarian industri seni persembahan Malaysia.

Para penceramah yang disahkan hadir antara lain termasuk dari Korea Arts Management Services, Australia Arts Council, Japan Foundation, MyCreative Ventures, Yayasan Sime Darby, MyHarapan, Dama Orchestra dan ASWARA Dance Company.

Acara bertiket ini akan memberi tumpuan kepada pemikiran kritikal, pengurusan kreatif dan membina kelestarian untuk pengamal seni kreatif menaikkan industri ke tahap seterusnya, sambil mendidik peserta tentang industri seni. Perbincangan dengan tajuk seperti “Kepentingan Seni dan Budaya di Malaysia”, “Mengapa sokong Seni?-Dari Aspek Ahli Korporat” dan banyak lagi akan menjadikan Siri Borak Seni satu daripada inisiatif menarik MYPAA dengan kerjasama JKKN bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk penggiat seni kreatif di Malaysia. Selain sesi perbincangan, acara menarik persidangan ini termasuk Sesi Minum Teh Sambil Membina Rangkaian untuk membincangkan isu penting tertentu dan Majlis Jamuan Makan Untuk Membina Rangkaian.

Untuk mereka yang berminat berniaga di Karnival Seni Kreatif Kita, terdapat banyak ruang niaga untuk pilihan: Bazar Seni dan Kraf, Bazar Makanan, Pasar Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan ‘Brand Circle’ (untuk penyertaan jenama). Sila hubungi [email protected] untuk membuat tempahan. Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan peluang kerjasama dengan MYPAA, sila hubungi [email protected]

Group Photo

Karnival Seni

Karnival Seni

Karnival Seni

Karnival Seni

Karnival Seni

Mengenai My Performing Arts Agency
Ahli International Society of Performing Arts, MYPAA adalah agensi seni milik swasta dengan matlamat untuk menyokong pembangunan berterusan industri seni dan budaya di Malaysia dengan merapatkan jurang antara orang ramai, swasta dan sektor seni persembahan.

Misi agensi ini adalah selari dengan wawasan Mahatma Gandhi – “Jadilah Perubahan Yang Ingin Anda Lihat”. MYPAA berhasrat untuk mencipta ekosistem yang menyokong persekitaran untuk usahawan kreatif, melahirkan tenaga kerja seni yang pelbagai dan berkemahiran tinggi dan meramaikan bilangan orang yang menghargai dan menghayati seni. Untuk maklumat lanjut tentang MYPAA, sila ke mypaa.com.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siapa Kekasih Hati Zizan Razak?

Novak Djokovic Tennis Apparel Collection at UNIQLO