Kumpulan nasyid yang pernah menerima Anugerah Kembara di dalam Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020) anjuran Munsyid Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia 2 tahun yang lalu, tidak menunggu lama selepas sempadan negara kembali dibuka untuk mengadakan persembahan luar negara.
Hazamin Inteam berkata; “Alhamdulillah, Ramadan lalu, kami telah dihubungi wakil penganjur yang juga merupakan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjemput kami untuk mengadakan persembahan dalam The World Muslim Communities Council (TWMCC) yang merupakan acara tahunan yang diadakan untuk kali kedua tahun ini”Â
“Walaupun ia diadakan pada minggu pertama Syawal, kami sepakat menerima jemputan persembahan tersebut kerana peluang mengadakan persembahan di hadapan delegasi lebih 72 buah negara ini bagi kami sangat berharga. Tambahan pula mereka yang hadir mewakili NGO-NGO Islam di negara masing-masing termasuk negara bukan Islam seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan lain-lain” Tambah Syah Inteam.
Menurut Rahim Inteam, slot persembahan mereka diadakan di dalam program makan malam bagi acara konvensyen tersebut dan dihadiri lebih 300 orang delegasi dari pelbagai negara.
“Kami mengenakan Busana Melayu lengkap yang ditaja Empayar Rumbawe bagi memperkenalkan pakaian tradisional dan kebudayaan negara kita. Mereka sangat menyukainya dan mengambil peluang beramai-ramai untuk bergambar dengan kami” Tambah Rahim lagi.
“Walaupun ada di kalangan ahli delegasi sudah selesai makan malam, mereka berdiri di hadapan pentas kami menonton sambil merakam persembahan kami. Bahkan salah seorang wakil delegasi seorang sheikh dari Negara Tunisia naik ke pentas dan mencium dahi salah seorang dari kami dan memeluk setiap anggota kami sebagai tanda penghormatan dan penghargaan” ujar Syah Inteam sambil tersenyum.Â
Persembahan Inteam di Abu Dhabi diiringi rakan-rakan pemuzik Fuad Ko sebagai pemain gitar, Hafiedz Udu sebagai pemain perkusi, Firlany sebagai pemain gambus, seruling dan accordion manakala Shahrulhikmi bermain shaker dan tamborin.
Mereka berada di UAE selama 5 hari dan sempat bersiar-siar di Abu Dhabi dan Dubai semasa berada di sana.
Acara The World Muslim Communities Council (TWMCC) ini turut dihadiri delegasi YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Haji Idris Ahmad yang turut menyampaikan ucaptama.