Walaupun perkahwinan yang berlangsung pada 26 Julai lalu dilanda kontroversi gara-gara pendedahan mengenai status suaminya yang dikatakan sudah berkahwin, bagi Miera, tiada apa yang salah mengenai perkahwinan ini.
Malah apa yang penting kehadiran seorang lelaki bernama suami ini bakal melengkapkan impian pelakon filem Apokalips X untuk mempunyai sebuah keluarga sendiri.
“Ada yang kata hubungan saya dan Rosland berlangsung atas dasar perniagaan, selain perkahwinan ini juga atas pilihan keluarga. Tidak cukup dengan itu ada juga yang tampil dengan dakwaan kononnya ayah saya sendiri yang mahukan perkahwinan ini.
“Jujurnya semua dakwaan itu tidak ubah seperti drama lakonan saya sahaja. Mengenali Rosland sebagai seorang ahli perniagaan empat tahun lalu siapa sangka ini jodoh saya,”
– Miera Leyana
Menjelaskan keadaan dirinya dalam menerima pelbagai dakwaan tidak berasas sepanjang sebulan bergelar isteri, Miera akui hatinya juga rapuh. Tidak berselindung dia memberitahu, turut tertekan dengan apa yang berlaku, namun dia tahu bukan kuasanya untuk mengubah pandangan orang.
“Ikutkan memang agak stres dengan apa yang berlaku, tidak sampai 24 jam berkahwin muncul pelbagai spekulasi. Kebiasaannya selepas berkahwin semuanya indah-indah, tetapi berbeza dengan saya. Saya reda, selain tahu tidak akan mampu mengawal pandangan orang lain di media sosial.
“Sebab itu saya pilih untuk membuang dan menyekat mereka yang meninggalkan komen kecaman di laman sosial saya. Penting buat saya mendapatkan kata-kata semangat dalam tempoh ini,”
– Miera Leyana
Dihujani persoalan sama ada dia kini menjalani kehidupan bermadu, bagi Miera atau nama sebenarnya Miera Leyana Kasmi, itu bukan sesuatu yang wajib dijelaskan dirinya. Malah dia juga bingung dengan persepsi masyarakat mengenai poligami.
“Sebagai artis kita akan sentiasa dinilai, jadi saya sudah bersedia. Saya tidak kisah orang nak anggap saya isteri pertama, kedua atau ketiga.
“Soalnya saya tidak buat apa-apa kesalahan. Saya buat majlis dan jemput semua termasuk pihak media. Membuktikan tidak menyorokkan apa-apa.
“Saya tidak faham dengan masyarakat yang sering memandang poligami sebagai suatu yang besar. Watak isteri kedua jahat dan sebagainya mungkin hanya dalam drama. Kita tinggal dalam dunia yang nyata. Apa yang penting perkahwinan ini mendapat restu,”
– Miera Leyana
Rosland Seorang lelaki Yang Gentleman
Berbeza umur dua dekad dengan suaminya, bagi pelakon pelakon drama Mr. Boss Miss Stalker ini, dia sendiri sudah menjangka ada reaksi tidak senang netizen.
Bagaimanapun ditanya sama ada dia setuju mengatakan ada pihak yang sengaja memulakan semua ini, Miera yakin bukan itu yang berlaku.
“Saya memang jangka perkara begini, namun apa yang mengejutkan tidak sangka sebegini teruk. Saya tidak lihat ada yang sengaja sabotaj perkahwinan ini, pada saya lebih senang bersangka baik dengan semua orang,”
– Miera Leyana
Berkongsi ciri-ciri yang membuatkan dia cukup yakin untuk meneruskan perkahwinan ini dengan lelaki yang jauh lebih berusia, kata Miera sikap gentleman adalah jawapan kepada persetujuannya.
“Pada mulanya memang saya dan Rosland hanya berkawan, tetapi saya tidak nafikan selama ini memang saya menyukai seorang lelaki yang gentleman.
“Rosland menyatakan hasrat berkahwin dengan ayah saya dahulu. Saya tersentuh dengan sikapnya yang sentiasa meletakkan keutamaan kepada ibu bapa saya. Jujurnya kami juga hanya bercinta selepas berkahwin,”
– Miera Leyana
Sumber: Utusan Malaysia